Saturday, July 11, 2009

Amah berjoli ditahan


KUALA TERENGGANU: Seorang amah warga Indonesia yang baru dua bulan bekerja di rumah bekas wakil rakyat serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu ditahan selepas melarikan diri bersama beg berisi wang dan dokumen majikannya.

Dia ditahan ketika ‘berjoli sakan’ dengan membeli pelbagai barangan seperti telefon bimbit dan jam tangan di sebuah pasar raya terkemuka di bandar raya ini bersama beg pakaian dan bersiap sedia untuk pulang ke negara asal, kelmarin.

Wanita berusia 22 tahun itu pada mulanya didapati hilang dari rumah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bergelar Datuk itu apabila isterinya yang berusia 52 tahun mendapati pembantu rumah tiada melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (perundangan) negeri, Superintendan K Manoharan, berkata setakat ini polis tidak mengesan pembabitan orang ketiga, namun siasatan mengenai perkara itu sedang dilakukan.


Menurutnya, setakat ini suspek dipercayai bertindak sendirian serta tidak berhubung dengan orang lain dan pihak berkuasa itu kini sedang mencari sebab serta latar belakang wanita berkenaan kerana dia sudah berbuat demikian sebelum ini.


Harian Metro difahamkan, kejadian disedari selepas isteri majikannya yang mendapati amah mereka hilang memeriksa barangannya dan mendapati dia kehilangan beg berisi dokumen penting dan sejumlah wang tunai.

Beberapa kes kehilangan wang dalam jumlah kecil di rumah berkenaan dikatakan kerap dilaporkan sebelum ini, namun pemilik rumah itu tidak mempunyai bukti untuk membuat sebarang tuduhan dan hanya menyesyaki ia dilakukan ‘orang dalam’.

“Berikutan kehilangan amah dan beg kira-kira jam 3 petang itu, mangsa membuat laporan polis,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: