Monday, July 13, 2009

Belalang drama pengembaraan terbaru di Astro Ceria

Astro Ceria (saluran 611) yang sinonim dengan penerbitan program-program yang disasarkan khusus buat kanak-kanak kini membawakan sebuah drama bersiri terbaru yang berjudul Belalang; Epik Anakanda Nujum Diraja. Drama menarik ini diilhamkan oleh Adlin Aman Ramlie dan diarahkan oleh pengarah Opie Zami.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ceria, Azlin Reza Azmi, drama Belalang berkonsepkan pengembaraan akan di dokong oleh watak utamanya, seorang kanak-kanak lelaki bernama Belalang yang akan berdepan dengan pelbagai watak tradisional daripada pelbagai rentetan peristiwa yang pelik, lucu, sedih dan menggerunkan.

“Watak Belalang ini akan terlibat secara langsung dalam siri kejadian yang akan mematangkan dirinya di samping memberi manfaat-manfaat baru kepada watak-watak lain yang berdepan dengan masalah semasa.

“Kesudahan cerita akan memberikan keputusan yang berbeza daripada apa yang kebanyakan tertulis di dalam hikayat mahupun cerita-cerita rakyat yang telah lama dipercayai sejak turun-temurun. Secara umumnya, watak belalang akan dilihat sebagai wira baru di dalam percaturan watak-watak tradisi,” kata Azlin.

Bagi memeriahkan lagi proses penggambaran drama Belalang ini, Astro Ceria bersama-sama krew produksi akan menjelajah ke sekitar lokasi-lokasi bersejarah di sekitar Melaka dan Kuala Lumpur pada 18 dan 25 Julai 2009. Sehubungan dengan itu, orang ramai terutamanya adik-adik yang berumur dalam lingkungan 4 hingga 14 tahun dijemput untuk mengikuti penggambaran Belalang ke lokasi-lokasi yang terpilih di sekitar Malaysia sambil mengenakan pakaian tradisional ala Melayu untuk memeriahkan lagi suasana. Petikan rakaman pengembaraan Belalang ke tempat-tempat bersejarah ini akan disiarkan sebagai selingan menerusi Astro Ceria sempena Merdeka kelak.

Menerusi Program Cuti-Cuti Merdeka Bersama Belalang ini bukan sahaja memberi peluang kepada adik-adik belajar dan bergembira malah mereka juga dapat mengetahui tentang program Belalang dengan lebih lanjut serta mempelajari dengan lebih mendalam tentang sejarah Malaysia.

Drama bersiri ini dibintangi oleh barisan gabungan pelakon baru dan lama seperti adik Hadziq, Sobri Anuar, Aqasha, Ruminah Sidek, Opie Zami, Zami Ismail, Bob Kuman, Yassin Senario dan ramai lagi.

Ia mengisahkan Belalang anak Nujum Di raja yang terlalu ingin merantau mencari ilmu di dada. Namun bapanya, sering saja mencari alasan agar Belalang tidak pergi jauh daripadanya. Risaukan keselamatan anaknya, Belalang disuruh berguru pencak dengan Tok Panglima di kampung sebelah sebagai bekalan andai perjalanannya itu kelak diduga dengan segala yang jahat. Belalang yang tidak suka keganasan terpaksa menurut kerana janji bapanya, sesudah berguru silat bolehlah dia mengembara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: