Monday, June 1, 2009

Dengarnya...: Amylea buat persembahan percuma di Bangkok Jazz


CIK NORMAH sebenarnya memang suka penyanyi kecil molek yang muncul daripada program Akademi Fantasia musim ketiga, bersama-sama Mawi dulu. Orang kata, dia ni kecil-kecil cili padi. Walaupun tubuhnya kecil, namun Amylea seorang artis yang berbakat.

Bukan saja dia punya suara yang baik, malah Amylea juga memiliki bakat dalam penulisan lagu. Kalau tak, masakan beberapa produksi memberikan tanggungjawab kepadanya untuk menghasilkan lagu tema bagi drama bersiri terbitan mereka. Paling Cik Normah suka ialah lagu Akan Tiba yang dinyanyikan beberapa artis, termasuk Alif Sattar dan Amylea sendiri. Lagu itu menjadi lagu tema siri Rona Roni Makaroni.

Baru-baru ini, Amylea singgah ke pejabat Cik Normah kerana menghadiri sesi fotografi bersama akhbar NST. Alang-alang singgah, Amylea yang sentiasa ramah itu pun menghulurkan risalah mengenai persembahannya di Bangkok Jazz, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, 5 dan 6 Jun ini.

Wah, pasti seronok sesiapa yang dapat tengok persembahan itu nanti. Iyalah, dengar cerita, sebanyak 12 lagu yang penuh makna buat penyanyi ini akan dipersembahkan pada show yang bermula jam 8 malam itu. Cik Normah tak dapat tengok persembahannya nanti, sebab Cik Normah ikut rakan ke Singapura.

Lebih istimewa, kalau tak silap Cik Normah, Amylea turut mengundang penyanyi terkenal, Noh, daripada kumpulan Hujan untuk sama-sama memeriahkan acara. Apakah mereka mungkin menyanyikan lagu secara berduet pada malam itu? Oh, Cik Normah sangat cemburu!

Persembahan Amylea di Bangkok Jazz nanti adalah percuma. Jadi, kepada sesiapa yang merindui persembahan Amylea selepas kemunculannya dalam program One In A Million tidak lama dulu, bolehlah ajak kawan-kawan lepak-lepak sambil minum-minum atau makan-makan di Bangkok Jazz, seterusnya berhibur bersama Amylea serta rakan pemuziknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: