Monday, June 29, 2009

Pelakon popular di Slot Citra, RTM

Jika anda peminat setia artis-artis wanita terkenal tanah air, usah ketinggalan menyaksikan slot drama popular di slot Citra TV2 sepanjang Julai ini kerana setiap minggu menerusi slot ini bakal menghidangkan drama-drama dibintangi mereka dengan plot cerita menarik tontonan seisi keluarga.

Nama-nama pelakon seperti Aida Aris, Marsha Londoh, Sharifah Amani, Almy Nadia, Elly Suriati, Sheera Iskandar, Fasha Sandha, Wan Sharmila, Misha Omar dan Natasha Hudson akan membintangi drama seperti Bidadari Mimpi (2 Julai), RM 20 Juta, (3 Julai), Diari, (10 Julai), Amarah, (17 Julai), Airmata Azizah, (23 Julai) dan Lela Latah, (31 Julai) yang akan menemui penonton TV2 pada jam 8.30 malam.

Bermula dengan Bidadari Mimpi terbitan Eurofine (M) Sdn Bhd menyaksikan lakonan berkesan dramatis Aida Aris dan Marsya Londoh di samping pelakon Razali Hussein, Fadilah Mansor dan Zazeli. Bidadari Mimpi bakal membuat penonton keliru antara dunia nyata dan dunia khayalan. Ianya bakal membuahkan pertanyaan sama ada Misha Kareena benar-benar wujud atau tidak.

Diteruskan pula dengan drama yang wataknya didukung oleh Sharifah Amani bergandingan dengan Zul Yahya, Jalil Hamid, Mustapha Kamal dan Loganathan yang sama-sama membintangi drama berjudul, RM20 Juta. Cerita ini bermula dengan Fadzil, pemuda yang tinggal dengan datuknya kerana ibu bapanya telah bercerai ketika dia masih kecil. Peristiwa itu membuatkan Farid berasa fobia untuk berkahwin.

Tidak kurang hebatnya drama dibintangi Almy Nadia dan Elly Suriati menerusi drama Diari yang mengisahkan seorang gadis, Nadia yang menjadi mangsa sumbang mahram ayah tirinya, Salleh, telah mencetus konflik jiwa yang amat parah sehinggakan dia bertindak di luar kewajaran dalam usaha melampiaskan dendam yang menguasai dirinya terhadap ibunya sendiri, Ramlah selepas kematian ayah tirinya.

Menyusul kemudiannya drama terbitan A Aida Production Sdn Bhd, Amarah lakonan hebat Sheera Iskandar, Datuk Jalaludin Hassan, Maimon Talib, Aznah Hamid, Aishah Atan, Khai AF dan Zul Handy Black. Mengisahkan seorang jejaka, Amran, yang sentiasa berdepan dengan konflik dengan orang di sekelilingnya ekorannya sikapnya yang baran.

Kelibat dua pelakon terkenal Fasha Sandha dan Wan Sharmila muncul membintangi Airmata Azizah selain Lidyawati, Khairil Anwar, Faizal Yusof, Pekin Ibrahim dan Fadhilah Mansor yang berlegar sekitar kisah watak pasangan suami isteri, Juriah dan Mazlan mempunyai 2 orang anak, Azizah dan Asmah.

Sebagai menutup tirai slot Citra @ 2 Julai ini, anda diajak bergelak-tawa dengan watak Lela yang dibawakan oleh penyanyi yang kini bergelar pengacara Sehati Sejiwa di TV1, Misha Omar menerusi Lela Latah bersama Aqasha, Natasha Hudson, Khiriah, Rosnah Johari, Rahim Jailani dan Fadhilah Mansor.

Jangan lupa saksikan kesemua drama yang hebat ini, hanya di Saluran Dunia Ria, TV2!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: