BUKIT BERUNTUNG: Hanya air mata mengiringi kesedihan hati seorang isteri sebaik menerima panggilan telefon daripada pegawai penyiasat polis trafik yang memaklumkan kematian suaminya akibat merempuh belakang sebuah lori.
Wanita berkenaan yang sebelum itu menyangka dihubungi suaminya berikutan nombor telefon bimbit tertera, tetapi terkejut apabila panggilan terbabit disambut pegawai polis terbabit yang berusaha menjejaki ahli keluarga mangsa menerusi telefon bimbit yang ditemui bersama mayat berkenaan.
Dalam kejadian jam 9.50 pagi semalam, mangsa Mustafa Mohd Karin @ Sharin, 39, maut selepas motosikal yang ditunggang gagal mengelak sebelum merempuh belakang sebuah lori tanah yang rosak berhampiran lorong kecemasan di Kilometer 433.7, Lebuhraya Utara-Selatan arah ke Bukit Beruntung.
Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Husin Omar, berkata kejadian berlaku apabila sebuah lori tanah tanpa muatan berhenti di lorong kecemasan itu sebaik tayar hadapannya pecah.
| |
Katanya, pemandu lori berkenaan meletakkan tanda segi tiga kecemasan di belakang lori terbabit sebelum berusaha menukar tayar.
“Bagaimanapun ketika kerja menukar tayar dilakukan, sebuah motosikal tiba-tiba merempuh belakang lori berkenaan.
“Motosikal terbabit dipercayai ditunggang laju menyebabkan penunggangnya tidak menyedari atau tidak sempat mengelak lori terbabit,” katanya.
Menurutnya, perlanggaran kuat itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit cedera parah di muka sebelum tercampak ke lorong kiri lebuh raya dan nyaris digilis kenderaan lain.
“Kecederaan parah pada mangsa yang berasal dari Bukit Beruntung itu menyebabkan mangsa maut serta-merta di lokasi kejadian.
“Berdasarkan pemeriksaan dalam beg yang ditemui pada mangsa, polis percaya mangsa baru saja mendapat gaji bulan Mei berdasarkan slip gaji yang ditemui,” katanya.
Menurutnya. sejumlah wang tunai, beberapa buku bank dan pelbagai bil yang sudah siap dikepilkan dengan wang ditemui di dalam begnya.
“Mangsa dipercayai sudah mengasingkan sejumlah wang sebaik mendapat gajinya untuk melunaskan hutang dan bil serta untuk dimasukkan wang terbabit ke dalam akaun simpanan bank anak-anaknya.
“Pihak polis yang menjalankan pemeriksaan turut menemui telefon bimbit mangsa dalam beg terbabit sebelum membuat panggilan telefon kepada satu nombor terakhirnya yang tidak dijawab mangsa sebelum kejadian,” katanya.
Katanya, pegawai polis penyiasat trafik berusaha membuat panggilan telefon ke nombor terakhir tertera sebelum dia disambut seorang wanita memperkenalkan diri sebagai isteri mangsa.
“Pegawai polis terbabit kemudian memaklumkan kemalangan itu kepada isteri mangsa sebelum meminta keluarga mangsa datang ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk menuntut jenazah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: