Monday, June 29, 2009

Melayari Royal Selangor

Masih ramai beranggapan ibu pejabat Royal Selangor di Kuala Lumpur sebagai sebuah kilang tetapi pada hakikatnya orang ramai boleh melayari susur galur Royal Selangor di situ.




DIASASKAN di Malaysia pada tahun 1885 oleh Yong Koon, nama Royal Selangor telah berkembang sebagai salah satu nama yang gah dalam industri piuter dunia.

Dengan memiliki lebih daripada 500 artisan yang mahir, kilang piuter syarikat tersebut yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur merupakan kilang piuter terbesar di dunia.

Menawarkan ribuan produk berasaskan piuter, daripada perkakasan meja dan barangan cenderahati, kole logam tradisional dan set teh sehinggalah bingkai gambar dan peralatan meja yang elegan, Royal Selangor telah menerima banyak anugerah termasuk Anugerah Hadiah Terbaik 1997 dan Anugerah Red Dot untuk Rekaan Produk 2002 daripada Design Zentrum, Jerman.

Dari rangkaian ibu pejabat di Kuala Lumpur dengan hampir 30 bilik pameran di seluruh negara, produk Royal Selangor dieksport ke lebih 20 buah negara.

Eksportnya termasuk ke Jepun, Singapura, Hong Kong, China, Kanada, Britain dan Australia.


PUSAT pelawat Royal Selangor di Setapak, Kuala Lumpur ini dibuka pada tahun 2004.


Menurut Pengurus Pemasaran Pusat Pelawat Royal Selangor, Che Wan Azlan Che Wan, masih ramai beranggapan ibu pejabat tersebut sebagai sebuah kilang tetapi pada hakikatnya, orang ramai boleh melayari susur galur Royal Selangor di situ.

"Pusat Pelawat Royal Selangor telah dibuka pada tahun 2004 dengan memaparkan sejarah syarikat, memperkayakan ilmu dan pengetahuan orang ramai mengenai warisan mata wang timah, logam dan sains berkaitan serta betapa indahnya produk yang boleh dihasilkan daripada timah.

"Sungguhpun demikian, diakui masih ramai yang tidak mengetahui tentang pusat ini dan merasakan ia sebuah kilang," kata Azlan ketika ditemui Kosmo! di pusat lawatan itu baru-baru ini.

Dengan seni bina moden alunan kaca dan besi yang penuh dramatik, pusat pelawat seluas 40,000 kaki persegi itu ternyata bukan sebuah kilang biasa.

Kole gergasi

Satu tarikan awal di pusat itu ialah kole gergasi Royal Selangor yang diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai yang terbesar di dunia.

Terletak di pintu masuk, cawan logam setinggi 1.987 meter dengan berat yang mencecah 1,557 kilogram itu memberi pengunjung peluang bergambar berlatar belakang seni bina kaca dan besi atau kolam air yang indah.


KAFE Royal Selangor menawarkan pelbagai sajian enak kepada pengunjung.





Azlan menjelaskan, Pusat Pelawat Royal Selangor terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu Galeri, Kunjungan Kilang dan Pusat Jualan.

Bahagian Galeri membawa pengunjung melihat pelbagai paparan pameran yang bersifat interaktif dan pendidikan.

Tema Origins atau Asal mengimbau semula sejarah Royal Selangor iaitu bermula dengan kedatangan Yong Koon ke Tanah Melayu pada tahun 1885 dari Shantou, China sehinggalah sejarah yang ditempa pada hari ini.

Sudut Muzium Royal Selangor pula bukan sahaja memaparkan artifak-artifak seperti mata wang logam, ceduk kapal korek dan produk piuter, tetapi juga peralatan asal dan barangan peribadi yang digunakan Yong Koon dalam penghasilan barangan piuternya.

"Salah satu tarikan di sini ialah teko melon yang telah menyelamatkan nyawa seorang lelaki bernama Ah Ham ketika perang di sekitar Kajang, Selangor.

"Menariknya, teko yang dibuat pada tahun 1890-an ini merupakan satu-satunya gubahan dalam koleksi Royal Selangor yang tertera tanda kecemerlangan pengasasnya, Yu He Zu Xi yang bermaksud nama kedai sekali gus melambangkan kualiti komponen bermutu yang digunakan," jelas Azlan sambil menekankan betapa berharganya logam timah itu sejak zaman dahulu.

Di zon ini, pengunjung juga berpeluang mengimbau sejarah melalui paparan pakaian fesyen zaman pencarian timah pada abad ke-19.

"Pengunjung boleh mencuba kostum-kostum yang serupa dengan yang telah dipakai oleh golongan kaya dan kerabat Melayu serta Cina serta pekerja-pekerja lombong semasa zaman kegemilangan melombong bijih di Tanah Melayu," ujar Azlan.

Menurutnya, pengunjung juga boleh melihat replika Menara Berkembar Petronas setinggi 9.1 meter yang diperbuat melalui susunan 7,062 biji kole logam piuter.

Tinjauan Kosmo! mendapati pengunjung juga akan dibawa ke zon eksperimental yang membolehkan deria mereka dirangsang.


PUSAT Jualan seluas kira-kira 5487.8 meter persegi menawarkan koleksi produk piuter Royal Selangor, barangan kemas Selberan dan perak daripada Comyns.


Pengunjung boleh merasai pelbagai tekstur piuter di Hall of Finishes atau mendengar penjelasan bagi menyelami perbezaan resonan bunyi antara piuter dengan material organik dan metalik yang serupa di Kamar Loceng.

Di Dewan Bingkai Gambar, pengunjung boleh melihat kepelbagaian koleksi bingkai gambar Royal Selangor yang membenarkan mereka merasai dan menghargai fleksibiliti aloi tersebut.

Di sudut Sains Piuter pula, orang ramai boleh mengetahui nilai atomik bijih, antimoni dan tembaga yang merupakan komponen utama piuter.

"Selain itu, pengunjung juga boleh mengetahui berat piuter di planet-planet berbeza dan membandingkan ketumpatannya dengan logam lain," kata Azlan.

Dari Galeri, pengunjung dibawa mengunjungi kilang yang merupakan nadi Royal Selangor.

"Di sini, pengunjung boleh melihat dan merasai sendiri proses pembuatan produk piuter Royal Selangor dalam persekitaran yang selesa dan selamat," kata Azlan.

Kunjungan tersebut turut memaparkan penghasilan barang kemas mewah Selberan yang merupakan sebahagian daripada syarikat Royal Selangor.

"Dengan bayaran RM50 seorang, pengunjung boleh mendaftar di bengkel kerja tangan School of Hard Knocks.

"Dalam sesi setengah jam, peserta boleh menghasilkan mangkuk piuter mereka sendiri dengan menggunakan peralatan tradisional seperti yang digunakan oleh pembuat piuter lebih 100 tahun lalu," kata Azlan sambil memaklumkan bahawa pengunjung dapat membawa pulang mangkuk piuter tersebut berserta sijil.

Sungguhpun demikian, Azlan menambah, tempahan awal harus dibuat sekiranya pelanggan ingin menyertai bengkel tersebut dengan jumlah kumpulan terdiri antara lima sehingga 50 orang bagi setiap sesi.

Dimaklumkan, pada awal April lalu, Royal Selangor telah membuka sebuah kafe di situ bagi membolehkan pengunjung berehat dan menikmati hidangan.

Sebelum pulang, pengunjung tidak seharusnya melepaskan peluang untuk singgah ke sudut Pusat Jualan di kawasan seluas 18,000 kaki persegi.


PENGUNJUNG berpeluang melihat sendiri operasi pembuatan barangan piuter Royal Selangor di Pusat Pelawat Royal Selangor.


Menawarkan koleksi produk piuter Royal Selangor yang pelbagai, pengunjung juga boleh menikmati pilihan perhiasan diri mewah oleh Selberan dan perak oleh Comyns yang merupakan sebahagian daripada kumpulan Royal Selangor.

Sejak pembukaannya, Pusat Pelawat Royal Selangor telah memenangi Anugerah Tarikan Pelancong Terbaik Pelancongan Malaysia 2004 dalam kategori tarikan dengan identiti atau warisan negara.

Selain itu, ia juga menerima Anugerah Kecemerlangan Persatuan Pelancongan ASEAN 2005 atas tarikan pelancongan terbaru terbaik ASEAN.

Dengan menerima kunjungan penduduk tempatan dan pelancong asing dari segenap usia termasuk keluarga dan pelajar sekolah setiap hari, Royal Selangor turut menyediakan perkhidmatan jurupandu percuma bagi kemudahan pengunjung.

"Pusat ini bukan hanya untuk dilihat, tetapi memberi peluang kepada pengunjung menyelami penggembaraan dan pengalaman sebenar pembuatan piuter.

"Di sini, deria melihat, mendengar dan merasa dirangsang demi memberikan pengetahuan dan keseronokan kepada pengunjung," kata Azlan menamatkan bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: