Saturday, July 11, 2009

'Kandang lembu rumah kami'


TAIPING: “Hati saya cukup terguris dengan kata-kata menantu perempuan saya. Biarlah saya tinggalkan rumah dibeli wang hasil titik peluh saya itu dan tinggal di pondok buruk ditemani lembu.

“Anak lelaki saya pernah memujuk saya kembali tinggal bersamanya di rumah itu tetapi hati saya tertutup dan serik duduk sebumbung dengan isterinya,” luah warga emas Leha Othman, 65, ketika ditemui tinggal di sebuah pondok buruk berbumbung dan berdindingkan plastik.

Leha dan suaminya, Musa Samad, 58, tinggal di pondok buruk dalam kandang lembu milik anak sulungnya di Kampung Setia Jaya, Kamunting, dekat sini sejak hampir setahun lalu selepas merajuk dengan tindak-tanduk serta kata-kata sinis isteri anak lelaki keduanya.

Selain hidup dalam keadaan serba daif dan terdedah kepada panas mentari serta hujan, pasangan warga emas itu turut dibelenggu bau busuk najis lembu kerana pondok buruk mereka betul-betul di hadapan kandang haiwan itu.


Tambah menyedihkan, ketika golongan seusia tinggal di rumah sempurna dan menghabiskan sisa hidup dengan tenang, mereka terpaksa mengerah kudrat demi mencari nafkah halal menyara diri serta anak bongsu, Mohd Rizan Musa, 22, yang tidak bekerja dan cucu perempuan Aishah berusia dua tahun yang tinggal bersama.


Pasangan itu dikurniakan tiga anak dengan anak sulung perempuannya juga tidak mampu membantu berikutan kesempitan hidup.

“Saya membeli sebuah rumah buruk di Kampung Paya Baru tidak jauh dari sini kira-kira empat tahun lalu dengan hasil wang titik peluh ketika bekerja di sebuah kilang. Saya mempelawa anak lelaki kedua tinggal bersama.

“Namun selepas dia berkahwin kira-kira tiga tahun lalu, keadaan berubah apabila isterinya meninggalkannya bersama seorang anak perempuan menyebabkan keadaan bertambah rumit.

“Akibat tidak tahan sikap menantu, saya mengambil keputusan untuk keluar dari rumah terbabit bersama suami dan anak bongsu serta cucu dengan menetap di pondok buruk ini. Sebagai ibu, saya mengalah demi menjaga kebahagiaan anak lelaki saya biarpun hanya Tuhan tahu betapa sedihnya hati ini,” kata Leha.

Apabila diajukan soalan perselisihan faham itu, Leha terdiam sebelum pipinya dibasahi air mata kesedihan.

“Cukuplah saya memberitahu merajuk dengan perbuatan menantu perempuan. Sebagai ibu, saya masih bertanggungjawab menjaga aib anak saya,” katanya.

Leha yang bekerja sebagai pencuci botol di sebuah kilang minuman hanya berpendapatan RM10 sehari, manakala suaminya memperoleh pendapatan RM20 sehari bekerja pembantu menjual buah-buahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: