Wednesday, July 22, 2009

Hadziq selesa jadi 'Belalang' 2009


NAMA Hadziq mula menjadi perhatian selepas muncul dalam program Tom Tom Bak.


NAMANYA menjadi sebutan ramai dan melintasi garisan populariti sebaik muncul dalam program Tom Tom Bak kendalian pengacara terkemuka tanah air, Aznil Haji Nawawi.

Lincah, periang, petah berbicara serta berani. Itu menjadi aset utama si cilik berusia sembilan tahun ini yang begitu mudah untuk didekati oleh sesiapa sahaja.

Semakin laku di dunia lakonan, dia diakui memiliki bakat semula jadi dan mampu bergelar ikon pelakon kanak-kanak andai diberikan peluang sewajarnya.

Pernah membintangi beberapa buah drama dan baru sahaja muncul dengan sebuah filem berjudul Syurga Cinta, namun, Mohd. Hadziq Mohd. Hazem atau mesra dipanggil Hadziq sebaik mungkin tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran yang menjadi penekanan utama ibu serta bapanya.

Bersekolah di darjah tiga, Sekolah Kebangsaan Taman Megah, Petaling Jaya, Selangor, Hadziq memberitahu, sedari awal lagi, ibunya telah memberi amaran tidak membenarkannya ponteng sekolah jika terlibat dengan penggambaran drama mahupun filem.

Sering ditemani neneknya, Amnah Mohd. Yusoff, 58, ke mana-mana lokasi penggambaran, ujar Hadziq, penglibatan dalam aktiviti seni akan hanya dibenarkan oleh ibunya sebaik tamat sesi persekolahan.

"Belajar okey. Tidak terganggu kerana proses penggambaran babak saya hanya dimulakan selepas habis sesi sekolah.

"Mak tidak bagi saya ponteng sekolah kalau ada penggambaran drama atau filem,'' katanya ketika ditemui Hits pada sesi penggambaran drama kanak-kanak berjudul Belalang: Epik Anakanda Nujum Diraja di Isi Rimba, Kampung Kemensah, Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.

Menurut Hadziq, selain dilarang ponteng sekolah, ibunya juga akan memastikan dia menyiapkan semua kerja sekolah sebelum bergerak ke lokasi penggambaran.

Diajak berborak ringkas mengenai Belalang: Epik Anakanda Nujum Diraja, Hadziq berkata, ia merupakan drama keempat lakonannya.

"Berlakon dalam drama ini cukup menyeronokkan kerana ia berkonsepkan pengembaraan. Belalang pada awalnya seorang yang tidak tahu menulis dan membaca.

"Bercita-cita tinggi untuk mengembara. Namun Belalang diarah oleh bapanya mempelajari seni mempertahankan diri agar perjalanannya selamat," kata Hadziq.

Belalang: Epik Anakanda Nujum Diraja terbitan Trinini Media Sdn. Bhd., diarahkan oleh Opie Zami dan bakal disiarkan di saluran Ceria (saluran 611, Astro) mulai 18 Oktober depan pada setiap hari Ahad, pukul 11 pagi.

Selain Hadziq, drama 26 episod itu juga membariskan pelakon ternama antaranya Mohd. Sobri Anuar Tarmiz, Aqasha, Ruminah Sidek, Zami Ismail, Yassin Senario dan Bob Kuman.

Drama terbabit menceritakan Belalang, anak Nujum Diraja, berhasrat untuk merantau mencari ilmu di dada.

Namun, bapanya sering sahaja mencari alasan agar Belalang tidak pergi jauh daripadanya.

Selepas didesak dan mempersetujui niat Belalang, bapanya mengarahkan anaknya itu mempelajari seni silat bersama Tok Panglima.

Raja bagaimanapun mengetahui niat murni Belalang dan terus menabalkannya sebagai Utusan Kecil Diraja serta dikurniakan segala alat kebesaran diraja.

Sepanjang pengembaraan, banyaklah manusia yang ditemui dan kejadian yang dialami Belalang yang semuanya kisah malang belaka.

Maka, Belalang merasa terpanggil untuk berbuat sesuatu bagi membantu mereka keluar daripada nasib buruk.

Kasih buat cucu tercinta

Sementara itu, Amnah yang turut ditemui di lokasi penggambaran drama berkenaan berkata, disebabkan kesibukan ibu Hadziq, dia rela untuk menemani cucunya itu menjalani penggambaran.

Sungguhpun begitu, ujar Amnah, ibu Hadziq telah memberi syarat agar sesi penggambaran tidak berlanjutan sehingga lewat malam.

"Cukup sampai pukul 9 malam sahaja. Sebelum ke lokasi penggambaran, kerja sekolah perlu disiapkan,'' katanya.

Selain berlakon, Hadziq juga seorang yang aktif di sekolah, kata Amnah. Di sekolah Hadziq aktif bermain bola sepak dan taekwando.

"Kalau waktu petang tidak ada penggambaran, Hadziq akan belajar mengaji al-Quran serta fardu ain,'' tambah Amnah mengenai rutin cucunya itu.

Senang kendalikan Hadziq - Opie

Dalam pada itu, Opie Zami menjelaskan, ketika di set penggambaran Belalang: Epik Anakanda Nujum Diraja, Hadziq merupakan seorang pelakon yang profesional.

Kata Opie, walaupun masih mentah dan baru didedahkan dalam dunia lakonan, Hadziq cukup mudah untuk dibentuk dan pantas memahami sesuatu arahan.

"Namun, lumrah kanak-kanak, mula-mula memang dia kuat main tetapi apabila berada di lokasi, dia beri fokus sepenuhnya. Saya melihat Hadziq memang dilahirkan sebagai pelakon,'' ujarnya.

Berkongsi jalan cerita drama Belalang: Epik Anakanda Nujum Diraja, Opie berkata, ia merupakan kisah pengembaraan kanak-kanak bernama Belalang yang berdepan dengan pelbagai watak dan kisah-kisah rakyat dahulu seperti Nenek Si Bongkok Tiga, Mat Jenin, Badang, Hang Jebat, Pekan, Melor serta Luncai.

Apa yang menarik, jelasnya, kesudahan cerita akan memberikan keputusan berbeza daripada apa yang diceritakan melalui hikayat atau cerita-cerita rakyat yang telah lama dipercayai turun temurun.

"Drama bersiri ini menggunakan khidmat 27 orang krew penggambaran dan merupakan drama episod ketiga arahan saya,'' tambah Opie yang turut memegang watak sebagai Tok Panglima.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: