Monday, June 1, 2009

Misha ganti Scha untuk program Sehati Sejiwa


KEMAMPUAN penyanyi genit Misha Omar yang baru saja memenangi Anugerah Lagu Terbaik menerusi lagu Nafas Cahaya ciptaan M Nasir dan Allahyarham Loloq di Anugerah Industri Muzik ke-16 lalu untuk bergelar pengacara bakal teruji apabila dia bakal muncul menjadi hos program bual bicara, Sehati Sejiwa yang semakin mendapat tempat di hati penonton.

Misha akan menggantikan tempat pelakon Scha yang mengacarakan program ini sejak musim pertama, mulai 3 Jun ini 3 petang secara langsung di TV1. Program yang disiarkan dari Studio IBC, Angkasapuri ini, pastinya dinanti-nantikan penonton yang tidak pernah ketinggalan menyaksikan program ini saban minggu.

Menariknya sebagai episod pengenalan dirinya mengendalikan program bual bicara Sehati Sejiwa, minggu ini Misha bakal menemu bual pasangan selebriti suami isteri, Sharifah Shahirah dan Ijoy Azhari yang bahagia melayari rumah tangga bersama anak tersayang apatah lagi Shahirah sedang berbadan dua dan bakal menerima kehadiran ‘orang baru’ dalam keluarga mereka.

Pastinya sepanjang satu jam siarannya, Misha bakal menemu bual pasangan merpati dua sejoli yang sememangnya terkenal sebagai pelakon drama ini dengan pelbagai topik menarik termasuk pasang surut alam perkahwinan mereka untuk dikongsi oleh peminat setia mereka yang mengikuti program siaran langsung ini khas menerusi TV1.

Program Sehati Sejiwa yang mengisi slot Degupan disiarkan khusus untuk tontonan seisi keluarga ini bukan sekadar menampilkan pasangan selebriti bercerita mengenai keindahan dan kemanisan hubungan cinta seterusnya hubungan perkahwinan yang dimeterai mereka, malah mereka turut berkongsi saat sukar berdepan dugaan yang dilalui dalam melayari bahtera berumah tangga.

Selain itu, Sehati Sejiwa diserikan dengan pengisian klip video artis jemputan, sesi temu bual berkaitan kehidupan berumah tangga, keistimewaan pasangan masing-masing, aktiviti masa lapang serta kegiatan seni yang dilakukan pasangan tetamu undangan.

Begitu juga sesekali diselang selikan dengan foto-foto zaman bujang dan perkahwinan pasangan tetamu glamor yang diundang ke studio dalam melengkapkan lagi program santai ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: