Monday, June 22, 2009

Astro yakin tarikan Mat Kacau


PELANCARAN siri animasi Mat Kacau disempurnakan oleh Zainir, Andrew (dua dari kanan) dan Azlin sambil diperhatikan karakter popular Astro Ceria (kiri).

Muncul mulai November sebanyak 26 episod dalam bentuk animasi 2D

DARIPADA hanya watak sampingan dalam program kanak-kanak, Gerak Geri Gasing, Mat Kacau muncul antara karakter paling dikenali di saluran Astro Ceria. Peranannya untuk mengganggu atau mengacau peserta dalam rancangan popular kendalian Abang Zoey itu akhirnya meletakkan Mat Kacau sebagai karakter yang dominan dan diminati.

Justeru, tidak menghairankan apabila tiba-tiba Astro Ceria mengumumkan pembikinan sebuah siri animasi berdasarkan karakter yang sentiasa muncul dengan seragam berbelang-belang berkenaan. Melihat kepada populariti watak Mat Kacau, di mana saja kemunculannya, tentunya penghasilan program animasi terbabit keputusan paling tepat diambil stesen televisyen berbayar itu.


Bakal disiarkan sekitar November di Astro Ceria, siri animasi 2D Mat Kacau mempunyai durasi dua minit saja bagi setiap episod. Sebanyak 26 episod akan dihasilkan bagi peringkat permulaan oleh syarikat Inspidea. Siri itu muncul pelaburan pertama Astro dalam kandungan berbentuk animasi, sejak siri Kampung Boy, kira-kira 14 tahun yang lalu.

Menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah, masa yang panjang diambil untuk Astro kembali melabur dalam seni multimedia kreatif itu setelah mengambil kira beberapa faktor, termasuk memastikan saluran kanak-kanak itu terlebih dulu benar-benar berjaya menarik perhatian penonton.

"Kita juga mendapati kos produksi bagi produk animasi menurun sejak akhir-akhir ini. Perkembangan itu menyebabkan suasana sekitar produksi animasi itu sendiri berkembang. Jadi, kombinasi populariti saluran Ceria dan kewujudan sumber penghasilan animasi yang lebih besar membolehkan kami melabur dalam cabang kreatif ini pula," kata Zainir pada majlis pelancaran siri terbabit di Bangsar, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengurus Saluran Astro Ceria, Azlin Reza Azmi; dan Pengarah Urusan Inspedia, Andrew Ooi.

Kata Zainir, siri animasi berkenaan tentunya satu permulaan yang baik kepada penghasilan lebih banyak siri kartun yang dibuat berdasarkan karakter terkenal daripada beberapa saluran stesen televisyen berkenaan.

"Kami sedar, kos penghasilan siri animasi sebenarnya jauh lebih tinggi daripada program yang menggunakan pelakon sebenar. Namun kami berkeyakinan dan amat berharap, siri ini akan muncul program digemari ramai apabila ia disiarkan kelak," katanya yang enggan mendedahkan peruntukan sebenar projek itu.

Astro membelanjakan kira-kira RM300 juta setahun bagi pelaburan ke atas kandungan rancangan tempatan untuk siaran beberapa salurannya.

Dirancang sejak Oktober tahun lalu, siri tanpa dialog berkenaan akan turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa karakter lain seperti Amber, Dinah, Boboy, Van, Judy, Miss Agnes, Auntie Lim dan Omar.

Kata Andrew, selain dipertanggungjawabkan menghasilkan siri terbabit, Inspidea juga mempunyai hak pengedaran eksklusif ke seluruh dunia (kecuali Asia Tenggara) bagi siri berkenaan untuk tempoh lima tahun.

"Kami pastinya menyuntik tahap kreativiti yang tinggi, inspirasi serta tenaga yang besar bagi menjayakan projek ini. Kami turut berkeyakinan Mat Kacau bakal muncul program animasi komedi yang dapat menghiburkan seluruh anggota keluarga," katanya.

Inspedia ialah antara studio animasi terkemuka di Malaysia. Kepakaran mereka dalam penghasilan animasi berbentuk 2D sudah dibuktikan menerusi kejayaan siri Mustang Mama yang turut disiarkan di pelbagai stesen televisyen luar negara, sebelum menjadi program kesukaan ramai di Astro Ceria.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: