ISYYY...! rupa-rupanya sudah dua tahun Radio 24 beroperasi. Cik Normah yakin, tidak ramai yang sedar kewujudan stesen radio yang bertunjangkan program berbentuk berita ini. Iyalah, kebanyakan kita lebih bertumpu pada stesen radio yang menyiarkan lagu, tidak kiralah lagu lama atau baru.
Cik Normah mengaku Cik Normah sendiri tidak ingat sangat perihal kewujudan stesen berita ini. Hanya sehari dua yang lalu, barulah rakan bercerita mengenainya apabila mereka terdengar program Kerusi Panas, yang ke udara setiap petang, kira-kira jam 6.30 petang.
Selain Kerusi Panas, rupanya banyak lagi rancangan menarik kat stesen terbabit. Kita saja yang kurang tahu mengenai stesen itu. Mereka juga bukanlah menyiarkan berita semata-mata kerana ada juga segmen bual bicara dan sebagainya. Malah, pada sebelah malam, siap ada segmen daripada BBC lagi.
Cik Normah juga dengar cerita, radio berkenaan turut mempunyai wartawan yang begitu komited. Pernah terjadi, ketika kekecohan politik berlaku di Perak tidak lama dulu, ketika seorang wartawan radio berkenaan membuat liputan secara langsung, pihak berkuasa datang untuk menyuraikan perhimpunan. Lalu terperangkap samalah si wartawan ini. Ketika itu juga, tiada lagi skrip yang diikuti, sebaliknya laporan eksklusif dilaporkan terus daripada hiruk-pikuk yang berlaku.
Cik Normah dengar, dalam keadaan mata yang pedih dan berlinangan pun wartawan itu terus melaporkan setiap inci kejadian ke ibu pejabat. Kelas gitu!
Satu lagi cerita menarik mengenai wartawan atau kakitangan radio ini, apabila kejadian tanah runtuh berlaku di Bukit Antarabangsa beberapa bulan lalu. Wartawan itu pun dikatakan terperangkap sama dalam kejadian berkenaan. Nak ke tempat kerja pun tak boleh. Jadi, suka tak suka, dia pun melaporkan sajalah berita mengenai perkembangan terkini insiden terbabit dari lokasi.
Kepada mereka yang belum tahu apa frekuensi radio ini, tekan saja punat 93.9 fm! Iyalah, takkan asyik hendak berhibur saja. Minda kita ini pun perlu diisi dengan berita perkembangan semasa juga. Kalau tak nanti, orang kata kita ni cantik je lebih, tetapi hampeh...!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: