Monday, June 1, 2009

Mirage bawa Pesawat terbang tinggi


PESAWAT ketika mengadakan persembahan di LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA kUALA lUMPUR sempena pelancaran klip video Mirage yang akan disiarkan di Channel [V].


MENGGELARKAN diri mereka sebagai Pesawat, kumpulan yang dibarisi empat anak muda ini semakin dikenali ramai biarpun baru empat tahun muncul di persada muzik tanah air.

Ditubuhkan pada 2005, single pertama mereka berjudul Mirage yang mula dipasarkan tahun lalu telah berjaya membawa Pesawat untuk terbang lebih tinggi.

Tatkala itu, Mirage dilihat menguasai carta lagu di beberapa buah stesen radio tempatan di samping turut berjaya 'menangkap' hati peminat.

Kejayaan Mirage seakan memberi semangat kepada Pesawat untuk tidak berhenti di situ sahaja apabila tampil dengan single seterusnya iaitu Rasional Emosional dan sebuah lagu berbahasa Inggeris, Excuse Me.

Sambutan terhadap dua single tersebut juga tidak mengecewakan yang mana akhirnya memacu Pesawat mengorak langkah dalam menghasilkan album pertama mereka tidak lama lagi.

Tambah membanggakan, melihatkan populariti yang diraih menerusi Mirage, Pesawat telah diberi peluang untuk menghasilkan klip video lagu tersebut yang bakal disiarkan secara eksklusif di saluran Channel [V] (saluran 714, Astro).

Pembikinan klip video itu telah dilakukan dalam masa sehari pada Februari lalu di studio Finas, Ulu Kelang, Selangor.

Menggunakan bajet sendiri, warga media baru-baru ini berkesempatan menonton klip video berkenaan pada satu majlis pelancaran yang dilakukan di dalam pesawat Boeing 777 Penerbangan Malaysia (MAS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Menariknya, bersesuaian dengan namanya Pesawat, klip video Mirage yang diarahkan oleh Rewan Ishak itu menampilkan anggota Pesawat menggunakan pakaian seperti seorang juruterbang pesawat komersial di samping pelakon tambahan yang bertindak sebagai krew kabin.

Klip video selama empat minit itu turut memperlihatkan pelbagai simbol berkaitan persekitaran lapangan terbang.

Bercakap mengenai klip video tersebut, vokalis Pesawat, Hudzaifei Hazmi atau mesra dengan panggilan Jipie menjelaskan bahawa selain bajet, pembikinannya turut menggunakan khidmat rakan-rakan mereka sendiri.

"Mereka (rakan-rakan) banyak membantu kami menghasilkan klip video Mirage dalam segenap cabang kerja.

"Kerjasama rakan-rakan juga dapat membantu Pesawat untuk mengurangkan bajet pembikinan.

"Proses rakaman bukan sahaja dilakukan di dalam studio tetapi melibatkan kawasan lapangan terbang dan di dalam pesawat,'' katanya.

Pada majlis tersebut, Channel [V] turut mengumumkan mengenai penyiaran sebuah episod khas yang menampilkan temu bual bersama Pesawat menerusi program AMP Around Asia pada 7 Jun ini.

Selain Pesawat, AMP Around Asia turut memaparkan perjalanan sebuah lagi band indie tempatan iaitu Bunkface pada 27 Jun. Melalui AMP Around Asia : Bunkface Rocks Jakarta!, ia memperlihatkan bagaimana Bunkface mengembara ke Jakarta untuk menghadiri Rolling Stone's Rock & Roll Propaganda.

Menyambung bicara, ujar Jipie, kerjasama Pesawat dengan Channel [V] terjalin sejak Disember lepas saat Pesawat diundang sebagai artis jemputan sewaktu persembahan Nidji di Zouk, Kuala Lumpur.

"Kami sendiri yang menemui pihak Channel [V] dan daripada situ, timbul idea untuk projek pembikinan video klip,'' jelasnya.

Ditanya mengenai majlis pelancaran klip video Mirage yang berlangsung di dalam pesawat MAS, Jipie menjelaskan bahawa pihaknya amat berterima kasih kepada Channel [V] yang banyak memberikan ruang untuk Pesawat mengembangkan nama di persada muzik.

"Terima kasih juga kepada MAS dan Malaysia Airport Berhad (MAB) yang banyak membantu dalam proses rakaman klip video termasuk pelancaran klip tersebut,'' kata Jipie.

Selain Jipie, Pesawat turut dianggotai Kudux, Mann dan Nizam.

Terbang ke Indonesia?

Sementara itu, saat diajukan soalan tentang pasaran muzik di Indonesia, Jipie dengan nada yakin berharap karya seni Pesawat akan dapat menembusi negara tersebut.

Menurutnya, Pesawat sudah pun mengenali kumpulan Nidji dan ia akan dijadikan platform untuk mengadakan kerjasama dengan kumpulan terbabit pada masa mendatang.

"Sudah tentu kami ingin menembusi pasaran Indonesia.

"Setakat ini, band indie yang telah pun berjaya ke Indonesia adalah Hujan dan kita juga berharap akan dapat menjejak langkah Hujan,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: