
PARIS - Seorang perompak bersenjatakan pistol berjaya melarikan barang kemas mencecah AS$9.3 juta(RM32.5 juta) dari gedung mewah Chopard di sini kelmarin, kata polis.
Jurucakap polis Perancis Olivier Lebon berkata, suspek merupakan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an yang menyamar sebagai pelanggan berpakaian kemas.
Menurutnya, beberapa pengawal keselamatan membenarkan lelaki itu masuk tetapi dia mengacukan sepucuk pistol sebaik berada di dalam kedai Chopard.
Dia kemudian mengarahkan pekerja-pekerja kedai berkenaan memberikan sejumlah barang kemas sebelum melarikan diri dengan berjalan kaki.
"Rompakan itu mengambil masa hanya dua minit. Perompak itu bersendirian, berpakaian kemas seperti orang berada, tidak memakai topeng dan memasuki kedai berkenaan pada pukul 1 tengah hari (waktu tempatan)," tambahnya.
Rompakan berlaku ketika ibu negara Perancis itu dibanjiri orang ramai dan pelancong yang berpusu-pusu keluar membeli belah pada hujung minggu.
Chopard merupakan pengeluar barang kemas dan aksesori mewah termasuk jam tangan popular di seluruh dunia serta kerap menghiasi golongan selebriti antarabangsa.
Dalam satu kejadian lain pada Disember lalu, sekumpulan perompak berjaya melarikan barang kemas bernilai AS$100 juta (RM351 juta) daripada butik Harry Winston di Avenue Montaigne, Champs-Elysees.
Kejadian rompakan tersebut dipercayai dilakukan sindiket antarabangsa yang digelar Pink Panther.
Pada Selasa lalu, seorang bekas tentera Montenegro yang dipercayai anggota Pink Panther dijatuhi hukumpan penjara 15 tahun dan denda AS$210,000 (RM737,100) kerana merompak butik Saint-Tropez.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: