Monday, June 1, 2009

25 tahun penuh inspirasi

Bekas personaliti TV3 imbau nostalgia, petugas semasa tidak kurang cerita

TANGGAL 1 Jun datang lagi. Ia bagaikan memberi penanda aras peningkatan usia 25 tahun Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3). Pendek kata, TV3 bukan lagi adik kecil yang perlu ditatang, sebaliknya sudah dewasa dan semakin matang.

Sesuai dengan usia itu, stesen TV yang mula beroperasi di Jalan Liku, Bangsar ini semakin utuh melebarkan legasinya. Di bawah naungan Media Prima Berhad, TV3 perlu berkongsi kasih sayang dengan adik-beradiknya yang lain seperti ntv7, 8TV dan TV9.

Terkini di bawah seliaan Ketua Pegawai Eksekutif yang baru iaitu Datuk Amrin Awaluddin, TV3 terus kukuh berdiri dan tidak betah berdiam diri mempersembahkan perkhidmatan yang terbaik kepada penonton yang setia menyokong sejak dulu.

Tahun demi tahun berlalu, jenama TV3 tetap mekar menghasilkan program yang menjadi cap dagang tersendiri seperti Juara Lagu, Buletin Utama, Melodi, Malaysia Hari Ini, Wanita Hari ini, Jejak Rasul dan Majalah Tiga. Seiring dengan itu, personaliti kelahiran stesen ini juga datang dan pergi, namun semuanya terus menjadi kenangan indah.

Bagi meraikan hari bersejarah itu, Hip satukan lima personaliti wanita yang pernah meninggalkan cop dan kesan yang mengukuhkan lagi stesen TV itu. Malah, ada yang sudah meninggalkan stesen TV itu dan memilih laluan hidup sendiri seperti Wan Zaleha Radzi, Datin Zalina Azman dan Norzie Pakwan Chek.

Yang masih setia berkhidmat ialah si genit, Datin Nor Azlina Redzuan dan bakal pengantin baru tahun depan yang dianggap junior, Azwaliza Azman. Ada atau tiada, nama mereka pernah dan terus menjadi ingatan serta sebutan kerana menghidupkan program yang dikendalikan.

Cantik, petah berbicara dan bijak antara gambaran yang saling melengkapi dimiliki mereka sekali gus menjadi tarikan untuk penonton terus melekat di depan kaca TV.

Paling senior Wan Zaleha yang mula bertugas di TV3 sejak 1986 lagi. Meninggalkan stesen itu sekitar 1995, isteri kepada Peter Imran Winton itu mengakui tetap merindui bidang pengacaraan yang cukup sinonim dengan dirinya.

Wanita yang menjadi antara pelopor mengacarakan program dokumentari Majalah Tiga ini masih membabitkan diri dalam pengacaraan majlis dan sesekali muncul menjadi pengacara di studio itu mengakui masih memerhati dari jauh perkembangan TV3.

“Harus saya akui TV3 sudah berkembang pesat dan banyak perubahan yang sudah dan bakal dilaksanakan terutama daripada segi aspek teknologi. Dulu zaman saya, semuanya masih analog dan bukan seperti digital sekarang ini. Kemudahan dan kepantasan alatan canggih inilah yang terus mempercepatkan kerja.

“TV3 terus menjadi label yang lebih besar. Bagaimanapun, masih ada sudut pro dan kontranya. Ia tidak boleh dibandingkan dengan zaman dulu. Saya bermula sejak zaman Jalan Liku lagi dan kini sudah berubah ke Sri Pentas. Dulu setiap kerja yang dilakukan cukup mengujakan hati saya. Kerja wartawan itu juga satu keistimewaan yang penuh dengan tanggungjawab besar.

“Dulu kerja tanpa rujukan tertentu dan kemudahan terkini menyenangkan kerja dan hanya sekadar menekan di hujung jari saja. Dulu, apa yang kita fikir penonton mahu tengok dan disampaikan, maka itulah yang dilakukan. Atmosfera kerja dulu lagi menarik mengikut pengamatan dan pengalaman yang saya pernah lalui. Kerja tak menentu masa pun bukan satu masalah besar,” katanya yang kini bekerja sebagai promoter acara dengan Asiapromote Ventures Sdn Bhd menguruskan acara termasuklah pementasan teater muzikal The Merchants Of Bollywood yang bakal dipentaskan di Istana Budaya Julai depan.

Jelajah dunia melalui TV3

BAGI Zalina yang pernah diingati menerusi program Money Matters, beliau tidak pernah sesekali melupakan kenangan dan tuah sewaktu bertugas di TV3.

Zalina memulakan tugas di stesen TV itu sejak 1990, bagaimanapun pada 2002, beliau melanjutkan pengajian di dalam peringkat Sarjana Kewartawanan selama setahun di London. Selepas tamat pengajian, Zalina membuat keputusan untuk mengundur diri.

“Sekarang saya lebih suka bekerja di luar dan tidak membuang terus ingatan saya terhadap TV3. Hubungan saya dengan personaliti dan staf TV3 masih baik. Jika dulu bersama TV3, hampir seluruh hidup saya diabadikan kepada stesen itu. Siang malam bertungkus lumus bekerja hingga saya tiada waktu untuk diri sendiri dan keluarga. Lalu, keputusan meninggalkan TV3 selama ini dibuat atas alasan konkrit supaya saya dapat bersama keluarga dan anak.

“Pencapaian saya sewaktu di TV3 terus terpahat di dalam kotak minda. Dengan TV3, saya berpeluang menjelajah merata tempat dan ke lokasi yang pelbagai latar budaya. Saya pernah menemubual beberapa nama popular, tokoh politik dan ahli perniagaan seperti Beyonce Knowles, Britney Spears, Nelson Mandela dan ramai lagi. Peluang itu sangat berharga dan tidak sesekali saya lupakan,” katanya yang masih melakukan kerja ‘bercakap’ seperti ‘voice over’.

Rindu jadi hos Majalah Tiga

NOR Azlina Redzuan yang kini bertugas sebagai pembaca berita di Buletin Utama memberitahu kerjayanya di TV3 tidak pernah dirancang. Semuanya berlaku secara kebetulan selepas Zalina Azman mengajaknya untuk menyertai TV3.

Ketika itu, isteri kepada Datuk Yusof Annuar Yaacob ini bertugas di stesen TV lain, malah ketika itu juga menjadi tren pertukaran angin baru personaliti TV daripada sebuah stesen ke stesen lain.

Memulakan kerjaya di TV3 pada 1997, sudah banyak pengalaman yang dilaluinya termasuklah mengambil alih posisi Wan Zaleha sebagai pengacara Majalah Tiga. Bahkan hingga kini, wanita kelahiran Perlis itu tidak berselindung mengenai kerinduan untuk kembali mengacara program itu.

“Sewaktu mengambil alih tempat pengacara yang ditinggalkan Wan Zaleha Radzi, harus saya katakan begitu sukar menghakis dan membuang imej pengacara itu terhadap Majalah Tiga. Saya hanya melakukan yang terbaik dan apa yang disuruh. Alhamdulillah, saya mampu memecah tembok itu.

“Paling saya rindukan ialah untuk kembali bersama kru Majalah Tiga kerana pengalaman mengendalikan program ini tanpa sokongan orang belakang tabir seperti tidak cukup rencah. Kekuatan program ini turut terletak kepada kru yang bekerjasama memastikan kelangsungan setiap isu yang dipaparkan setiap episod. Tapi apabila melihat visual dan paparan isu yang disiarkan sekarang, saya sendiri agak gementar berdepan atau melakukannya lagi,” katanya yang tidak pernah merancang soal anak dan berserah kepada soal rezeki.

Tersentuh dengar muzik montaj program

BERALIH kepada Norzie Pak Wan Chek, namanya juga antara yang pernah mencetuskan kehangatan program Majalah Tiga sebelum diambil alih tugasnya kini oleh Nurul Syuhada. Lima tahun bersama TV3, isteri kepada Aidid Marcello yang juga personaliti TV3 ini mengambil keputusan agak mengejut meninggalkan TV3 sejak Disember tahun lalu.

Malah sebelum menoktahkan khidmat di TV3, Norzie turut melakukan transformasi bertudung. Alasan yang diberikan Norzie untuk meninggalkan bidang yang cukup dirinduinya itu ialah atas faktor kehadiran dua anak tersayang, Alyea Nai Lina dan Muhammad Iman. Sejak Januari lalu, Norzie bertugas di syarikat Rapid KL sebagai Pengurus Bahagian Komunikasi membabitkan hubungan kerajaan dan komuniti.

“Kalau masih di TV3, tuntutan kerja memerlukan saya untuk keluar mengembara. Jadi, saya takut masa untuk anak akan terbatas. Kini saya berkerjaya tetapi dalam masa yang sama, saya masih boleh menunaikan tanggung jawab sebagai ibu.

“Namun, saya masih tidak boleh melupakan pengalaman sewaktu mengendalikan Majalah 3. Bukan soal menjadi pengacara yang saya ingin tekankan di sini, sebaliknya kepercayaan TV3 terhadap saya dalam tugasan mengendalikan liputan berkaitan bencana alam seperti tsunami di Acheh dan peperangan yang melanda dunia.

“Tipulah kalau saya cakap tak rindu untuk muncul kembali di TV. Sedih pun ada juga kadang-kadang kerana saya berada dalam industri penyiaran selama 10 tahun. Bayangkan hampir setiap kali mendengar muzik montaj Majalah 3, hati saya pasti tersentuh. Saya berbangga menjadi antara cebisan kepada penerbitan program itu,” katanya yang berkahwin dengan Aidid sejak empat tahun lalu.

Buletin Utama cabar keupayaan

SEMENTARA itu, Azwaliza Azman atau lebih mesra dengan panggilan Wawa ini pula antara personaliti TV3 yang terus menyerikan stesen TV3 terutama kala menonton siaran berita, Buletin Utama. Sudah sembilan tahun bertugas sebagai pembaca berita, Wawa turut dilantik sebagai Pembantu Editor Berita sejak tahun lalu.

“Buletin Utama itu sendiri sudah mencabar keupayaan saya. Saya bermula sejak usia 20 tahun dan kini saya sudah menginjak usia 29 tahun. Ibaratnya saya seperti membesar dan mencipta kematangan di TV3. Paling membanggakan apabila diberi tugasan penting dalam pelbagai bidang termasuk dunia politik. Setiap tahun juga saya diberi mandat membuat liputan Perhimpunan Agung Umno.

“Hakikatnya hingga saat ini, saya sendiri tidak pernah menjangka akan bergelar pembaca berita kerana julat dan saiz suara saya memang kecil. Dulu saya pernah menimba pengalaman menjadi pekerja pelatih di Melodi dan pelapor lokasi untuk berita. Namun berkat minat, saya berjaya menggapai impian dan masih setia dalam bidang laporan berita. Saya juga ada membantu wartawan pelatih dan pembaca berita memikul tugas mereka,” kata anak kacukan India (sebelah bapa) dan Cina Melayu (ibu) itu.

Dalam sisi lain, Wawa juga bakal mengikuti jejak empat gandingannya kali ini. Wawa akan melangsungkan pertunangannya dengan seorang ahli perniagaan, Kadir Rashid yang cukup dikenali dalam industri hiburan. Perkenalan yang bermula sebagai kawan ini terpateri dengan jalinan cinta selama dua tahun.

“Kami merancang untuk bertunang pada November ini dan Insya-Allah majlis kahwin akan dilangsungkan tahun depan. Majlis merisik diadakan pada Disember tahun lalu. Insya-Allah, jika tiada aral melintang, kami dan keluarga masing-masing akan menunaikan ibadat umrah pada 22 Jun ini,” kata wanita kelahiran Kuala Lumpur itu tanpa berselindung.

INFO: Bekas personaliti TV3

  • Wan Zaleha Radzi juga cukup menggemari sukan menunggang kuda. Bagaimanapun sejak sibuk mengendalikan syarikat pengurusan acara dan anaknya (Imad Imran Winton), beliau sudah mula memperlahankan sukan itu. Katanya, dia masih berminat menunggang kuda, cuma faktor waktu yang menjadi halangan.

  • Kata Wan Zaleha lagi, berkemungkinan besar pada hujung tahun ini, teater muzikal kartun Ben 10 pula bakal dipentaskan dan menjadi yang pertama di Asia.

  • Zalina Azman berasakan sudah malas untuk kembali mengacara kerana penat menanti waktu siap disolek. Bagaimanapun, beliau masih menulis termasuklah menulis buku ‘coffee table’, Mystical Mangla. Kini, juga beliau sedang dalam proses menulis buku berkaitan perihal baju vintaj dan couture.

  • Malah, beliau sudah mula menyediakan brosur atau risalah berkaitan V For Vintage yang mengalu-alukan peminat fesyen ini untuk berkongsi pendapat dan koleksi vintaj yang dimiliki. Beliau turut menyimpan beberapa koleksi pakaian vintaj yang pernah dipakai untuk simpanan peribadi, malah ada juga bertujuan untuk dijual.

  • Selain itu, Zalina turut membuat laman web dan melakukan promosi untuk syarikat milik suaminya, Anuar Adam. Dua anaknya bernama Mikhail Norman dan Anzarryn.


INFO: TV3
  • Mengimbas kembali kewujudan stesen nombor satu negara itu, ia mula mendapat kelulusan lesen untuk beroperasi pada 1983 sebagai stesen TV swasta pertama negara dan secara rasmi memulakan siarannya pada 1 Jun 1984.

  • Ketika itu, TV3 dikendalikan Sistem Televisyen Malaysia Berhad dan beroperasi di studio lama di Jalan Liku, Bangsar bersebelahan ibu pejabat The New Straits Times Press (M) Bhd dan kini terus utuh meneruskan empayar dan kedudukannya di bidang penyiaran di Sri Pentas.

  • Ia bermula dengan tema siaran, Pertama Dalam Berita... Terbaik Dalam Hiburan hinggalah kini bertukar menjadi TV3 Inspirasi Hidupku.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: