
KUALA LUMPUR - Kementerian Pengajian Tinggi memberi amaran keras kepada mahasiswa yang terlibat dalam sindiket penipuan agensi pekerjaan termasuk membuang mereka daripada meneruskan pengajian di menara gading.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang marah dengan trend itu berkata, tindakan tersebut akan dibuat tanpa kompromi kerana menyifatkan perbuatan tersebut sebagai satu kesalahan jenayah.
Bukan itu saja, katanya, mahasiswa atau mahasiswi yang terlibat dalam penipuan sebegitu juga bakal diheret ke mahkamah.
"Mereka jangan fikir dengan status sebagai mahasiswa mereka boleh terlepas daripada tindakan undang-undang. Mereka juga boleh dikenakan tindakan dibuang daripada universiti selepas diadili oleh undang-undang terlebih dulu,'' tegasnya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pendedahan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berhubung kegiatan segelintir mahasiswa negara ini yang dikesan menjadi tali barut untuk menipu golongan siswazah yang terdesak mendapatkan pekerjaan.
Mereka dilaporkan hanya menggunakan modal air liur untuk mempengaruhi calon dan seterusnya memohon wang pendahuluan sebelum menghilangkan diri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: