![]() |
| PERSEMBAHAN bertenaga daripada Bunkface menerusi lagu Revolusi. |
KEMUNCAK acara yang julung kali diadakan, Anugerah Shout! 2009 anjuran 8TV akhirnya melabuhkan tirainya pada malam Jumaat lalu dengan menyaksikan kumpulan muzik indie baru, Bunkface mengungguli kemenangan dengan tiga anugerah.
Bukan sahaja berjaya memenangi Roskstar Award dan Break Out Award, Bunkface turut mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai penerima pertama anugerah utama Anugerah Shout!, Ultimate Shout! Award.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah agaknya rasional di sebalik penganjuran Anugerah Shout! yang secara kasar dilihat tidak kurang bezanya dengan mana-mana majlis anugerah lain yang pernah dianjurkan sebelum ini.
Hakikatnya, selain merancakkan lagi suasana industri hiburan tempatan yang hampir lumpuh dilanda kegawatan, pengiktirafan dengan konsep yang lebih urban di samping mengenengahkan muka-muka baru di pentas persembahan dilihat sebagai sesuatu yang cukup positif.
Malah, mengangkat nama baru seperti Bunkface sebagai penerima anugerah utama sedikit sebanyak membuka lembaran baru dengan secara tidak langsung memotivasi kumpulan mahupun pemuzik-pemuzik muda mencipta dan terus berkarya.
Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar yang ditemui sejurus selesai majlis tersebut memberitahu, perjalanan majlis yang dilihat berlainan daripada mana-mana majlis anugerah lain membawa impak yang cukup baik kepada Anugerah Shout! yang pertama kali dianjurkan itu.
"Sepanjang majlis berlangsung, saya banyak menerima SMS (khidmat pesanan ringkas) daripada kawan-kawan yang antaranya ada dari kalangan mereka yang terlibat dalam industri muzik memberi maklum balas yang baik terhadap anugerah ini.
"Di samping menampilkan persembahan daripada artis-artis yang lebih senior, kita juga dapat melihat ada di kalangannya merupakan muka-muka baru dalam industri.
"Ini sesuatu yang saya rasa cukup positif kerana di samping membuat persembahan, corak persembahan serta bakat mereka dapat ditonjolkan untuk orang ramai lebih mengenali mereka," katanya.
Memenangi Rockstar Award, kumpulan yang popular dengan lagu Situasi itu menewaskan kumpulan-kumpulan indie lain iaitu Meet Uncle Hussain, Butterfingers, Hujan, Estranged dan Pop Shuvit yang terlebih dahulu mengumpul pengalaman dalam industri muzik berbanding mereka.
Begitu juga dengan Break Out Award. Bunkface menewaskan lima pencabar termasuk dua penyanyi senior iaitu Joe Flizzow dan Malique.
"Memenangi tiga anugerah pada malam ini membuatkan kami cukup gembira. Ketiga-tiganya memberi makna yang besar dalam kerjaya kami sebagai pendatang baru industri muzik.
"Memang kami tak sangka, bagaimanapun inilah hasil kerja keras kami selama ini. Harap-harap kemenangan ini dapat dijadikan sebagai 'tiket' untuk kami memajukan diri di masa hadapan.
"Mungkin selepas ini kami harus memikul tanggungjawab yang lebih besar daripada sebelum ini, tetapi kami tak kisah sebab sudah bersedia.
"Anugerah yang kami terima ini sedikit sebanyak membuktikan Bunkface selama ini gigih berusaha. Apa yang kami harapkan selepas ini industri muzik lebih stabil dan dihargai oleh seluruh peminat muzik tanah air," kata Youk, mewakili rakan-rakannya.
Tambah Paan pula, Bunkface merancang menghasilkan album sulung mereka selepas hari raya nanti.
Mengulas mengenai keputusan penerima anugerah pada malam itu, kata Ahmad Izham, saingan daripada segi undian yang diterima untuk kesemua kategori yang dipertandingkan begitu kuat terutama menerusi undian online di laman sesawang www.shoutawards.com.my.
Melihat kepada senarai pemenang, mungkin ada yang beranggapan bahawa keputusan pemenang yang dipilih lebih condong kepada mereka yang terlibat di bawah Media Prima Berhad.
"Saya tidak fikir begitu. Ada juga pencalonan yang dihantar oleh stesen-stesen lain cuma jumlahnya agak kecil berbanding yang dihantar oleh stesen atau radio di bawah Media Prima.
"Untuk kategori radio misalnya, yang menang ialah penyampai radio Hitz FM dan juga rancangan radio Fly FM. Kedua-duanya bukan di bawah Media Prima.
"Mungkin disebabkan senarai calon akhir lebih banyak daripada stesen-stesen di bawah Media Prima, maka orang mempertikaikannya," katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Izham mengharapkan pada masa akan datang lebih banyak penyertaan dan pencalonan yang akan dihantar oleh stesen-stesen televisyen dan radio lain.
"Dengan adanya anugerah ini, saya juga berharap agar lebih banyak program dan rancangan menarik dapat dihasilkan sebagai sesuatu yang baru untuk ditonjolkan," kata Ahmad Izham lagi.
Selain anugerah utama, antara anugerah yang cukup menarik perhatian ialah Power Vocal Award yang menyenaraikan nama-nama besar industri muzik termasuk Datuk Siti Nurhaliza dan Jaclyn Victor.
Bagaimanapun, kemenangan lebih berpihak kepada juara Malaysian Idol musim pertama, Jaclyn.
"Mengenai kemenangan ini saya rasa kerana saya sangat bernasib baik. Saya pun bukan lama sangat, baru lima tahun dalam industri. Kesemua calon yang bertanding bagi saya hebat-hebat belaka," katanya.
Perjalanan majlis yang berlangsung selama lebih tiga jam itu bagaikan tidak dirasai apabila atmosfera stadium dihangatkan lagi dengan rangkaian lagu-lagu rancak yang rata-rata terdiri daripada pemuzik indie.
Antara mereka yang membuah persembahan ialah Pop Shuvit, Jin Hackman, Caprice, One Buck Short, Shila dan Nikki, Bunkface, Komplot dan Pesawat, Estranged dan Joe Flizzow.
Tidak ketinggalan, persembahan daripada Paolo Delfina, Reza Salleh dan Mia Palencia menerusi empat lagu antaranya Lucky dan Call Waiting.
Menariknya pada majlis tersebut, sebuah segmen tribute dipersembahkan oleh Jaclyn sebagai penghormatan kepada Raja Pop dunia, Michael Jackson yang meninggal dunia pada 25 Jun lalu.
Jaclyn penuh bertenaga mempersembahkan medley lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Michael Jackson iaitu You Are Not Alone dan Heal The World.
Mengulas mengenai persembahan tribute bersama Reefa dengan iringan muzik oleh Aubrey Suwito, kata Jaclyn, dia mengambil masa selama seminggu untuk berlatih dan membuat persiapan.
"Saya mahu persembahan yang agak sederhana. Jadi saya menyanyi dengan cara saya sendiri tanpa meniru cara persembahan Michael Jackson," kata Jaclyn lagi.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan artis antarabangsa Sean Kingston.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: