Sunday, July 19, 2009

Couple dipulau stesen radio?


Paling membanggakan apabila Now I Can See telah menjadi lagu tema bagi rancangan Humanzee, sebuah siri televisyen di AS suatu ketika dahulu
- Aidil


MELIHATKAN iklim dunia muzik tempatan kini, tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh kumpulan-kumpulan independent semakin rancak dan sedikit sebanyak mengurangkan pergantungan kita kepada muzik dari negara seberang.

Ini adalah petanda bahawa muzik tempatan juga mempunyai kualiti yang baik dan dapat menarik minat orang tempatan untuk terus menyokong industri muzik kita.

Kumpulan Couple yang dianggotai oleh empat anak muda ini juga tidak terkecuali merasakan tempiasnya. Jika satu ketika dahulu mereka hanya bermain muzik di gig-gig tertutup, kini peluang untuk mereka membuat persembahan di pentas terbuka semakin banyak.

Namun entah di mana silapnya, lagu-lagu mereka sebelum ini langsung tidak dipandang oleh stesen-stesen radio tempatan biarpun ramai peminat yang mahu lagu mereka diputarkan.

Itulah hakikat yang terpaksa mereka telan selama ini. Isu lagu tidak diputarkan di radio bukan satu yang baru dalam dunia muzik tempatan. Malah isu ini sudah berlarutan sejak dahulu lagi.

Biarpun agak sedih dengan sesetengah stesen radio, Couple tidak berputus asa. Malah selama ini mereka percaya kepada usaha keras yang dilakukan selama ini akan membuahkan hasil sedikit masa lagi.

Menurut vokalis kumpulan Couple, Mohd. Aidil Rusli, biarpun lagu mereka tidak selalu diputarkan di radio, tetapi mereka masih lagi boleh berbangga apabila peminat masih lagi dapat mendengar muzik mereka melalui laman sesawang di Internet.

"Tidak dapat dinafikan, kami juga mempunyai kelompok peminat tersendiri. Mereka hanya mendengarkan muzik yang kami mainkan di laman sesawang dan hanya dengan cara itu kami dapat kumpulkan peminat.

"Kami juga mendapat maklum balas daripada peminat apabila muncul membuat persembahan di gig-gig dan sedikit sebanyak menaikkan lagi nama Couple untuk terus bersaing dengan kumpulan lain," kata Aidil ketika ditemui di Studio Utusan baru-baru ini.

Couple juga turut dianggotai oleh Masrin Mohd. Noor (bass), Ariana Adnan (gitar) dan Shahrin Ismail (drum).

Biarpun sudah menghasilkan banyak album sejak di awal kemunculan lagi, kini hala tuju kumpulan ini semakin jelas apabila mahu menghasilkan album seterusnya yang mengandungi 10 buah lagu sedikit masa lagi.

Menurut Aidil lagi, album yang diberi nama Top Tak Masuk Radio itu merupakan satu sindiran kepada stesen radio yang enggan memainkan lagu mereka sejak dahulu lagi.

"Biarlah apa orang nak cakap tentang perkara tersebut. Saya tak kisah. Apa yang penting kini kami mahu memberi tumpuan yang lebih kepada Couple untuk terus kekal sehingga bila-bila," katanya lagi.

l Pernah jual album di Jepun & AS

Biarpun nama Couple tidak segah nama kumpulan lain, namun mereka juga pernah mencipta sejarah tersendiri apabila album terdahulu sudahpun memasuki pasaran Jepun dan Amerika Syarikat (AS) beberapa tahun lalu.

Kata Aidil, selaku anggota asal kumpulan ini, rasa bangga dan terharu memang tidak dapat digambarkan apabila album kumpulan ini berjaya 'menerjah' pasaran di kedua-dua buah negara yang selama ini hanya menjadi angan-angan mereka.

"Namun selepas dua bulan dilancarkan di sana, timbul beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Kami pun tak tahu apa kesudahannya dan hanya menyerahkan kepada syarikat rakaman di sana yang menguruskan Couple di sana.

"Apa yang saya tahu, sehingga kini masih terdapat album Couple yang dijual di kedai-kedai kaset di Jepun manakala di AS pula majalah hiburan mereka masih lagi memberikan liputan terhadap Couple sehingga kini," jelas Aidil yang menyukai kumpulan Search dan Rolling Stone ini.

Paling membanggakan apabila lagu Now I Can See telah menjadi lagu tema bagi rancangan Humanzee, sebuah siri televisyen di AS pada waktu itu.

Impian Couple kini lebih jelas, mereka tak mahu kumpulan yang dibina sejak 14 tahun yang lalu ini berkubur seperti kumpulan yang lain dan mahu muzik yang mereka perjuangkan diterima ramai.

Bagi peminat yang ingin mengetahui maklumat lebih lanjut dan mendengar sendiri lagu mereka, boleh melayari www.myspace.com/couple untuk maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: