Monday, July 13, 2009

Ketagih permainan Internet

Remaja Vietnam berdepan dengan ketagihan permainan secara talian sehingga mereka perlu menjalani rawatan pemulihan.


SEKUMPULAN remaja di Vietnam yang ketagih dengan permainan secara talian sanggup berhabis duit dan masa di kafe Internet.


JAM menunjukkan tepat pukul 10 malam, tetapi, Phan Le Hong Duc masih belum pulang. Ibunya, Le Thi Hoang, tahu anak remajanya sedang bermain permainan komputer di suatu tempat.

Thi Hoang kemudiannya keluar dengan teksi motosikal untuk mencari anaknya lalu mengetuk pintu sebuah kafe Internet di kawasan kejiranannya.

"Mereka kata tidak ada kanak-kanak di dalam, tetapi sebenarnya saya tahu mereka ada. Dari luar tadi saya dapat mendengar bunyi kanak-kanak sedang bermain permainan komputer," Thi Hoang, 54, cuba mengingat.

Tepat pukul 5 pagi, permainan pada malam itu habis dan Le Hong akhirnya pulang ke rumah.

Dia telah ketagih. Dia duduk di depan papan kekunci komputer hingga lewat malam yang akhirnya menyebabkan dia terlepas kelas petang di sekolah.

Ibu Le Hong berasa anaknya mungkin memerlukan pertolongan. Lalu, Thi Hoang mendapat satu program merawat ketagihan permainan secara talian di Vietnam.

Kebanyakan masyarakat Vietnam terdiri daripada golongan petani, namun latar belakang itu membuatkan mereka cepat mengalami proses permodenan hingga melibatkan masalah ketagihan permainan secara talian pada abad ke-21 ini.

Kerajaan negara tersebut menyatakan, suku daripada 86 juta rakyat di Vietnam sudah mempunyai akses Internet. Kegilaan terhadap Internet di Asia berlaku sejak empat tahun lepas, tetapi permintaan pada permainan secara talian menunjukkan peningkatan.

Tahun lalu, kajian yang dilaporkan oleh Pearl Research yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), meramalkan, pemain permainan talian akan mencecah sehingga 10 juta orang sehingga tahun 2011.

"Saya tidak tahu sekiranya saya dapat katakan saya sendiri ketagih permainan talian," kata Nguyen Nam, 15, seorang pemain permainan talian ketika cuti.

Hampir 30 buah komputer dimonopoli oleh golongan muda yang sedang berlawan atau bermain permainan bola. Yang kedengaran hanyalah papan kekunci mereka sahaja.

Seperti dadah

Kata Nam, dia bermain satu atau dua jam pada hari sekolah dan akan bermain lebih dua kali ganda pada musim cuti sekolah.

"Saya gembira dengan permainan tersebut. Saya rasa saya dapat menikmati satu kehidupan yang lebih menarik daripada kehidupan sebenar saya," kata Nam lagi.

Nguyen Thanh Nhan, pengarah sebuah pusat yang mengusahakan sebuah program merawat ketagihan alam siber tidak tahu berapa ramai pemain secara talian memerlukan pertolongan.

"Saya boleh kata jumlahnya sangat besar. Ketagihan pada permainan secara talian bak ketagihan dadah," kata Nhan, 35, Pengarah Union's Southern Youth Centre.

Hong Duc, 15, mengaku dia ketagih dengan permainan secara talian.

"Dulu saya main lima hingga enam jam sehari. Makin lama makin ketagih sampai kadang-kadang saya boleh bermain sehingga 10 jam dan lewat malam," katanya dalam satu temu bual yang diuruskan oleh Youth Union.

Kata Duc, permainan kegemarannya melibatkan empat hingga lima pemain untuk berlawan antara satu sama lain. Dengan duit sebanyak AS$1.11 sehari (RM3.95), selain sarapan yang disediakan oleh ibunya, Duc berkata, ia cukup untuk dia bermain permainan secara talian di kafe Internet.

"Tidak, saya tidak makan apa-apa," katanya.

Berlawan dalam permainan juga membantu membiayai ketagihannya. "Selalunya kumpulan kami akan menang," kata Hong Duc yang gagal gred lapan ekoran tabiatnya itu.

Pulih hubungan

Hong Duc berkata, gejala itu tidak terlalu serius jika dibandingkan dengan mereka yang sanggup mencuri dan melakukan keganasan kerana tabiat gila mereka itu.

Seorang ibu muda yang juga profesor di kolej perguruan berkata, anaknya juga mempunyai masalah yang sama. Tidak seperti orang lain, dia tidak memaksa anaknya menyertai program pemulihan itu.

Kursus selama 16 hari itu menelan belanja sebanyak 3.5 juta dong (RM700) untuk yuran.

"Kami sedia membayar untuk membawa pulang anak kami," katanya.

Hong Duc merupakan salah seorang daripada 20 orang remaja yang terlibat dengan kursus pertama itu yang dijalankan pada hujung November tahun lalu.


PHAN LEILTONG (kiri) membuat persembahan tarian hip hop sambil disaksikan oleh Nguyen Thanh Nhan.


Kata Nhan, program itu dijalankan selepas kejayaan program yang sama di China dan Korea Selatan tetapi di Vietnam terapi secara kelompok juga dijalankan," kata Nhan. Ini bagi membolehkan mereka berkongsi antara satu sama lain tentang perasaan mereka."

Kursus itu juga menyasarkan penambahbaikan hubungan penagih dengan keluarga mereka melalui aktiviti ringan seperti membuat kek atau mengadakan barbeku.

Kursus kedua pula berakhir pada bulan Jun lalu. Mereka yang ketagih diberi rawatan sebanyak dua kali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: