KUALA LUMPUR: “Semua dakwaan itu fitnah, malah saya tak kisah tempoh diberikan kerana berada di pihak yang benar,” tegas komposer terkenal, S Atan berhubung tuduhan Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar bahawa dia menipu penyanyi itu sebanyak RM83,000 yang sepatutnya digunakan untuk menerbitkan album.
S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said, 59, berkata Sharifah Aini sepatutnya berfikir terlebih dulu sebelum membuat tuduhan melulu termasuk membuktikan dia menyiapkan rakaman 16 lagu untuk album terbaru penyanyi itu menggunakan program komputer, bukan secara langsung.
“Melalui media, dia mendakwa sudah merujuk susunan muzik dalam master tape kepada 20 komposer. Jadi saya cabar dia panggil komposer berkenaan, seorangpun cukup untuk berjumpa saya untuk memastikan dia seorang profesional supaya kita boleh sama-sama tentukan sama ada saya yang menipu atau dia yang bermasalah,” katanya ketika ditemui di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, semalam.
Anak kelahiran Geylang, Singapura, itu sebaliknya mendakwa dia menanggung kerugian dalam pembikinan album itu kerana sebahagian besar daripada RM83,000 itu digunakan untuk membiayai kos pemain muzik dan studio.
|
“Sebanyak RM24,000 digunakan untuk membiayai kos enam pemain peralatan muzik bertali (string), RM1,000 (seruling), RM3,200 (gitar), RM3,200 (dram), RM3,200 (bass), RM3,200 (piano), RM3,200 (pads), RM6,400 (dua pemain gendang), RM4,800 (akordian), RM16,000 (penyusun untuk 16 lagu) dan RM11,000 untuk studio.
|
“Jumlah keseluruhan perbelanjaan RM79,200 dan bakinya hanya RM3,800. Jadi, mana duit saya sebagai penerbit yang sepatutnya mendapat RM16,000,” katanya.
S Atan berkata dia sedar mengenai kerugian itu ketika perbincangan kos album diadakan, tetapi disebabkan menghargai rakan lama, dia menerima tawaran itu.
“Jadi pembayaran kepada saya sebagai penerbit tidak dikira dan bermakna satu lagu hanya RM5,187.50 sedangkan untuk menghasilkan satu lagu dengan persembahan secara langsung antara RM8,000 hingga RM9,000. Jadi apalah sangat RM83,000 itu,” katanya.
S Atan berkata, cukuplah hanya dia difitnah Sharifah Aini kononnya memprogramkan muzik album itu, tetapi mempersoalkan kenapa menambah tuduhan kononnya dia menipu beberapa artis lain serta syarikat rakaman.
“Sejak 40 tahun menceburi bidang ini, saya tak pernah menipu sesiapa, tanya mana-mana pihak dalam bidang ini.
“Dia (Sharifah Aini) juga mengeluarkan kata-kata sinis mengenai pendapatan saya dan cara saya mencari rezeki untuk keluarga. Kenapa mahu kaitkan keluarga saya sedangkan perbalahan ini antara saya dan dia.
“Muzik saya rakam secara langsung, tapi dia dakwa saya programkan, jadi sia-sia pengalaman 40 tahun dalam bidang muzik sedangkan dia tak tahu membezakan mana satu muzik program, mana yang ‘live’,” katanya.
Penulis lirik, penerbit dan pemuzik yang sering menjadi pilihan penyanyi ternama itu mendakwa perbalahan mereka tercetus kerana susunan muzik lagu Seri Kedah dan Seri Siantan untuk dimedleykan.
“Saya menyusun muzik lagu itu dan menetapkan tempohnya empat minit 30 saat, tapi dia mahu lebih daripada lapan minit. Walaupun tak setuju, saya turutkan juga dan menyiapkan lagu berkenaan.
“Selepas semua urusan muzik lengkap, dia tak mahu lagi bekerjasama dengan saya dan meminta orang tengah menghubungi saya untuk membenarkan pihak studio menyerahkan kerja saya...saya ikut kemahuannya,” katanya.
S Atan berkata, sepatutnya sebaik selesai urusan muzik, peringkat seterusnya adalah vokal, tetapi Sharifah Aini mengarahkannya berhenti setakat itu saja.
“Saya ada dengar dia mahu bawa muzik itu untuk ‘mix’ di Australia dan saya fikir mungkin itu yang dilakukan kerana senyap selama dua tahun, tapi sekarang timbul macam-macam dakwaan daripadanya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah, 55, memberi kata dua kepada S Atan supaya memulangkan wang RM83,000 sebelum 30 Jun ini berhubung isu itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: