KISAH produser yang agak berkira soal duit bukanlah benda baru kepada Cik Normah. Iyalah, Cik Normah pun sudah lama juga memerhatikan dunia seni hiburan di negara kita ini. Jadi, banyak jugalah cerita seumpama dengannya yang sampai ke telinga dan dapat disaksikan sendiri oleh Cik Normah.
Namun, seorang produser yang agak terkenal ni macam tak habis-habis dengan kes kedekut. Kalau dia kedekut untuk membantu produksi atau pihak lain, Cik Normah tidaklah hairan sangat. Tetapi, kalau hendak keluar seratus dua untuk produksi sendiri pun dia sangat berkira, itu sudah kes tahap bahaya namanya.
Kalau boleh, semua benda dia hendak secara percuma, daripada tempat acara diadakan sehingga banner atau bunting mempromosikan program terbitannya. Sesetengah rakan pernah beritahu Cik Normah, dia akan berusaha mencari dewan yang tidak perlu dibayar apa-apa, barulah majlisnya boleh diadakan.
Masalahnya, kalau hendak cari yang sanggup bagi percuma di Kuala Lumpur ni, mana ada? Hendak tak hendak, kenalah merantau sikit ke luar sana, barulah jumpa tempat sebegitu rupa sedangkan pusat hiburan, penerbitan dan penyiaran di Malaysia ini ialah Kuala Lumpur. Kalau buat majlis di luar daerah, susah sikitlah jawabnya.
Cik Normah harap sangatlah, selepas ini, produser yang satu ini tidak lagi dibelenggu sikap kedekut. Bukan saja tak sedap didengar peminat, sikap itu juga membantutkan banyak benda yang dibuat pekerjanya bagi membantu melicinkan lagi perjalanan apa-apa produk terbitan syarikatnya.
Janganlah asyik berharap untuk dapat benda percuma saja sebab ada masa kita juga hendaklah menghulurkan bantuan kepada pihak lain juga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: