SUDAH lama Cik Normah terdengar khabar mengenai rumah tangga seorang selebriti jelita yang masih bergetah ini berantakan. Dia sendiri ketika berbual kosong dengan teman Cik Normah pernah memberi bayangan perkahwinan yang baru beberapa tahun dibina itu dilanda badai.
Khabarnya personaliti ini sudah lama makan hati dengan sikap suaminya yang bermata keranjang ini. Biarpun sudah beristeri dan mempunyai anak, suaminya masih mahu bebas laku.
Lagaknya yang mengalahkan orang bujang membuatkan personaliti itu menjeruk rasa. Aneh juga dengan sikap suaminya yang tidak pernah tahu bersyukur. Cik Normah lihat tiada apa yang kurang pada personaliti itu.
Parasnya jelita, malah tubuhnya kekal langsing selepas melahirkan anak hingga menjadi rebutan pelbagai produk yang mahu mendapatkan khidmatnya sebagai jurucakap. Cemburu juga Cik Normah yang sudah puas menahan selera, namun masih gagal mendapatkan berat badan impian.
Mungkin juga kerana sudah terbiasa dimanjakan keluarga sendiri membuatkan suami personaliti tadi lupa tanggungjawabnya.
Setahu Cik Normah selepas berkahwin dan mempunyai anak, personaliti tadi masih menetap bersama mentuanya. Bahkan ketika berpantang pun, mentuanya yang mengambil berat dan bersusah payah menjaga sehingga dia kembali sihat untuk keluar bekerja.
Mungkin itu antara penyebab mengapa kasih sayang dan kemesraan mereka suami isteri makin luntur. Cuma Cik Normah belum pasti apakah hubungan mereka masih kekal sebagai suami isteri atau sebaliknya.
Tetapi daripada sumber yang memberitahu Cik Normah, riwayat indah perkahwinan mereka kini sudah menjadi kenangan. Nantilah bila Cik Normah bertemu personaliti ini, Cik Normah akan cuba merisik.
Baik dengar daripada mulut tuan punya badan sendiri. Sekurang-kurangnya Cik Normah tidak melakukan dosa kering memfitnah dia yang tidak berdosa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: