Monday, June 1, 2009

Magis Dreamz




Kehadiran anak singa putih bernama Kao berusia enam bulan, bermata biru jadi tarikan terbaru persembahan bertaraf dunia di Genting Highlands

ANDAI mahu menyaksikan sebuah mimpi dengan mata yang terbuka, Dreamz yang kini sedang rancak berlangsung di The Pavilion, First World Plaza, Genting Highlands adalah jawapan kepada keinginan itu. Meskipun ia hanyalah persembahan lanjutan kepada pertunjukan yang dilancarkan sejak Februari tahun lalu, namun Dreamz masih ada keistimewaan tersendiri.

Tidak dinafikan, selama satu jam 20 minit berada dalam perut auditorium itu, pelbagai perasaan bercampur-baur. Deruan adrenalin mengalir deras, debaran bertambah kencang serta kecut segala isi perut kala menyaksikan persembahan bertaraf antarabangsa, yang bernilai RM13 juta ini.

Kemunculan lima 'samseng jalanan' melakukan aksi lagak ngeri dengan menunggang motosikal di dalam sebuah kerangka besi berbentuk sfera yang dinamakan Globe of Death menjadikan Dreamz sedikit berbeza dengan apa yang pernah ditonjolkannya sebelum ini. Bayangkan dengan ruang yang terbatas serta terpaksa menunggang motosikal dalam situasi berbahaya itu membuatkan penonton tak senang duduk menyaksikannya.

Masih segar dalam ingatan aksi berani mati penunggang dari Brazil dan Sepanyol ini serta kecekapan mereka menunggang motosikal dalam kurungan tanpa membabitkan sebarang kemalangan. Lebih mendebarkan apabila kerangka itu dipisahkan ketika lima penunggang itu masih berada di dalamnya.

Bukan saja pertunjukan lagak ngeri tetapi magis yang dimiliki Dreamz sebenarnya turut terletak kepada aksi spektakular yang dipertontonkan sekumpulan akrobatik muda dari China, penari profesional dari Belarus dan Ukraine. Permainan sarkas yang dibuat dalam keadaan gelap membuatkan jeritan penonton bergema sepanjang acara itu berlangsung.

PERTUNJUKAN yang memerlukan ketangkasan ahli silap mata.

Memang merbahaya tetapi di dalam Dreamz segala-galanya boleh terjadi. Persembahan itu juga dilengkapi dengan pertunjukan dua ahli silap mata antarabangsa Enrique Polo dari Sepanyol dan Loris Togni Allessandro (Itali), yang juga dikenali sebagai Master of Beast di kalangan penggemar seni itu.

Seperti kelaziman dalam setiap pertunjukan silap mata, adegan memotong anggota badan, hilang di dalam kotak serta mampu menembusi dinding kaca adalah elemen yang dapat disaksikan dalam filem ini. Walaupun sudah berkali-kali menyaksikannya sama ada di kaca televisyen ataupun secara langsung, namun misteri itu masih belum dapat diselesaikan. Itulah uniknya aksi silap mata ini.

Lebih mencabar, jika sebelum ini persembahan Enrique hanya ditemani seekor singa dan harimau putih namun untuk musim kedua ini, anak singa putih, Kao yang berusia enam bulan dan bermata biru menjadi elemen terbarunya sebagai daya tarikan kepada penonton. Kagum melihat Enrique menjinakkan haiwan ganas itu dengan membawanya ke atas pentas.

Nyata pengalaman selama lebih 20 tahun dalam arena sarkas dan magis, selain beraksi di lebih 400 pertunjukan di serata dunia membuatkan Enrique hebat serta terus dikagumi dengan kemahiran yang dimilikinya.

Tirai Dreamz dibuka dengan persembahan tarian dan kemudian diikuti dengan nyanyian penuh sayu yang dialunkan oleh seorang puteri yang terjaga dari lenanya. Perjalanannya dalam dunia penuh fantasi ini bagaikan sebuah mimpi untuknya. Dreamz bukan saja memaparkan aksi fantastik tetapi gaya penyampaiannya mirip kepada sebuah teater muzikal.

Setiap persembahan magis, sarkas atau lagak ngeri akan diselang selikan dengan persembahan nyanyian dan tarian. Malah, tidak keterlaluan andai dikatakan Dreamz persis persembahan dari Disney yang bukan saja mempunyai jalan cerita menarik tetapi juga dipenuhi karakter yang pelbagai, landskap yang indah serta lagu yang menarik hasil iringan muzik yang disampaikan secara live oleh pemuzik orkestra Armenia dan alunan suara penyanyi solo dari Moscow.

Tidak dapat dinafikan, Dreamz bukanlah sekadar sebuah mimpi kosong. Angka 310,000 pengunjung yang pernah menyaksikan pertunjukan ini tentunya bersetuju bahawa tidak lengkap kunjungan ke Kota Keriangan itu andai tidak singgah di The Pavilion untuk menonton persembahan ini.

Bagi mereka yang belum berkesempatan menyaksikan persembahan hebat ini, peluang masih terbuka dan Dreamz menjanjikan satu pengalaman menonton yang cukup berbeza. Tidak rugi mengeluarkan wang sebanyak RM80 untuk dewasa dan kanak-kanak RM40, kerana ia sememangnya sebuah hiburan untuk keluarga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: