|
|
SETIAP kali mendengar lagu Kisah Seorang Biduan berkumandang di radio, terbayang di mata kita seraut wajah penyanyi berwajah sayu, Dhalan Zainuddin yang mencipta fenomenanya sendiri dengan lagu tersebut.
Walaupun lagu yang dinyanyikan pada peringkat akhir Bintang RTM '75, tidak memberikannya sebarang tempat, tetapi tidak siapa yang sangka 'kekalahannya' di pentas RTM telah memberi kejayaan dalam kerjaya seninya.
Kisah Seorang Biduanlah yang telah meletakkan nama Dhalan Zainuddin di puncak tertinggi di persada seni ketika itu.
Siapa sangka penyanyi yang sekadar menyanyi di kelab-kelab malam akhirnya menjadi penyanyi lelaki paling popular ketika itu.
Dengan lagu itu jugalah, Dhalan menjadi penyanyi solo pertama diberi peluang mengadakan konsertnya di Stadium Negara. Bukan sekali tetapi dua kali, Dhalan mengadakan konsertnya di stadium berkenaan iaitu pada tahun 1977 dan 1978, semuanya kerana populariti lagu itu.
Bukan itu sahaja, malah Dhalan juga menjadi artis solo Malaysia yang pertama diberi peluang mengadakan konsertnya sendiri di Stadium National Theatre di Singapura pada tahun 1977 dan 1978.
Lirik lagu yang dikatakan jiwang-jiwang dan sesuai untuk orang yang putus cinta dan kesunyian itu jugalah yang telah membawa Dhalan Zainuddin menyanyi dan menghiburkan rakyat Malaysia di Malaysian Hall, Kota London.
Persembahan lebih sejam itu bukan sahaja telah mencipta sejarah perjalanan seni Dhalan, malah ia memberi peluang kepada rakyat Malaysia menikmati dan mendekati penyanyi berwajah sayu itu.
Sudah tentu Kisah Seorang Biduan menjadi pilihan masyarakat Malaysia di Kota London di samping lagu-lagu popular Dhalan yang lain seperti Lagu Untukmu, Joget Kaki Lima, Sendiri Lagi dan Sabda Cinta.
"Saya memang tidak pernah menduga semua itu kerana saya hadir dalam dunia seni ketika usia saya sudah menjangkau 34 tahun. Ada orang kata sudah terlalu lewat tetapi itulah rezeki saya, walaupun dianggap sudah 'tua' ketika itu tapi... saya berjaya," cerita Dhalan Zainuddin, 68, yang ditemani anak bungsunya, Norathinia Ines,14, dalam satu pertemuan Rabu lalu.
Menurut Dhalan, lagu tersebut bukan sahaja telah melebarkan sayapnya dalam bidang seni ke luar dari Malaysia, malah lagu itu jugalah telah menemukan jodohnya, dengan isteri tercinta Fuziah Buang, 50, atau lebih dikenali sebagai Effa Rizan.
"Semuanya bermula ketika saya mengadakan konsert di Singapura pada tahun 1977. Sepatutnya saya digandingkan dengan Junainah M.Amin untuk cover majalah Varia Pop tetapi jadualnya tidak betul.
"Apabila jurugambar Nahar Kamsani mengesyorkan nama Effa Rizan, saya setuju saja. Ketika bergambar kami memang tidak banyak berbicara kerana jadual saya begitu ketat untuk latihan.
"Kami sekadar menukar nombor telefon, alhamdulillah jodoh kami telah ditentukan bersama. Kami nikah pada 15 Disember 1977 di Kuala Lumpur dan pada 1 Januari 1978 kami bersanding di Singapura. Setelah berkahwin barulah kami menyemai cinta kami," ungkap Dhalan mengimbau nostalgia cintanya itu.
Benarlah Kisah Seorang Biduan mencipta fenomennya sendiri kerana lagu itu bukan sekadar membawa Dhalan terbang jauh ke dunia seni malah ia juga menemukan jodohnya yang berkekalan sehingga hari ini.
Perkahwinan yang telah berusia 31 tahun itu telah diserikan dengan kehadiran empat orang cahayamata iaitu Natasha Idha, 30, (telah berkahwin dengan Admi Shahrul Ahmad Safian), Mohd. Danial, 27, dan Norathinia Ines,14. Anak ketiga mereka, Mohd. Akasya Iman telah meninggal dunia ketika berusia 12 kerana penyakit leukemia.
Terlalu indah dan bermakna
Menurut Dhalan, ketika mendendangkan lagu itu, ramai yang menganggap lagu tersebut adalah nyanyian sayu hati seorang duda yang cuba mengharungi dunia seni penuh cabaran secara sendirian.
Tetapi bagi Dhalan, lirik lagu yang dihasilkan bagi memenuhi syarat pertandingan iaitu setiap peserta perlu menyanyi dua lagu iaitu satu lagu Melayu dan satu lagi lagu baru.
"Saya sendiri tidak menyangka lagu pemberian penyanyi D' Lloyd, Sam Bimbo telah menyinari hidup dan dunia seni saya.
"Semuanya terjadi secara kebetulan. Ketika saya sedang menjalani latihan untuk peringkat semi final Bintang RTM'75 di Auditorium Besar, Angkasapuri, Sam Bimbo juga sedang menjalani latihan untuk satu babak filem Semalam Di Malaysia.
"Pada malam itu saya menyanyikan lagu Mana Lagi yang dipopularkan The Mercys. Sam yang tertarik dengan suara dan gaya nyanyian saya datang ke belakang pentas dan berjanji memberikan saya lagu ciptaannya.
"Saya bersama penyanyi kelab,Christine Iskandar ke Hotel Federal tempat Sam menginap sepanjang penggambaran filem itu. Dalam pertemuan itu, Sam telah memberikan saya melodi lagu berkenaan dan meminta saya menulis liriknya.
"Apabila sampai di rumah dengan gitar tong, saya mendapat ilham melahirkan lirik yang simple tetapi ramai peminat berkata ianya terlalu indah dan bermakna," cerita Dhalan.
Walaupun Dhalan hanya mempunyai waktu dua minggu untuk berlatih bagi peringkat akhir, tetapi dengan latihan yang tidak jemu dan bimbingan pemimpin Orkestra RTM ketika itu, mendiang Gus Steyn yang juga tertarik dengan lagu tersebut, Dhalan mampu menghayati lagu itu dengan baik di samping sebuah lagu lagi And I Love You So.
Biarpun keputusan Bintang RTM '75 meletakkan kumpulan Marj dengan lagu Kopi Susu sebagai juara, Cik Sum Kum (Naib Juara) dan Zulkifli Ahmad (tempat ketiga), namun Dhalan tetap berbangga kerana dia dianugerahkan dengan Persembahan Keseluruhan Terbaik.
Sejak itu, bermulalah kembara seni Dhalan Zainuddin. Bermula dengan rakaman album lagu tersebut dengan syarikat Warnada, Dhalan tidak henti-henti dengan pertunjukan di samping tugas hariannya sebagai Pengurus Suplemen di sebuah akhbar berbahasa Inggeris.
"Bayangkan dengan tugas di pejabat, saya masih boleh memenuhi undangan menyanyi di pentas terbuka setiap dua hari. Saya boleh memandu kereta ke Alor Star petang dan esok paginya memandu balik ke Kuala Lumpur untuk bekerja," cerita Dhalan yang merupakan satu-satunya artis Malaysia ketika itu memandu kereta sports Alfasud Sprint Velosey yang diimport dari Itali.
Bukan itu sahaja, malah kerana populariti Dhalan dengan Kisah Seorang Biduannya, telah membuatkan Sabah Filem menerbitkan filem itu dengan menggunakan tajuk yang sama.
Sayangnya, filem yang menggunakan tajuk lagu berkenaan menjadi isu pertikaian kerana tidak menampilkan lagu Kisah Seorang Biduan sebagai lagu temanya.
"Saya mendapat banyak feedback daripada peminat yang begitu kecewa kerana lagu itu tidak diabadikan dalam filem berkenaan. Apalah daya saya kerana saya hanya seorang pelakon dalam filem itu," kata Dhalan.
Dari Warnada, Dhalan berhijrah ke Serama, diikuti Trio, Jensen Record dan kemudian ke WEA (kini dikenali Warner Music), NSR dan Sony Music.
Penghijrahan Dhalan dari satu syarikat ke satu syarikat kerana popularitinya yang masih teguh membuatkan syarikat rakaman begitu ghairah menawarkannya menjadi artis rakaman mereka.
Tetapi sayangnya, penghijrahan Dhalan ke WEA dengan menukar nama Dhalan Zainuddin kepada Dell atas idea Pengurus Artis & Repotoire WEA ketika itu, Raymond Hon, menjadi titik tolak 'kejatuhan' Dhalan Zainuddin.
"Album pertama saya dengan WEA yang menggunakan nama Dell sebagai tajuk album memang benar-benar membuatkan peminat marah. Bayangkan tiba-tiba nama saya merudum dan album tidak boleh jual.
"Walaupun terkilan tapi saya tidak marah dengan Raymond kerana itu ideanya dan peminat tidak biasa. Sebenarnya di kalangan rakan-rakan bola sepak, saya lebih dikenali Dell berbanding Dhalan," kata Dhalan yang mempunyai 14 EP dan LP.
Ketika menjadi artis rakaman Sony Music pada 1999, Dhalan menjadi artis pertama albumnya diterbitkan dalam bentuk CD. Album tersebut Diam-Diam Rindu tetap mendapat sambutan daripada peminat.
Bagaimanapun apabila anak ketiganya, Mohd. Akasya Iman disahkan mengidap leukemia pada tahun 1999, Dhalan terus berhenti dari dunia seni untuk memberi perhatian kepada anaknya.
Sayangnya, usia Akasya tidak panjang. Mohd. Akasya Iman meninggal dunia pada tahun 2001.
Kini kata Dhalan, walaupun usianya hampir 70 tahun dia bersyukur kerana masih mampu bekerja dan menampung keluarga.
Bekerja di Syarikat Kumpulan Fern Park sebagai Pengurus Pemasaran, Dhalan yang mempunyai seorang cucu, Adiah Sufea, 2 tahun lebih, bersyukur hidup bahagia disamping isteri, anak-anak dan cucu.
Walaupun masih diundang menyanyi, tapi bagi Dhalan keluarga adalah yang utama dan kenangan bersama Kisah Seorang Biduan tidak pernah dilupakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: