Monday, July 20, 2009

APM: Siti Nurhaliza kekal paling popular

Penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, membuktikan popularitinya di rantau Asia masih lagi utuh apabila dinobatkan pemenang kategori Artis Serantau Paling Popular dalam Anugerah Planet Muzik 2009 (APM 2009) di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Senayan di Jakarta, Indonesia malam kelmarin.

Sebelum ini, penyanyi wanita tersohor tersebut telah mengekalkan kemenangan selama lapan tahun berturut-turut melalui kategori Artis Wanita Paling Popular sebelum kategori tersebut ditukar kepada Artis Serantau Paling Popular. Kemenangan itu sekaligus mengekalkan takhtanya dalam kategori itu selama sembilan tahun berturut-turut.

Bukan itu sahaja, Siti turut meraih kemenangan dalam kategori Artis Malaysia Paling Popular Anugerah Kosmo dengan menewaskan artis tempatan popular lain seperti Misha Omar, Mawi, Anuar Zain, Hujan, Aizat dan Meet Uncle Hussain. Kedua-dua kategori itu diadili menerusi undian SMS yang dibuka sejak pertengahan bulan Jun lalu.

Namun begitu, penyanyi itu gagal memenangi kategori Artis Wanita Terbaik apabila tewas kepada Bunga Citra Lestari dari Indonesia yang mempertaruhkan album Tentang Kamu. Ini kekalahan kedua Siti untuk kategori itu selepas Kris Dayanti memenanginya tahun lalu sekali gus merampas gelaran dipertahankan oleh Siti selama enam tahun berturut-turut sejak APM dianjurkan pada tahun 2001.

Selain Siti, penyanyi dan komposer muda, Aizat turut cemerlang apabila berjaya mengungguli dua kategori yang dipertandingkan iaitu Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Artis Baru Lelaki) dan Lagu Paling Popular (Malaysia) dikira berdasarkan jumlah muat turun. Kedua-dua kategori itu menang menerusi single pertama dalam album pertamanya iaitu ‘Hanya Kau Yang Mampu’.

Juara One In A Million musim kedua, Ayu turut mengharumkan nama Malaysia apabila memenangi kategori Artis Baru Wanita Terbaik menerusi lagu popularnya, Hanya Di Mercu.

Sementara itu, penyanyi Indonesia, Afgan dan kumpulan Yovie & Nuno turut memenangi dua kategori di majlis anugerah yang pertama kali diadakan di negara mereka.

Afgan meraih kategori Artis Lelaki Terbaik dan Album Terbaik menerusi album ‘Confession No. 1’ manakala Yovie & Nuno mengungguli kategori Duo/ Kumpulan Terbaik menerusi album ‘The Special One’ dan Artis Indonesia Paling Popular.

Sebanyak 16 kategori dipertandingkan dan ini termasuk sembilan kategori terbaik, tujuh anugerah paling popular selain dua kategori khas, iaitu Anugerah Cinta Planet Muzik dan Anugerah Khas Planet Muzik.

APM 2009 yang pertama kali diadakan di Jakarta diserikan dengan persembahan Siti Nurhaliza, Hujan, Ayu, Aizat, Faizal Tahir, Nidji, Taufik Batisah dan Hady Mirza.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: