
DIBELENGGU pelbagai kontroversi yang sedikit sebanyak telah membayangi karier seninya, juara program realiti One In A Million musim kedua (OIAM2), Ayu kini lebih bijak mengatur kata-kata apabila dilemparkan soalan berbaur peribadi.
Pernah menyesal pada ketika permulaan karier, Ayu sedar bahawa bukan senang untuk memegang gelaran juara OIAM2. Malah pada suatu tahap ibu bapanya pernah menyuruh dia melepaskan sahaja usahanya selama ini dan pulang ke Sabah kerana sudah tidak tahan dengan berita negatif mengenai anaknya.
Selepas memujuk dan menjelaskan keadaan sebenar, Ayu dibiarkan terus berjuang dalam industri. Saat Ayu semakin reda dengan kontroversi yang menyatakan dirinya mabuk dan menghabiskan wang sesuka hati di kelab malam semakin dilupakan, Ayu didatangi satu lagi persoalan yang membuatkan dirinya hanya mampu tersenyum.
Senyum kerana tidak tahu bagaimana untuk menjawab, Ayu dikatakan sedang bercinta dengan seorang jejaka yang pernah dilihat semasa mereka berdua meluangkan masa di pusat membeli-belah, One Utama. Namun, Ayu dengan tegas menafikannya.
"Itu dulu. Dia sebenarnya kawan saya dan kami tidak berhubung lagi sekarang. Sebenarnya saya sekarang dalam proses mengenali hati budi sesorang. Kami sudah berkawan selama setengah tahun tapi untuk bersama sebagai pasangan itu masih jauh lagi.
"Dia bukan orang dalam industri dan saya mengenali dia menerusi kawan. Dia kini berusia 20-an dan anda boleh panggil dia jejaka S," kata pemenang Anugerah Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu di Anugerah Planet Muzik 2009 ini. .
Enggan mengulas lanjut mengenai jejaka yang dimaksudkan, Ayu merasakan industri hiburan ini ada kalanya agak kejam. Maka, bagi berdepan dengan tekanan dan menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dia menghadiri kelas dengan Fatimah Abu Bakar.
"Orang selalu cakap saya tidak mempunyai keyakinan diri. Jadi saya ada menghadiri kelas untuk belajar cara berkomunikasi dengan Cikgu Fatimah. Kalau ada cerita yang negatif mengenai diri saya, saya akan bertemu dengan cikgu.
"Mulanya memang saya berasa tertekan tetapi atas sokongan yang ada terutama kaunseling daripada cikgu, saya belajar daripada benda-benda negatif yang ditulis.
"Selain daripada itu, saya juga ada belajar seni lakonan dan Bahasa Inggeris daripada cikgu yang sama sebanyak tiga kali seminggu," katanya yang hanya akan berhenti jika sudah mendapat keyakinan diri secukupnya.
Tidak mahu memalukan keluarga di kampung, Ayu memberitahu dia sentiasa berfikir panjang sebelum melakukan sebarang keputusan atau tindakan. Jadi apabila ada pihak yang menyatakan dia tidak berapa sesuai dengan imej barunya, Ayu menyatakan dia selesa dengan penampilan terbarunya.
"Saya tahu saya tidak boleh memuaskan hati semua orang. Asalkan saya rasa selesa, itu sudah cukup. Tiada orang yang paksa saya untuk berpakaian sebegini. Namun, selepas Monkey Bone dan 8Unit 'memberikan' imej baru ini, saya menyukainya," tambahnya yang mengakui dirinya kadang-kala suka terlepas cakap.
Menanti selama setahun untuk menghasilkan album sulungnya, Inspirasi, Ayu berasa teruja sehingga dia mengambil album-album promosi itu sendiri di kilang. Merakamkan 13 buah lagu, Ayu dan labelnya, Monkey Bone hanya memilih sembilan lagu yang difikirkan terbaik. Mengapa prosesnya menelan masa setahun?
"Sebenarnya yang susah itu adalah masa mencari lagu yang sesuai. Ini kerana saya mahukan lagu-lagu yang tepat dengan ciri-ciri diri saya. Jika tidak ia amat sukar bagi saya untuk 'berkomunikasi' dengan lagu itu yang sekali gus menyukarkan proses saya merakamkan lagu," ujar Ayu.
Mempertaruhkan lagu Inspirasi sebagai single pertama, Ayu juga berduet dengan Nabil untuk lagu Janji Kita. Masih belum dapat memilih lagu untuk dijadikan sebagai single kedua, Ayu bercerita sedikit mengenai lagu yang memberi maksud tersendiri kepadanya.
"Lagu Cinta dan Hidup memberi kenangan yang mendalam kerana saya terpaksa merakam sebanyak empat kali. Saya tidak dapat memahami maksud lagu kerana ia amat mendalam. Sebuah lagi lagu yang sukar adalah Ku Miliki Abadi. Ini kerana Azlan Abu Hassan amat mementingkan vokal dan kualiti.
"Saya pula sukar tukar stail menyanyi. Jadi saya berdepan dengan sedikit kesukaran di sana. Nasib baik rakaman itu siap dalam masa sehari dan berjaya memenuhi kehendak komposer," tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: