|
|
SEMASA hayatnya, dia disanjung, dipuja. Juga dicaci dan dibenci. Namun kemuncak populariti seorang seniman bernama Michael Joseph Jackson adalah apabila nyawa bercerai dari badan.
Ya, sama ada kita memuja mahupun membencinya, perjalanan terakhir ikon dunia hiburan ini menempuh alam abadi dirai oleh masyarakat seluruh pelosok dunia.
Penyanyi, penari, superstar, kemanusiaan: Itu yang dikenang 20,000 orang yang memenuhi arena Staples Center dan berjuta-juta penonton di seluruh dunia terhadap insan yang larut dalam kehebatan dan kemasyhuran hidupnya.
Jackson, si penghibur luar biasa - yang penuh kejayaan dan masalah.
Dalam kesuraman, tanpa memperlihatkan jasadnya, keranda bersadur emas 14-karat yang indah diselaputi bunga mawar merah menjadi tatapan terakhir para pencinta Jackson. Majlis memperingati legenda muzik dunia ini berlangsung dalam suasana penuh kesederhanaan.
Ada nyanyian dan air mata emosi. Juga gelak tawa mengenang kisah perjalanan sebuah kehidupan seorang revolusioner muzik. Namun perjalanan terakhirnya menjadi satu detik paling memilukan apabila anak perempuannya, Paris Michael Katherine Jackson, 11 memberitahu dunia betapa sayangnya dia kepada ayahnya itu.
"Saya hanya mahu berkata... sejak saya dilahirkan, Daddy merupakan seorang ayah terbaik yang tidak pernah dapat anda bayangkan. Dan saya mahu memberitahu betapa teramat sayangnya saya kepada dirinya."
Demikian bait-bait yang begitu meruntun hati setiap daripada mereka yang menyaksikan majlis penghormatan terakhir Jackson.
Ungkapan 'daddy' menjadi sesuatu yang begitu berharga untuk didengar. Dan menjadi lebih berharga apabila ketiga-tiga anak Jackson muncul di khalayak.
Selama ini Jackson begitu melindungi anak-anaknya. Keluar rumah dengan mengenakan layah atau memakai topeng muka, semuanya untuk mengelakkan identiti mereka menjadi tumpuan kamera paparazzi.
Duduk di barisan depan, ketiga-tiga anak jackson juga menyertai kaum keluarga mereka naik ke pentas sebelum berakhirnya upacara selama dua jam itu.
Mengenakan sut gelap dan tali leher kuning seperti adik beradik Jackson yang lain, Michael Joseph Jr. yang juga dikenali sebagai Prince Michael, 12 kelihatan mengunyah gula-gula getah dan membawa buku program manakala adiknya, Prince Michael II, yang juga dikenali sebagai Blanket, tujuh, memegang buku program sambil memeluk anak patung Michael Jackson.
Sementara Paris yang mengenakan gaun hitam berbeg tangan kulit kelihatan mahu berkata sesuatu ketika pakciknya sedang membuat ucapan.
Dibantu Randy dan Janet di sebelahnya, Paris mengambil tempat dan kemudian dengan lemah berkata, "Saya mahu memberitahu..." Janet yang di sebelahnya memujuk sambil membetulkan rambut panjang perangnya, "Katakan sayang, katakan."
Paris kemudiannya sambil cuba mengawal perasaan menambah: "Sejak saya dilahirkan, Daddy merupakan seorang yang terbaik yang tidak dapat anda bayangkan," dan suara kecilnya mula serak.
Rebbie dan Marlon Jackson mendekati anak saudara mereka dan memujuknya. Paris menutup matanya dan kemudian, kedua tangannya yang jari kecilnya diwarnakan merah, memegang mikrofon dan sambil cuba mengawal tangisan menyambung: "Dan saya hanya mahu memberitahu betapa sayangnya saya kepada dia."
Dan sebaik menyebut perkataan itu, dia menangis teresak-esak dan terus memeluk Janet yang terus mendakap erat dan memujuknya. Prince Michael kemudiannya kelihatan turut mendakap Janet.
Lalu pada saat kematiannya itu, Wacko Jacko tidak lagi dilihat seorang yang hanya tahu berperangai aneh dan pelik tetapi jauh lebih hebat daripada itu.
Dia, 'daddy' yang merupakan seorang ayah yang amat menyayangi dan memanjakan anak-anaknya.
Ingatan kasih dan sayang
Suasana suram dan pilu itu juga menyaksikan ikatan adik-beradik Jackson yang begitu kukuh dan memperlihatkan betapa sayangnya mereka kepada Raja Pop dunia itu. Bukan sahaja adik beradik malah mereka yang pernah rapat kepadanya memberikan ucapan penghormatan terakhir.
Daripada abangnya Marlon hingga kepada teman lamanya, aktres Brooke Shields, masing-masing berkongsi rasa dan bahagia bersama Jackson.
Pengasas Motown, Berry Gordy pula meletakkan anak kecil yang pernah menjadi artis naungannya pada usia 10 tahun itu sebagai 'penghibur terhebat yang pernah wujud'.
Bekas bintang bola keranjang Los Angeles Lakers, Magic Johnson pula berkisah tentang memakan ayam Kentucky Fried Chicken kesukaan Jackson ketika berkunjung ke rumahnya.
Shield pula memberitahu bukan lagu-lagu hitsnya yang menjadi pujaan Jackson sebaliknya adalah lagu daripada filem Charlie Chaplin, Modern Times berjudul Smile yang kemudiannya didendangkan Jermaine khas untuk memperingati adik kesayangannya itu.
Sememangnya ungkapan-ungkapan 'manis' dan 'tulen' bukan lagi hak milik Jackson dan sangat jarang digunakan untuk menggambarkan dirinya dalam dua dekad terakhir hidupnya.
Semuanya gara-gara didakwa kerana pelbagai dakwaan termasuk mencabul kanak-kanak, wajah yang bertukar dan perangai yang eksentrik.
Namun penghormatan terakhirnya yang berlangsung Selasa lalu di Los Angeles itu, biarpun masih mengundang misteri ekoran tiada siapa yang tahu di mana Jackson dikebumikan, memberi satu ruang kepada dirinya untuk terus diingati dengan muzik dan kerja-kerja kemanusiaannya.
Justeru Heal the World dan We are the World menjadi lagu penutup yang begitu bermakna buat dunia yang menyayanginya.
Malah penyanyi Stevie Wonder berharap, momen itu tidak dilaluinya sebelum mendendangkan lagu Never Dreamed You'd Leave in Summer sebagai mengucapkan selamat tinggal kepada Jackson.
Mariah yang memulakan persembahan dengan lagu Jackson yang pernah dirakamkannya, I'll Be There sempat melambaikan kerinduannya sebelum beredar dari pentas.
Lionel Richie turut mendendangkan lagu gospel dan Usher menyentuh perasaan dengan mendendangkan lagu ciptaan Jackson, Gone Too Soon yang diciptanya sebagai ingatan kepada seorang mangsa AIDS.
Pastinya ucapan Al Sharpton, aktivis hak asasi kepada anak-anak Jackson mendapat tepukan paling bergemuruh daripada audiens di Staples Center apabila dia memberitahu, "Ayah anda bukanlah pelik. Apa yang perlu dia lalui itulah yang pelik."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: