|
|
NAMA Azharina bukan tidak popular sebagai penyanyi. Memiliki suara serak-serak basah yang tiada pada mana-mana artis tempatan lain membuatkan juara Bintang RTM 2001 ini cukup mudah diterima ramai.
Bukan itu sahaja, malah lagu-lagu nyanyiannya seperti Seandainya, Elergi Sepi dan yang terbaru Rawan dan Rasa menjadi siulan dan mendapat tempat di hati peminat.
Namun, di sebalik kejayaannya di bidang nyanyian, anak jati negeri di bawah bayu, Sabah ini tidak putus-putus dikaitkan kontroversi terutama yang melibatkan status sebenar dirinya.
Biarpun berkali-kali cuba menafikan dan membuat penjelasan, bagaikan tiada penghujung soalan yang sama sering diutarakan menanti jawapan pasti.
Terkilan, sedih dan rasa kecewa semuanya bercampur baur, namun sebagai insan yang sudah melangkah masuk ke dunia seni dia akur dan mengerti bahawa dirinya bukan lagi mempunyai hak persendirian seperti sebelumnya.
Mahu atau tidak terpaksa juga dia menjawab setenang yang mungkin terhadap satu persatu persoalan yang dibangkitkan.
Pertemuan dengan wanita berusia 24 tahun ini tidaklah sesukar yang disangka. Kiriman SMS (khidmat pesanan ringkas) yang dikirimkan kepadanya pantas dibalas oleh pengurusnya Reen, sambil menetapkan masa dan ketika yang sesuai untuk sesi bergambar.
Sambil di rias cantik oleh juru solek Rose Suci, penyanyi yang mesra disapa Nina ini sedia ditemuramah.
Bercerita tentang hidupnya setelah bercerai, kata Nina: "Life saya sekarang alhamdulillah syukur dan bahagia tanpa sebarang gangguan dan tiada tekanan daripada mana-mana pihak.
"Saya gembira dengan hidup yang saya pilih sekarang, dipenuhi aktiviti kerjaya seni dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada orang-orang di sekeliling saya dan juga para peminat," kata Nina tenang.
Masih mengupas soal hati dan perasaan, menurut Nina buat masa ini dia cuba memenuhi sebanyak mungkin aktiviti seni dan perniagaan sementelah 'mencuri' sedikit masa yang ada untuk memulihkan kembali rasa gundah yang bersarang di hatinya.
Soal perceraiannya dengan Datuk Sukri Mohd., 50, yang juga merupakan seorang peguam bukan sesuatu yang mudah diungkapkan oleh penyanyi ini.
Malah, setelah membuat pengakuan tentang berakhirnya ikatan perkahwinan dengan lelaki yang turut digelar Datuk S itu pada awal Mei tahun lalu, pelbagai spekulasi dan telahan negatif singgah kepadanya.
Apatah lagi, sebelum itu ramai pihak yang mendakwa dia telah pun berkahwin tetapi bermati-matian dia menafikan.
Sudahnya, ramai peminat yang melabelkannya sebagai artis yang suka cakap bohong dan tidak boleh dipercayai.
Baru-baru ini, timbul pula gosip yang mengatakan dia telah berkahwin dengan seorang berpangkat Datuk dari Kelantan. Bukan itu saja, malah ada juga yang mengatakan dia pernah menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lelaki warga Filipina. Tidak cukup itu, Nina juga dikatakan telah rujuk semula dengan bekas suaminya.
Alang-alang bertemu tuan punya badan, soalan yang masih lagi berkisarkan perkahwinan diajukan kepadanya. Bagai sudah menjangka soalan yang sama bakal diajukan, Nina tetap profesional menjawab.
"Saya sekarang masih dalam proses memulihkan kembali perasaan saya. Tiada masa untuk menjalin hubungan dengan sesiapa pun setakat ini.
"Buat masa ini saya begitu memerlukan masa untuk diri sendiri daripada menyayangi orang lain. Nak kata serik untuk memulakan hubungan yang baru mungkin juga tetapi bagi saya itu sudah takdir Tuhan.
Manusia biasa
"Apa kata cuba bertanya pada teman-teman rapat saya, sebab kalau betul saya sudah kahwin mereka tentu tahu. Lagipun, kalau saya sudah kahwin tidaklah saya minta pengurus saya tinggal bersama-sama saya," katanya.
Menurut Nina, mungkin disebabkan sikapnya yang mudah mesra dengan sesiapa sahaja membuatkan orang ramai membuat tafsiran yang salah terhadapnya.
"Bagi saya kawan-kawan yang rapat dengan saya lebih tahu siapa saya yang sebenarnya. Dahulu saya menafikan kerana terpaksa dan mempunyai alasan tersendiri kenapa saya tidak boleh bercerita kepada khalayak.
"Untuk gosip-gosip yang terbaru ini, jika orang masih tidak percaya itu hak peribadi mereka. Lagipun saya tidak boleh memaksa sesiapa untuk mempercayai dan menyukai saya.
"Saya juga manusia biasa dan mempunyai hak terhadap diri sendiri. Kalau mereka duduk di tempat saya sudah tentu mereka juga tidak tahu apa yang perlu dilakukan," kata Azharina memohon pengertian semua pihak.
Sibuk buat album
Nina kini sedang sibuk menyiapkan album terbarunya yang dijangka bakal dipasarkan pada Julai ini.
Bukan itu sahaja, dia juga sibuk merakamkan klip video lagu-lagu terbaru yang bakal dimuatkan dalam albumnya itu untuk dipasarkan sebagai VCD karaoke yang bakal menjengah pasaran pada September ini.
Menurutnya, selain Rawan dan Rasa, lagu-lagu lain yang turut dimuatkan dalam album yang hanya tinggal 20 peratus untuk disiapkan itu termasuklah lagu duet bersama Hazami, Akur, Sakarat dan Bunyi Gitar (cover vision).
"Album ini saya yang terbitkan sendiri. Tiada susahnya walaupun ini merupakan kali pertama saya cuba terbitkan. Cuma leceh sedikit sebab saya jenis yang agak teliti dan ia menyentuh tentang perasaan saya dan juga orang-orang di sekeliling.
"Bukan semata-mata untuk seronok tetapi juga untuk jiwa saya. Selain menerbitkan album, saya juga menulis lirik disamping mengarah klip video untuk lagu-lagu saya," kata Nina lagi.
Bukan sahaja sibuk dengan pembikinan album, Azharina turut sibuk menerbitkan beberapa dokumentari untuk tayangan di web TV sebanyak 15 episod di bawah syarikat miliknya, Top 3 Production.
"Sebenarnya saya memang banyak terlibat dengan kerja-kerja di belakang tabir sejak dulu lagi, cuma orang hanya kenali saya sebagai penyanyi.
"Walaupun sebenarnya saya jenis yang manja dan suka dibelai, saya juga jenis yang gigih dan tegas ketika bekerja.
"Setakat ini rezeki saya alhamdulillah, yang penting sentiasa ada pendapatan," katanya sebelum mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: