Tuesday, July 21, 2009

Demam Bollywood di KL


CAROL Furtado (kanan) dan Deepak Rawat memegang watak sebagai Ayesha Merchant dan Uday.


KETIKA ini, demam Bollywood kembali melanda ibu negara apabila teater muzikal, The Merchants of Bollywood (MOB) kini sedang hangat dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Pementasan MOB yang bermula sejak 14 Julai lalu dan berakhir pada 26 Julai ini sememangnya menjadi sebutan dan telah mencipta satu fenomena baru dalam penerbitan teater antarabangsa sejak ia bermula lima tahun lalu.

Kedatangan MOB ke negara ini dibawakan secara eksklusif oleh Asiapromote Ventures Sdn. Bhd., dengan kerjasama LD Sports Sdn. Bhd., bersempena dengan sambutan Festival Muzik Kuala Lumpur sepanjang bulan Julai ini.

Antara negara-negara yang sudah pun dijelajahi oleh produksi teater ekstravaganza ini adalah Itali, Switzerland, United Kingdom, Poland, Sepanyol dan banyak lagi.

Apa yang membanggakan, biarpun muzik dan bahasanya merupakan bahasa Hindi namun ia bukanlah satu halangan untuk audiens antarabangsa menikmati satu persembahan yang cukup menakjubkan.

Sambutan yang diberikan terhadap teater ini membuktikan muzik mampu menyatukan masyarakat dunia biarpun berlainan latar belakang serta budaya yang ditonjolkan.

Sekadar menyingkap sejarah, idea untuk menerbitkan MOB datangnya daripada dua sahabat, Toby Gough dan Mark Brady yang menikmati hidangan di sebuah restoran India bernama Bollywood di New Zealand.

Kagum dengan dekorasi dan hiasan dalaman restoran berkenaan yang menampilkan koleksi gambar pelakon tersohor serta poster filem-filem Bollywood, lantas membuatkan mereka begitu teruja untuk menerbitkan sebuah teater muzikal tentang dunia perfileman negara India itu.

Maka dengan itu, lahirlah MOB yang memaparkan bagaimana kuasa dan impak yang terhasil daripada industri perfileman paling pesat di dunia sejak 40 tahun yang lalu dalam pementasan selama 100 minit ini.

Biarpun MOB menyajikan sebuah hiburan yang memaparkan kegemilangan Bollywood menerusi tarian, kostum dan permainan warna yang menakjubkan oleh hampir 50 orang penari, di sebaliknya ia mengandungi mesej tersirat yang cukup berguna.

MOB diangkat daripada kisah benar kehidupan keluarga Merchant yang merupakan koreografer serta guru tari tersohor yang meletakkan Bollywood di puncak tertinggi.

Namun, perbalahan berlaku apabila Shantilal Merchant tidak merestui minat cucunya, Ayesha Merchant yang mahu memodenkan serta mengkomersialkan tarian India dalam filem Bollywood.

Ia cukup berbeza dan bertentangan dengan perjuangan serta ideologi yang dipegang oleh Shantilal sepanjang dia menjadi koreografer untuk filem-filem Bollywood yang lebih mementingkan kepada gaya lama, klasik dan autentik.

Di samping menampilkan hampir 50 orang penari, MOB juga dikuatkan lagi dengan kehadiran tiga pelakon utamanya iaitu Chander Khanna, Carol Furtado dan Deepak Rawat.

Sewaktu bertemu dengan mereka dalam satu pertemuan eksklusif di ibu negara baru-baru ini, ketiga-tiga menyifatkan penglibatan mereka dalam MOB telah memberikan satu pengalaman baru dalam diri mereka sejak lima tahun lalu.

MOB memberi kesedaran - Chander

MERUPAKAN pelakon paling senior dalam pementasan ini, pada asalnya Chander membawakan watak Tao pada tahun pertama MOB dipentaskan.

Bagaimanapun, pada satu hari dia diminta untuk menggantikan Arif Zakaria yang tidak sihat ketika itu yang memegang watak Shantilal Merchant.

Barangkali, pengalaman selama empat dekad dalam dunia lakonan menyebabkan dia berjaya membawa watak itu dengan cemerlang.

Untuk itu, pihak penerbit sebulat suara untuk menyerahkan watak Shantilal kepadanya kerana mempercayai kredibilitinya dalam membawakan watak figura penting dalam dunia Bollywood itu.

Dalam usia yang menjangkau 50 tahun, Chander memberitahu, minat dan kecintaannya terhadap dunia seni tidak pernah padam dan dia berikrar untuk membawanya bersama sehinggalah ke nafasnya yang terakhir.

"Saya merasakan diri saya begitu bertuah kerana daripada watak pembantu, saya diberikan peluang dan seterusnya memegang watak utama. Saya tidak pernah meletakkan diri saya sebagai seorang pelakon yang terbaik kerana apa yang penting adalah perjuangan saya.

"Lebih empat dekad dalam industri, sudah terlalu banyak yang saya lalui dan saya gembira kerana masih lagi mampu bertahan sehingga kini dan memberi inspirasi kepada anak-anak muda.

"Saya berkata demikian kerana biarpun kita melalui transformasi dalam arus permodenan hari ini, jangan sesekali kita lupa kepada akar budaya kita yang memulakan segala-galanya," ujarnya penuh berhemah.

Menyambung bicara tentang MOB, dia kagum dengan semangat serta komitmen yang diberikan oleh anak-anak muda yang dilihat mahu membawa jauh budaya serta muzik Bollywood ke peringkat antarabangsa.

Bagi Chander sendiri, beliau tidak pernah berasa gusar mahupun tergugat dengan kehadiran generasi muda kerana setidak-tidaknya ia memberi semangat kepadanya untuk mempersembahkan yang terbaik.

"Selama lima tahun bersama produksi ini, ia memberikan satu pengalaman baru. Melihat orang asing gembira dan teruja dengan muzikal ini setiap kali kami membuat persembahan, membuat saya begitu kagum.

"MOB berjaya memikat hati mereka yang terpegun dengan muzik dan budaya yang ditonjolkan dalam pementasan ini.

"Saya memang menjangkakan perkara itu kerana rakyat negara ini memang begitu meminati muzik dan karya Bollywood. Jadi, itu bukan satu masalah buat mereka untuk menikmati persembahan MOB," ujarnya yang mengakui watak Shantilal begitu kuat serta mencabar dan bukan mudah untuk membawakannya.

Keindahan lima tahun buat Carol

MENGAKUI bukan mudah untuk membawakan watak Ayesha saat pertama kali ditawarkan dengan watak berkenaan lima tahun lalu, namun ia telah membuka satu lembaran baru dalam hidup Carol.

Masakan tidak, menerusi MOB juga ia berupaya memantapkan skil tarian Carol terutama dalam bidang tarian klasikal India.

Setidak-tidaknya, dengan mempelajari tarian klasikal India telah berupaya membuatkan dirinya mengenang kembali kepada akar umbi budayanya yang semakin hari semakin dilupakan.

"Biarpun berlainan latar belakang dan budaya, tetapi perkara pokoknya tetap sama. Jangan sesekali melupakan asal-usul kita dan mesej inilah yang diterapkan dalam pementasan ini.

"Arus pemodenan yang kita lalui hari ini ada kalanya menjadikan kita alpa tentang siapa diri kita dan kerana terlalu ghairah.

"Itulah diri Ayesha yang akhirnya dia sedar bahawa apa yang diajar datuknya selama ini merupakan tunjang kepada kejayaannya sehingga di gelar Puteri Romantis di India," jelas Carol yang wajahnya iras aktres terkenal Bollywood, Urmila Matondkar.

Sepanjang lima tahun bersama MOB, dia langsung tidak memikirkan tentang penat kerana semua itu terhapus secara automatik apabila melihat respons daripada audiens .

Melihat mereka menari dan bertepuk tangan pada akhir pementasan membuktikan bahawa budaya dan muzik mampu menyatukan masyarakat dunia.

"Saya sudah merantau ke banyak negara sejak lima tahun lalu dengan MOB, namun sambutan penonton Malaysia cukup mengagumkan.

"Setakat ini, saya lihat mereka begitu teruja dan terhibur. Mungkin kerana dunia Bollywood sudah sebati dengan mereka," tuturnya yang turut memuji keindahan negara ini biarpun pertama kali mengunjunginya.

Deepak daya penarik MOB

MEMILIKI sosok tubuh yang tegap dan berotot pejal menjadikan jejaka kacak ini sebagai daya penarik untuk pementasan ini.

Selain itu juga, kehebatannya menari dengan penuh energetik serta bertenaga di atas pentas membuatkan ramai yang kagum dengan dirinya.

Tetapi, mungkin ramai yang tidak tahu kepayahan dan kesusahan yang perlu dihadapinya untuk mencipta nama seperti hari ini.

Namun, semua itu berbalas apabila dia merupakan antara jurulatih tarian yang cukup dikagumi selain daripada mengiringi persembahan beberapa artis ternama Bollywood antaranya Datuk Shah Rukh Khan.

Malah, kehebatannya menari juga pernah membawanya merantau sehingga ke Los Angeles dan dia juga memiliki kelas tariannya sendiri di Melbourne, Australia selain di New Delhi, India.

Bercerita tentang penglibatannya dalam MOB, Deepak menjelaskan dia merupakan pelakon terakhir yang diambil membintangi teater muzikal berkenaan lima hari sebelum MOB membuka tirainya di Sydney.

Mujurlah dengan bantuan koreografer terkenal yang juga adik kepada Ayesha, Vaibhavi Merchant dia mampu belajar dan menyerap segala ilmu dalam sekelip mata.

"Perlu menjalani latihan selama tujuh jam sehari selain mempelajari pelbagai rutin tarian yang berbeza memang cukup mencabar.

"Tetapi, atas alasan itulah mengapa saya mahu melibatkan diri dalam pementasan ini kerana saya mahu mempelajari sesuatu yang baru. Saya mahu mempelbagaikan skil tarian saya yang lain seperti disko, salsa, hip hop, jazz serta street jazz," kata Deepak. daripada lima beradik ini.

Saat ditanya tentang watak Uday yang dibawakannya yang langsung tidak memerlukannya berkata-kata, Deepak memandangnya dari sudut yang positif.

Jelasnya, plot utama kisah MOB adalah tentang Shantilal dan Ayesha manakala Uday hanyalah sekadar watak yang muncul dalam hidup Ayesha pada permulaan dan pengakhiran cerita.

"Saya tidak kisah sebenarnya apabila diberitahu tiada dialog untuk saya. Asalkan saya dapat menari, itu sudah memadai dan buat saya gembira," kata Deepak yang memperuntukkan tiga jam sehari selama enam hari untuk mengekalkan bentuk tubuh yang menarik selain meningkatkan staminanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: