Saturday, June 27, 2009

Kehidupan mewah cara Julia Roberts


GAMBAR menarik Julia Roberts ketika sedang bermain dengan anaknya, Henry di tepi sebuah pantai peranginan.


KEJAYAAN luar biasa filem Pretty Women segera melonjakkan Julia Roberts sebagai bintang terbesar dan paling bersinar sepanjang 1990-an.

Meskipun filem itu berjaya mengumpul kutipan RM1.62 bilion di seluruh dunia, Julia hanya menerima bayaran sebanyak RM1.05 juta.

Pengaruh yang diterima selepas itu membolehkannya menerima RM87.5 juta untuk filem Mona Lisa Smile pada 2003. Satu rekod yang sama sekali tidak pernah berlaku selama ini.

Setakat 2007, bintang yang lahir pada 28 Oktober 1967 itu dianggarkan bernilai RM490 juta.

Dia paling menonjol menerusi filem-filem komedi romantik termasuk My Best Friend‘s Wedding, Mystic Pizza, Notting Hill dan Runaway Bride, juga filem-filem jenayah seperti The Pelican Brief, Ocean‘s Eleven dan Ocean‘s Twelve.

Lakonan hebatnya menerusi filem Erin Brockovich telah membolehkannya memenangi Oscar untuk kategori pelakon wanita terbaik.

Secara keseluruhan, di AS sahaja, kutipan kasar filem-filemnya adalah lebih RM8.05 bilion, menjadikannya satu-satunya aktres yang paling berjaya dan mencapai kutipan tertinggi.

Penampilan pertamanya dalam teater Broadway, Three Days of Rain juga berjaya dengan kutipan sebanyak RM3.5 juta dalam tempoh seminggu.

Kuasa dan pengaruh

Dia juga mengungguli senarai kuasa oleh Hollywood Reporter selama empat tahun berturut-turut di antara tahun 2002 dan 2005 sehinggalah diambil alih oleh Nicole Kidman.

Dari segi pengaruh, Julia adalah aktres pertama yang pernah menghias muka depan majalah fesyen Vogue. Dia dijulang sebanyak 11 kali sebagai 50 Most Beautiful People in the World oleh majalah People.

Malah, pada 2001, Ladies Home Journal menamakannya sebagai wanita ke sebelas paling berkuasa AS mengalahkan penasihat White House, Condoleezza Rice dan wanita pertama ketika itu, Laura Bush.

Namanya juga mendahului Ulmer Scale, satu skala pengaruh kuasa untuk pelakon dan pengarah filem global, di samping Tom Cruise dan Tom Hanks.

Dia juga memiliki syarikat produksi filem sendiri Red Om Films yang menghasilkan filem seperti Stepmom (1998) yang dilakonkannya bersama Susan Sarandon dan juga Maid in Manhattan (2002) lakonan Jennifer Lopez.

Pilih keluarga dari kerjaya

Seperti ramai aktres Hollywood, Julia Roberts telah menyepi selama lima tahun dari dunia perfileman untuk berkeluarga.

Dalam tempoh menyepi itu dia hanya menyumbangkan suara dalam dua filem animasi Charlotte‘s Web dan The Ant Bully, serta mengambil watak cameo, Ocean‘s Twelve dan Charlie Wilson‘s War.

Sehinggalah beliau menerima peranan utama dalam filem suspen korporat, Duplicity, Mac lepas.

Dalam tempoh yang sama ramai aktres lain telah melonjak naik seperti Reese Witherspoon, Kate Winslet, Anne Hathaway, Jennifer Aniston malah Angelina Jolie, namun tiada yang berjaya menandinginya dari segi populariti atau pendapatan lumayan.

Di sebalik kerlipan glamor dunia Hollywood, Julia amat merendah diri.

Beliau kini bahagia melayari rumahtangga bersama suami, jurugambar Danny Moder dan dikurnia kembar berusia empat tahun, Hazel dan Phinnaeus serta Henry, dua tahun.

Malah dia sanggup menolak jemputan paling berprestij, Anugerah Oscar untuk bersama keluarganya.

“Suami saya baru kembali dari tugasan luar negeri, menonton di rumah bersamanya dan anak-anak adalah pilihan keputusan terbaik,” katanya.

Baginya kehidupan sebagai suri rumah adalah kebahagiaan sebenar.

“Adakalanya, sebaik sahaja saya siap menyediakan sarapan pagi dan membersihkan dapur, tiba masanya untuk mula menyediakan makan tengahari.

“Masa berlalu terlalu pantas tanpa sedar, saya perlu memikirkan makan malam pula.

“Namun, kebanyakan hari saya sangat menyeronokkan dengan keletah anak-anak yang cuba membantu di rumah,” jelasnya.

Malah bintang pujaan dunia itu turut membuktikan, wanita kaya sepertinya juga boleh menanam kebun sayur organik sendiri.

Dia yakin kebun sayur itu adalah perkara terbaik untuk perkembangan anak-anaknya.

“Anak-anak akan lebih mudah makan dan berminat dengan makanan sihat kerana mereka berbangga dengan hasil tanaman mereka sendiri,” katanya yang berpendapat bahawa antara detik kebanggaan sebagai ibu ialah melihat anak-anak memakan sayur kailan.

Ubahsuai rumah RM20 juta

Roberts juga bukan sebarangan wanita kaya. Pilihannya ialah untuk bermesra dengan alam. Beliau merupakan antara wajah Hollywood yang bertegas menjalani gaya kehidupan hijau terutama semasa membeli belah selain menggunakan kenderaan biodiesel.

Keluarga itu juga baru menyiapkan pengubahsuaian rumah dan kawasan kediaman mereka menjadi rumah mesra alam sepenuhnya yang menelan belanja AS$ 20 juta (RM70 juta).

Ia adalah kediaman utama mereka seluas 6,000 kaki persegi, enam bilik tidur beserta lima bilik mandi yang terletak di Malibu.

Antara lain ubahsuaian ialah panel solar yang meliputi keseluruhan bumbung, semua binaan kayu diperolehi daripada hutan yang dijamin diurus secara lestari serta jubin kitar semula.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: