Monday, July 20, 2009

Bunkface unggul dengan kejayaan ‘hatrik’

Band Indie yang kian meningkat dalam persada muzik tanah air, Bunkface melakar kejayaan ‘hatrik’ pada malam penganugerahan Shout! Awards apabila cemerlang menerusi tiga kategori iaitu Break Out Award, Rockstar Award dan anugerah utama Shout! Awards, Ultimate Shout! Award.

Menurut vokalis dan pemain gitar kedua Bunkface Sam, bandnya tidak menjangkakan menerima ‘durian runtuh’ pada malam tersebut.Lebih-lebih lagi katanya, pesaing bagi dua kategori itu terdiri daripada artis-artis yang hebat belaka.

“Anda boleh gunakan apa sahaja perkataan, teruja, ‘happy’, ‘I am on top of the world’. Saya memang sangat gembira buat masa ini,” kata Sam ketika ditemui di pasca parti Shout! Awards.

Selain Sam, Bunkface dianggotai oleh Paan (pemain gitar utama), Youk (pemain bass) dan Biak (Pemain Dram).

Imbas kembali pembabitan awal Bunkface, mereka mula serius dalam industri muzik tanah air apabila memasuki pertandingan seperti Battle of The Band dan Time Blast Off. Walaupun kalah dalam pertandingan Time Blast Off, pihak Astro bermurah hati apabila telah menaja Bunkface untuk menerbitkan sebuah klip video dengan single pertama mereka, Silly Lily. Bertitik-tolak dari situlah, nama Bunkface beransur-ansur menembusi industri muzik ‘mainstream’ tempatan.

“Setelah berkecimpung dalam industri hiburan selama tiga tahun, akhirnya usaha kami telah membuahkan hasil. Dan kami ingin berkongsi kejayaan ini bersama peminat yang terus menerus memberikan sokongan kepada kami,” kata vokalis yang baru berusi 21 tahun itu.

Majlis yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu turut menyaksikan penyanyi baru, Stacy membuat kejutan apabila berjaya memenangi kategori anugerah Popstar Award menewaskan penyanyi berpengalaman antaranya Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Jaclyn Victor dan Nikki.

Siti Nurhaliza sekali lagi ditewaskan apabila kelantangan vokal Jaclyn Victor membolehkan beliau merangkul anugerah Power Vocal Award.

Selain Siti, Jaclyn turut menewaskan empat calon lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: