Monday, July 13, 2009

Aznil mohon maaf

Sikap pengacara dan penyampai radio popular, Aznil Haji Nawawi, meninggalkan sebuah majlis hiburan baru-baru ini mengundang cakap-cakap belakang yang kurang enak tentang dirinya. Selain dikatakan tidak menghormati majlis, Aznil juga telah membelakangkan dua penyanyi senior, Jay Jay dan Ramlah Ram yang sepatutnya membuat persembahan pada majlis itu.

“Perkara itu tidak sepatutnya jadi isu, kerana pihak penganjur sudah pun maklum yang saya harus meninggalkan majlis itu seperti yang dijanjikan. Tak perlulah besar-besarkan perkara ini, kerana ia sudah pun selesai dan antara kami tak ada apa-apa masalah pun,” kata Aznil yang ditemui ketika rakaman Macam-Macam Aznil tempoh hari.

Jelas Aznil lagi, mengikut perjanjiannya dengan pihak penganjur, dia sepatutnya diberi pelepasan lebih awal kerana harus bergegas ke Johor untuk menyertai program Jelajah Era. Dia yang sudah lewat setengah jam itu terpaksa beredar tanpa mengumumkan nama dua penyanyi senior, Jay Jay dan Ramlah Ram yang sepatutnya membuat persembahan pada majlis itu.

“Mengikut perjanjian, selesai atau tidak majlis itu saya harus dilepaskan pada pukul 11 malam. Tapi walaupun sudah setengah jam berlalu, pihak penganjur seolah-olah tidak memberikan respons, dan saya sendiri terpaksa bergegas meninggalkan majlis itu. Saya ingat pihak penganjur sudah menyediakan back-up pengacara bagi menggantikan saya untuk memanggil Jay-Jay dan Ramlah Ram ke pentas. Tetapi rupanya tak adalah pula. Jadi perkara ini bukanlah disengajakan.

“Bagaimanapun, sebagai adik kepada dua penyanyi senior saya ingin minta maaf dan untuk pengetahuan, saya dah pun minta maaf dengan mereka menerusi SMS sebaik sahaja saya meninggalkan majlis itu. Setakat itu, memang tak ada masalah antara kami dan mereka pun dah maafkan saya,” kata Aznil yang kembali dengan Macam-Macam Aznil musim kelima bermula 23 Ogos ini pada setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: