Monday, June 1, 2009

Mayat wanita bongkar rahsia lelaki amuk



MALANG... mayat  wanita dipercayai mangsa bunuh.
MALANG... mayat wanita dipercayai mangsa bunuh.

KOTA BHARU: Penemuan mayat seorang wanita warga emas berusia 56 tahun dipercayai disamun dan dibunuh sebelum mayatnya dibuang di Ladang Serasa Kuala Krai, Jumaat lalu, membongkar rahsia seorang lelaki yang mengamuk secara tiba-tiba selepas terbabit kemalangan sebelum maut apabila terbabit nahas kedua di Kilometer 20, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah, baru-baru ini.

Difahamkan, lelaki terbabit dikenali sebagai Mohd Japri Ibrahim berusia 33 tahun adalah seorang daripada empat suspek dipercayai terbabit dalam kes samun dan bunuh seorang bomoh resdung, Siti Halimah Salleh sebelum mayatnya dicampak ke dalam gaung sedalam hampir 50 meter di kawasan itu.

Lebih mengejutkan, isteri lelaki itu berusia 27 tahun yang turut memberikan kenyataan mengenai kematian suaminya akibat kemalangan berkenaan turut mengaku menyaksikan pembunuhan itu menyebabkannya kini ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mazlan Lazim, berkata mayat wanita terbabit ditemui dalam keadaan reput di tempat kejadian dan polis kini masih menunggu laporan perubatan dari Hospital Gua Musang bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.


Beliau berkata, penemuan mayat itu berkaitan dengan laporan dibuat di Balai Polis Kuala Krai selepas mangsa dilaporkan tidak pulang selepas keluar rumah bersama seseorang, sembilan hari sebelum mayatnya ditemui.

Menurutnya, mayat itu ditemui selepas polis menerima maklumat daripada seorang wanita berusia 27 tahun yang juga isteri suspek terbabit yang kemudian ditahan selepas mengaku menyaksikan pembunuhan berkenaan.

“Suspek pertama sudah meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Pasir Mas manakala suspek kedua kini ditahan reman bermula semalam (kelmarin).

“Suspek yang ditahan itu turut mempunyai rekod jenayah lampau apabila terbabit dengan kes dadah. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: