Sunday, July 19, 2009

Berjayakah formula Skrip 7707?


Skrip 7707 memberi perspektif baru dalam cerita hantu di Malaysia.


SELEPAS berpuas hati dengan filem Rasukan Ablasa, kali ini giliran filem Skrip 7707 pula masuk ke panggung. Filem yang diarahkan oleh Profesor Madya A. Razak Mohaideen ini nampaknya masih lagi mengekalkan genre seram sebagai tunjang utama.

Ini merupakan filem ke-28 bagi pengarah tersebut. Namun begitu, apa yang mengesankan ialah filem Skrip 7707 sudahpun menjalani penggambaran dua setengah tahun yang lalu tetapi hanya baru kini ia ditayangkan kepada umum. Apakah yang menyebabkan perkara itu berlaku?

Agak menarik untuk diperkatakan mengenai filem ini sudah pasti apabila sembilan cerita digabungkan dalam satu plot penceritaan dan menjadikan filem ini menarik untuk ditonton memandangkan elemen kejutan yang sentiasa berlaku setiap 10 minit.

Antara cerita-cerita yang ditonjolkan adalah seperti legenda hantu di asrama yang kehadirannya berpunca daripada kematian seseorang di dalam asrama tersebut dan cerita hantu yang 'menumpang' di hospital lama.

Selain itu, kisah tentang kewujudan hantu yang popular di kalangan orang melayu iaitu hantu raya yang mempunyai kebolehan menyerupai manusia biasa juga ditayangkan didalam babak di mana seorang isteri yang sedang sarat mengandung memerlukan bidan. Konflik mula tercetus apabila bidan yang dipanggil suaminya sampai di rumahnya seorang diri.

Kepercayaan tentang roh yang tidak tenang kerana ada sesuatu yang tidak membenarkannya pergi dengan aman juga dipaparkan di dalam Skrip 7707, seorang lelaki telah meninggal dunia tetapi adik kecilnya masih boleh melihat kehadiran beliau. Apakah yang mengganggu roh abangnya sehingga dia terperangkap di dunia walaupun telah meninggal?

Ketika ditemui pada sidang media selepas tayangan filem tersebut Razak menjelaskan bahawa itu adalah formula baru yang cuba didedahkan kepada penonton memandangkan masih belum ada pihak produksi dalam dunia yang mencuba formula tersebut.

"Mengikut kajian khalayak yang kita lakukan sebanyak 55 peratus berpendapat filem seram di Malaysia lambat mencapai impak kejutan. Manakala 22 peratus pula berpendapat filem seram lambat mencapai klimaks.

"Sebab itu kita menjanjikan kejutan kepada penonton setiap 10 minit melalui himpunan hantu-hantu yang terdapat di Malaysia. Saya juga berani katakan bahawa cerita hantu yang terdapat dalam filem ini pernah terjadi kepada diri saya dan rakan-rakan yang lain," kata Razak.

Kombinasi pelakon yang terlibat juga menjadi daya penarik kuat pada filem ini. Ia menggabungkan hampir 40 orang pelakon popular tanah air seperti Norman (KRU), Abby Abadi, Norman Hakim, Que Haidar, Jehan Miskin, Fouziah Gous dan ramai lagi.

Kelewatan Mengulas mengenai kelewatan tayangan filem ini yang disiap pembikinan sejak lebih dua tahun lalu, Razak menjelaskan proses membuat imej janaan komputer (CGI) memakan masa yang lama memandangkan ketika itu keutamaan diberikan kepada filem Duyung yang sudahpun ditayangkan kepada umum.

Ketika itu Razak sedang sibuk dengan pasca produksi filem Duyung dan pihak KRU Studio juga kekurangan masa memandangkan Cicakman Planet Hitam juga sedang terlibat dalam proses CGI. Lantaran itu babak kesan khas tersebut diberikan kepada syarikat yang lain.

Apabila ditanya mengenai sasaran kutipan, Razak tidak mahu mengulas lanjut memandangkan ini adalah formula baru yang digunakan dan sudah pasti dia hanya mahu melihat respons daripada peminat terlebih dahulu.

"Saya tidak mahu meletakkan sasaran. Lagipun filem ini akan mula ditayangkan pada 16 Julai ini dan kita akan berentap dengan sekuel Harry Potter And The Half-Blood Prince pula. Jadi sama-samalah kita lihat perkembangannya nanti.

"Namun begitu kita sudah membuat perancangan untuk menayangkan filem ini di Melbourne, Australia selewat-lewatnya sebelum bulan Ramadan ini. Walaupun bukan untuk tayangan perdana di sana, tetapi kita lebih fokus kepada pelajar dan orang Malaysia yang menetap di sana," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: