Tuesday, June 30, 2009

Batu kristal Gunung Keriang

Tidak perlu terlalu mengagungkan kristal dari luar negara kerana batu itu juga banyak terdapat di Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah.


GUNUNG KERIANG kini menjadi sumber rezeki sesetengah penduduk di sekitarnya.


BAGI mereka yang meminati barangan perhiasan kristal, Gunung Keriang merupakan tempat paling tepat untuk dikunjungi kerana terdapat lebih daripada 100 jenis batu kristal atau lebih dikenali sebagai 'batu bunga' terdapat di situ.

Lebih unik, terdapat pelbagai bentuk dan jenis batu kristal yang ditawarkan oleh penjual. Ia dipercayai bukan sahaja bertujuan menghiasi ruang tamu rumah, bahkan batu tersebut juga mempunyai rahsia kesihatannya yang tersendiri.

Lebih tepat lagi, batu kristal ini mempunyai unsur tenaga untuk tujuan kesihatan sekali gus memberi kebaikan kepada penggunanya yang menjadikannya sebagai perhiasan di rumah.

Terletak kira-kira lapan kilometer dari bandar raya Alor Setar, Kedah, pengunjung pasti akan rambang mata kerana terdapat berpuluh-puluh kedai menjual batu kristal pada harga tawaran serendah RM4 hingga RM12,000.

Pengunjung juga mempunyai pilihan sama ada mahu membelinya di gerai biasa atau deretan kedai dan harganya pula bergantung kepada kepandaian pengguna untuk menawarnya dengan pembeli.

Dibuka sejak enam tahun lalu, gerai-gerai di sini memberi rezeki kepada penduduk setempat dengan penjualan batu kristal.

Bagi seorang penjual, Arnida Aziz, 28, batu kristal dari Gunung Keriang dikatakan hidup dan boleh membesar sekiranya dijaga dengan baik dan rapi.

Jika mahu melihat batu kristal itu nampak hidup dan membesar, pembeli haruslah menyembur air ke atas batu tersebut sekurang-kurangnya dua hari sekali bagi menaikkan kilauannya.

"Bukan susah nak jaga, kalau semburannya cukup, maka tidak mustahil ia dapat membesar dengan sempurna dan cantik.

"Kalau nak nampak lebih cantik, letak batu kristal ini di bawah cahaya lampu dan ketika itu, barulah pemilik akan nampak keunikan dan keindahan batu kristal ini," katanya.


A.K LEE menyembur air ke atas batu kristal yang dijual di gerainya yang terletak di Pusat Rekreasi Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah.


Arnida menambah, terdapat pelbagai jenis pilihan warna yang ada di kedai batu kristal miliknya seperti putih, perang hitam dan biru manakala harganya pula sudah pasti berbeza.

"Biasanya, yang putih lebih murah berbanding dengan batu kristal berwarna kerana susah untuk dicari," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penjual, A. K. Lee, 56, pula berkata, orang Cina percaya batu kristal mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

"Orang Cina percaya, batu ini ada 'feng shui' yang baik dan bukan semata-mata untuk dijadikan perhiasan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kini bukan sahaja masyarakat Cina sahaja yang tergila-gilakan batu kristal, malah orang Melayu juga sudah menyedari kelebihannya.

"Orang Melayu pun dah pandai cari batu kristal dan mereka percaya, ia ada khasiatnya yang tersendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment