ISU ini sebenarnya bukanlah isu baru. Azean Irdawaty sejak sekian lama sudah bercakap soal yang satu ini.Baru-baru ini Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) membuka mulut untuk membantu orang dalam bidang drama, filem dan iklan mendapat royalti ke atas kerja-kerja mereka.
Kerana seperti juga lagu-lagu, karya di bidang ini juga kerap kali diulang tayang oleh stesen-stesen televisyen.
Kalau bidang nyanyian, karyawannya bergantung kepada MACP (Badan Perlindungan Hak Cipta Malaysia) yang membolehkan mereka mengaut hasil daripada penyiaran lagu-lagu saban tahun, karyawan dalam bidang lakonan pula sebaliknya.
Biarpun adakalanya filem/drama atau karya mereka diulang tayang, mereka tidak mendapat apa-apa faedah.
Yang mereka dapat selain pujian kerana lakonan, arahan, cerita, skrip dan penerbitan yang mantap dan berkualiti adalah sekali bayaran untuk bekerja pada satu-satu projek. Hanya itu. Dan bayaran gaji untuk melaksanakan sesuatu projek bukanlah semewah mana.
Yang untung adalah stesen televisyen yang menyiarkannya kerana ada kalangan mereka membeli hak cipta sepenuhnya atau yang sedikit toleran dengan memegang hak cipta selama beberapa tahun.
Ini kerana setiap kali tayangan, mereka menjana pendapatan melalui iklan-iklan. Selain itu mereka boleh memperoleh keuntungan melalui salinan cakera yang dijual di dalam negara mahu pun di festival-festival filem di luar negara.
Wanda masih ingat, pada Kongres Kebangsaan Industri Hiburan dan Kesenian Malaysia anjuran Majlis Perundingan Industri Hiburan dan Kesenian Tanah Air (Mahkota) di Johor Bahru tidak berapa lama dulu, antara 14 resolusi yang dicadangkan untuk menjamin masa depan industri adalah pelaksanaan akta perlindungan karyawan dan artis.
Ia bertujuan agar tidak sahaja penerbit malah karyawan dan pelakon mendapat manfaat pada masa depan seperti yang diperoleh bidang penciptaan lagu.
Tapi sampai sekarang, sudah setahun berlalu, masih belum ada tanda-tanda ke arah perlaksaannya.
Jadi sudah tentu apabila Karyawan mengusulkan untuk menggubal satu akta bagi membantu para karyawan di bidang ini pastinya ia bukan sahaja sesuatu yang ditunggu-tunggu malah disambut baik oleh mereka yang terlibat.
Wanda berharap dan percaya presidennya, Freddie Fernandez akan bekerja keras memastikan apa yang dicadangkan itu berjalan lancar.
Ia penting untuk menjaga kebajikan dan membantu mereka untuk kelangsungan penjanaan pendapatan melalui bakat dan karya mereka.
Bayangkan kalau akta ini berhasil, berapa banyak pendapatan yang boleh dihasilkan oleh Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee melalui karya-karyanya yang setiap hari disiarkan di stesen televisyen tempatan?
Hasil-hasil inilah yang akan memberikan peluang kepada anak cucunya untuk melalui sebuah kehidupan yang terjamin.
Bayangkan pula betapa senangnya kehidupan yang dilalui Datuk Aziz Sattar apabila mampu menjana pendapatan melalui hasil royalti lakonannya.
Begitu juga dengan artis-artis seangkatannya yang lain. Atau artis-artis masa kini seperti Azean yang mungkin boleh menikmati royalti lakonannya dan boleh membantu dirinya untuk mendapatkan rawatan perubatan terbaik bagi penyakit yang dideritainya.
Rasanya sudah sampai masanya Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi menilai cadangan ini dan memberikan maklum balas positif untuk kepentingan masa depan para pengkarya.
Diharap langkah Karyawan ini dapat membuka mata terhadap kepentingan membayar royalti.
Lebih penting, setiap daripada mereka yang terlibat dalam industri berkenaan haruslah bersatu hati dalam perjuangan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: