Tuesday, July 28, 2009

‘Aisunam’ rockers dua nama satu wajah

Aisunam jika diterbalikkan ejaannya membawa kita kepada perkataan manusia. Itulah konsep yang terdapat dalam lagu-lagu yang dinyanyikan kumpulan Aisunam di mana mereka mengetengahkan konsep kemanusiaan dengan memperjuangkan genre ‘symphonic metal’.

Selain itu, apa yang menarik tentang kumpulan Aisunam ialah mereka juga dikenali sebagai The Federated. Tetapi, mereka mempunyai sebab yang tersendiri mengapa mereka memerlukan dua nama yang berbeza.

Selain mahukan kelainan, kedua-dua nama itu mempunyai fungsi yang berbeza.

Jika diimbas kembali sejarah penubuhan kumpulan ini, mereka terlebih dahulu dikenali sebagai The Federated. Menurut vokalis kumpulan ini, Fauzi, The Federated mula ditubuhkan sekitar tahun 1998 dan beraksi secara underground manakala nama Aisunam digunakan untuk pergerakan mereka di pentas arus perdana.

“Sebenarnya peminat tidak perlu keliru kerana kedua-dua kumpulan ini dianggotai oleh orang yang sama. Tetapi kami cuba memperluaskan skop pendapatan kami menerusi persembahan dengan menggunakan dua identiti yang berbeza dari segi penampilan dan genre muzik yang diperjuangkan.

“Sekiranya kami membuat persembahan menggunakan nama Aisunam, penampilan kami lebih kemas dan terampil berbanding ketika membawa identiti The Federated yang berpenampilan agak unik,” jelas Fauzi merungkai kekeliruan yang timbul.

Selain Fauzi yang bertindak sebagai gitaris kedua, Aisunam dan The Federated turut dianggotai oleh Amir (basis), Eddy (gitar utama) dan Ejad (dram).

“Secara jujurnya, kami lebih selesa membawakan identiti The Federated kerana muzik yang dibawa lebih bebas dan boleh melepaskan sepenuhnya luahan hati. Manakala dengan identiti Aisunam, kami lebih terbatas dengan ‘guideline’ sebagai artis arus perdana,” tambah Fauzi.

Kata Fauzi, terdapat sepuluh buah lagu dalam album sulung mereka iaitu enam buah lagu Aisunam dan selebihnya lagu The Federated.

"Lagu-lagu Aisunam lebih serius dan agak sedih berbanding lagu-lagu The Federated yang ceria dan kelakar liriknya," katanya.

Setelah sepuluh tahun bergiat dalam bidang muzik, anggota Aisunam bersyukur akhirnya mereka dapat menghasilkan sebuah album di mana pembikinannya mengambil masa hampir lapan tahun.

”Kami amat mementingkan kepuasan tetapi semuanya berdasarkan konsep dan kesesuaian. Seperti lagu Bisikan, kami ada menyampaikan dua versi. Satu versi rancak dan satu lagi balada. Namun, apa yang lebih melambatkan proses rakaman sebenarnya adalah pengumpulan lagu,” kata Fauzi lagi.

Kumpulan ini pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan kugiran di di Taiwan, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Aisunam juga adalah juara musim ketiga Rentak Juara 2008 yang dianjurkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: