Monday, June 1, 2009

Keindahan alam tiada tandingan



Puncak Adam

Pendakian berbaloi saksikan kesan tapak kaki Nabi Adam di gunung Sri Lanka

SECARA peribadi, tujuan utama penulis dan 16 rakan lain ke Sri Lanka awal bulan ini, bukanlah untuk makan angin atau melancong, sebaliknya atas misi penting yang tidak kurang hebatnya iaitu menawan Puncak Adam.

Malah puncak ini bukan sebarang tempat, sebaliknya ia dikatakan tempat Nabi Adam as menjejakkan kakinya selepas diturunkan dari syurga. Ia juga bukan saja dianggap istimewa oleh orang Islam, tetapi juga menjadi tempat suci bagi penganut Buddha, Hindu dan Kristian.

Terletak kira-kira lapan jam perjalanan menaiki bas dari Colombo, Puncak Adam bukan saja istimewa kerana sejarahnya, tetapi mempunyai pemandangan sangat indah.

Kembara kami diketuai Kharul Amali Daharun, 52, dan disertai rakan lain iaitu Yazid Rasad, Ishak Darus, Saiful Shahul Hameed, Amran Yunan, Shahul Hameed, Shamsul Bahri, Marzuki Hamzah, Zolkepeli Darus, Radzi Rashdi, Samsuddin Jaafar, Mazlan Harun, Razak Mohamad, Samsuddin Ahmad dan Nordin Rahmat.

Kami berlepas dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang, ke Trichy di selatan India.

BEKAS tapak kaki yang dikatakan milik Nabi Adam.

Sebaik pesawat mendarat, kami terus ke Nagore dan disambut rakan, Shahul Hameed, bersama keluarganya sebelum menghabiskan dua malam di sana. Ia turut memberi kesempatan kepada kami menziarahi makam wali besar, Sheikh Abdul Kadir Shahul Hameed.

Perjalanan diteruskan ke Colombo pada 11 Mei dan di ibu negara Sri Lanka itu, kami menginap semalaman di Hotel Sansu. Tidak dinafikan, perasaan sedikit gundah berikutan kehadiran kami di tengah-tengah pergolakan politik di negara itu.

Namun ia tidak menghalang kami memanfaatkan masa di Colombo dengan bersiar-siar di bandar raya berkenaan yang masih merayakan sambutan Wesak berikutan majoriti penduduknya beragama Buddha.

Keesokannya, kami meneruskan perjalanan menaiki bas menuju Dafter Gilani. Perjalanan memenatkan hampir lapan jam itu tidak menghalang kami singgah sebentar menziarahi pusara Sheikh Muhyiddin Abdul Qadir Gilani dan Sheikh Abdul Qadir Shahul Hameed.

PENULIS (kiri) bersama rakan di puncak gunung.

Esoknya pula pada sebelah pagi, kami meneruskan perjalanan sejauh 175 kilometer menaiki bas dari Dafter Gilani ke Ratnapura melalui jalan bengkang bengkok seperti ular dipalu tetapi mata tertawan dengan ketenangan dan keindahan lereng bukit yang dilitupi pepohon teh.

Kira-kira jam 9 malam, kami tiba di destinasi dan selepas mendaftar masuk di Hotel Punsisi, perut yang kosong terus diisi sebelum memulakan pendakian jam 2.30 pagi dengan berbekalkan sedikit makanan, baju sejuk dan lampu suluh.

Tempoh sejam pertama tidak begitu mencabar kerana laluan masih mendatar, tetapi cabaran mulai terasa pada pertengahan perjalanan apabila terpaksa mendaki anak tangga yang kelihatan seperti tidak berpenghujung dalam cuaca sejuk dan hujan renyai.

Beberapa rakan agak keletihan ketika mendaki anak tangga itu yang ditambah kecuraman sesetengah tempat yang mencecah hampir 70 darjah, selain cuaca sejuk dan tiupan angin yang agak kencang.

Namun, keinginan melihat sendiri bekas tapak kaki Nabi Adam itu kembali menguatkan semangat sehinggalah akhirnya kami sampai ke puncak gunung itu tepat jam 6 pagi, 14 Mei.

Kesempatan berada di atas puncak itu tidak disia-siakan apabila ada dalam kalangan anggota kembara melaungkan azan, bersolat sunat, berzikir dan membaca al-Quran sambil menyaksikan keindahan alam ciptaan Tuhan yang disulami cuaca dingin dan sinaran mentari yang mula menampakkan diri.

Terbukti, semangat yang tinggi membolehkan penulis dan rakan-rakan lain menawan Puncak Adam.

Berbanding yang lain, kejayaan itu sememangnya manis bagi Kharul Amali. Kegembiraannya lebih terasa kerana terbukti kecergasannya dalam kegiatan luar seperti pendakian itu masih mampu dilakukan biarpun pernah menjalani pembedahan jantung. Lebih istimewa, beliau pernah bermimpi Puncak Adam ketika berusia 12 tahun.

Selepas puas bergambar dan bersantai, kami meninggalkan puncak mulai jam 9 pagi sambil membawa pulang pengalaman jasmani dan rohani yang tidak ternilai.

INFO: Puncak Adam

  • Juga dikenali sebagai Samanalakanda atau Gunung Rama-Rama
  • Terletak berhampiran Ratnapura
  • Kira-kira lapan jam perjalanan dari Colombo
  • Ketinggian 2,243 meter dari paras laut
  • Dikatakan ada kesan tapak kaki Nabi Adam as
  • Mempunyai lebih 5,000 anak tangga dari bawah ke puncak

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: