
TEHERAN - Anggota-anggota keselamatan Iran berjaya mematikan sebutir bom yang diletak di dalam sebuah pesawat komersial domestik, kata beberapa pegawai semalam.
Cubaan serangan bom kelmarin merupakan insiden keganasan terbaru yang berlaku menjelang pilihan raya presiden di Iran pada 12 Jun ini.
Agensi berita Fars melaporkan kejadian melibatkan pesawat syarikat Kish Air yang dalam perjalanan ke sini selepas berlepas dari bandar Ahvaz, dekat sempadan Iraq.
"15 minit selepas pesawat dengan 131 penumpang itu berlepas, beberapa pengawal keselamatan penerbangan menemui sebutir bom buatan sendiri di sebuah tandas pesawat," kata Fars.
"Pesawat berkenaan segera mendarat di lapangan terbang Ahvaz di mana bom tersebut dimatikan," tambah agensi berita berkenaan.
Insiden tersebut berlaku dua hari selepas 25 orang maut dan 125 lagi cedera dalam serangan bom di sebuah masjid di Zahedan iaitu ibu negeri wilayah Sistan-Baluchestan, berhampiran sempadan Afghanistan dan Pakistan.
"Anggota-anggota keselamatan pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran bertindak cemerlang dan tiada sebarang kecederaan dalam kejadian itu," kata jurucakap Pertubuhan Penerbangan Awam Iran, Reza Jafarzadeh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: