Monday, June 1, 2009

Air Supply singgah Kuala Lumpur


Dendang lagu 'berhantu' khas untuk peminat di Hotel Hilton, 16 Jun

BIARPUN usia mereka sudah mencecah lebih setengah abad, Graham Russell, 59, dan Russell Hitchcock, 60, dari kumpulan Air Supply seakan tidak mengenal erti penat dan jemu, sebaliknya masih ligat mengelilingi dunia menghiburkan peminat mereka.

Tidak banyak kumpulan yang dapat bertahan lama tetapi dua sahabat berasal dari Australia ini masih utuh ikatan mereka hingga berjaya mempertahankan nama Air Supply sehingga 34 tahun lamanya.

Air Supply adalah lagenda. Mereka tidak hanya digemari peminat era 70-an hingga 80-an, tetapi lagu romantis kumpulan itu seperti All Out Of Love, Lost In Love, Here I Am dan banyak lagi turut menjadi siulan golongan muda. Lagu berhantu mereka itulah yang menyebabkan nama Air Supply masih menjadi sebutan hingga kini.

Tidak hairan sehingga ke saat ini, Air Supply masih menerima undangan persembahan di merata dunia. Bagi peminat tempatan yang merindui persembahan kumpulan itu, Air Supply juga tidak ketinggalan akan berkunjung ke sini yang dibawakan oleh Fat Boys Records Sdn Bhd.

Pada kunjungan mereka 16 Jun nanti, Air Supply bakal membuat persembahan di Grand Ballroom, Hotel Hilton. Persembahan selama 90 minit itu bakal menghimpunkan lagu popular kumpulan berkenaan.

Penganjurnya, Susan Tan Pei Yeen, berkata konsert itu diadakan bertujuan untuk menghiburkan peminat dari lingkungan umur 40 tahun dan ke atas.

“Sejak kebelakangan ini, banyak konsert yang dibawa masuk ke sini hanya sesuai untuk golongan remaja. Tetapi tidak banyak hiburan yang disediakan untuk mereka yang berusia 40 tahun ke atas. Justeru ia memberi idea kepada Fat Boys untuk mengundang Air Supply sekali lagi ke negara kita.

“Memandangkan sasaran penonton kami adalah golongan berpendapatan tinggi, jadi kami mahukan sebuah kumpulan yang mampu memenuhi kriteria berkenaan. Bersandarkan kepada populariti yang dimiliki Air Supply, kami sepakat untuk mengundang mereka yang kebetulan turut mengadakan siri jelajah di Hong Kong, Taiwan dan selepas ini Indonesia.

“Bagi kami di Fat Boys, konsert ini relevan diadakan kerana maklum balas yang kami terima amat memberangsangkan. Tidak sampai seminggu kami mempromosikan kepada syarikat korporat, tiket sudah dijual melebihi 60 peratus,” kata Susan.

Selain lagu lama mereka yang bakal mengamit memori silam, dalam konsert yang mampu memuatkan 1,800 penonton itu, Air Supply juga dijangka akan mendendangkan lagu daripada album terbaru mereka Mumbo Jumbo. Sebanyak 15 buah lagu dijangka akan didendangkan dengan diiringi persembahan live band.

Sementara itu, penyanyi yang mendapat gelaran Tom Jones Malaysia, Tony Warren akan membuat persembahan pembukaan dengan mendendangkan sebanyak tiga buah lagu.

Tiket menyaksikan persembahan Air Supply dijual pada harga RM 498, RM 358, RM 258 dan RM 138. Bagaimanapun tiket berharga RM498 sudah habis dijual. Bagi mereka yang tidak mahu terlepas peluang menyaksikan persembahan Air Supply, tiket boleh diperoleh dengan menghubungi talian bebas tol Axcess di talian 30-77115000 atau membuat tempatan melalui www.axcess.com.my.

Tiket juga boleh dibeli melalu cawangan Axcess di puast beli belah One Utama, Alamanda Putrajaya, Stadium Putra Box Office, Rock Corner (Mid Valley, The Curve dan KLCC), Tower Records (Lot 10 dan Penang) dan Parkson Sunway Pyramid.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: