BARU-BARU ini, rakan Cik Normah hadir ke sebuah majlis promosi drama bersiri untuk tayangan televisyen terkemuka. Antara pelakon yang membintangi siri itu ialah aktor baru sedang meningkat naik, Remy Ishak dan pelakon yang hangat juga digosipkan bercinta dengannya, Ummi Nazeera.
Kata kawan Cik Normah yang boleh tahan mulutnya itu, selepas saja acara rasmi selesai, maka tibalah acara makan-makan. Maka, ramai-ramailah hadirin yang ada, termasuk orang penting stesen televisyen terbabit, pelakon, wakil media dan pegawai perhubungan awam bertugas pakat menjamu selera. Ketika itu, sesi temu bual secara tak rasmi, belum pun bermula.
Alih-alih, kawan Cik Normah perasan, Remy dan Ummi kelihatan bersalam-salaman dengan rakan pelakon lain. Mereka macam bergegas saja hendak meninggalkan majlis sedangkan orang lain semuanya masih lagi duduk di meja makan. Kiranya, belum separuh jalan majlis itu berlangsung, mereka sudah mahu angkat kaki.
Menurut kawan Cik Normah itu lagi, nasib baik wartawan yang datang perasan mereka sudah hendak meninggalkan majlis sedangkan mereka teringin sekali menemu bual si Remy. Maklumlah, dia juga antara pelakon utama siri terbabit. Selepas itu, Remy dan Ummi menghilangkan diri ke tingkat bawah tempat majlis berlangsung.
Selepas habis makan, wartawan pun mulalah menemu bual pelakon yang ada. Akhirnya, muncullah semula Remy, diikuti Ummi yang duduk nun jauh sikit bersama teman pelakon lain. Nasib baiklah ada kakitangan yang sempat berpesan kepadanya, supaya tunggu sebentar kerana ada wartawan hendak menemubualnya.
Tanya kawan Cik Normah yang boleh tahan jelitanya itu, kenapa pula, Remy bagai hendak melarikan diri daripada wartawan, sedangkan pada sesi temu bual itu, mereka tidak pun mencungkil kisah peribadinya. Setakat usik-usik manja saja. Wartawan bukannya tak ada hati perut, kalau pelakon tak mahu bercerita mengenai sesuatu perkara, mereka takkan paksa. Lainlah kalau ada wartawan yang sama taraf dengan inspektor polis!
Kata seorang pegawai perhubungan awam bertugas, pelakon dijemput ke majlis itu untuk mempromosikan drama lakonan mereka. Jadi, tunggulah dulu sehingga tamat acara. Manalah tahu ada wartawan yang memang diminta majikan mereka untuk mendapatkan cerita daripadanya.
Tengok, apabila ditemu bual, wartawan pun bukannya hendak paksa awak buat pengakuan bukan-bukan. Mana yang keluar dari mulut pelakon, itulah yang jadi bahan cerita. Kalau benarlah kedua-duanya pasangan kekasih, apa hendak ditakutkan? Bukannya Remy dan Ummi saja yang bercinta, malah berlambak lagi pasangan selebriti lain yang ada.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: