
Kelibat Winnie K di kebanyakan kejohanan badminton dunia sering menimbulkan tanda tanya sama ada teman lelakinya adalah salah seorang pemain badminton negara. Ada sebab mengapa ramai orang termasuk media beranggapan sedemikian.
Sebelum ini Winnie pernah dikaitkan dengan salah seorang pemain badminton perseorangan Indonesia yang pernah memenangi pingat emas pada sukan Olimpik 2004. Ketika itu ramai yang meneka tetapi mereka berdua menafikannya.
Namun, hakikatnya Winnie merupakan teman wanitanya dan hanya berpisah pada tahun 2006. Ketika itu, mereka memilih untuk menutup mulut kerana 'takut' dengan media Indonesia. Maka, hanya selepas berpisah hampir tiga tahun, Winnie mengaku dia pernah bercinta dengan pemain badminton tersebut.
Namun, itu semua cerita lama. Winnie kini dikatakan mempunyai teman baru yang juga seorang pemain badminton profesional. Jejaka yang digosipkan itu ialah pemain beregu negara, Koo Kien Keat.
Tidak hairan jika umum berpendapat mereka mempunyai hubungan rapat. Winnie sentiasa berada di gelanggang badminton untuk menyokong Kien Keat tidak kira dia bertanding di dalam atau luar negara.
Malah, Winnie yang meminati sukan badminton sejak kecil sentiasa berada di tempat yang dikhaskan untuk jurulatih dan mereka yang mempunyai kaitan rapat dengan pemain. Bagi mendapatkan jawapan mengenai bentuk hubungan itu, Kosmo! telah mengaturkan satu pertemuan dengan Winnie dan Kien Keat Sabtu lalu.
Bukan senang untuk menggabungkan kedua-dua insan ini terutama Kien Keat yang sibuk dengan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2009. Maka masa selama setengah jam yang dihabiskan bersama Kosmo! digunakan untuk menghuraikan apakah bentuk hubungan mereka berdua sebenarnya. Ikuti petikan temu bual tersebut.
Bilakah anda berdua pertama kali bertemu?
Winnie: Kami berkenalan semasa berada di Manila, Filipina pada tahun 2005 untuk Kejohanan Badminton Asia Tenggara. Ketika itu, bekas teman lelaki saya telah menghadiahkan tiket penerbangan ke Manila untuk menyaksikan perlawanannya.
Kemudian kami diperkenalkan menerusi regu badminton Kien Keat ketika itu iaitu Chan Chong Ming dan kami saling bertukar nombor telefon. Hubungan kami mula rapat beberapa bulan kemudian.
Kien Keat: Kami menaiki kapal terbang dan menetap di hotel yang sama semasa berada di Manila tetapi ketika itu saya tidak mengenalinya. Saya tidak pasti dia orang Malaysia atau tidak kerana dia tidak mengikut pasukan Malaysia. Kemudian saya berkenalan dengannya menerusi Chong Ming dan rapat sehingga kini.
Mengapakah anda begitu rapat dengan Kien Keat dan sentiasa dilihat menyokong Kien Keat di gelanggang badminton?
Winnie: Pada mulanya saya berpendapat dia seorang yang sombong. Namun, selepas berkenalan, saya dapati dia seorang yang suka berterus terang. Jarang sekali ada lelaki yang begitu berterus terang terutama di hadapan wanita dan kami sering berkongsi cerita peribadi. Lagipun saya mengenali Kien Keat sebelum dia memenangi Kejohanan Yonex All England Super Series pada tahun 2007.
Jadi persahabatan kami lebih 'jujur' dan mampu bertahan sehingga kini. Saya bukannya selalu menyaksikan dia bertanding. Saya akan menonton jika mempunyai masa terluang atau secara kebetulan melawat negara tempat Kien Kiat bertanding.

Adakah anda tahu bila Winnie menyokong anda di gelanggang badminton?
Kien Keat: Kadangkala dia memberitahu saya bila dia akan datang. Tapi ada masanya dia memberikan kejutan kepada saya. Dia ialah penyokong setia saya di gelanggang. Di luar gelanggang pula, dia merupakan rakan rapat saya.
Adakah anda juga rapat dengan keluarga Kien Keat?
Winnie: Keluarganya menetap di Ipoh, Perak tetapi selalu datang ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan Kien Keat bertanding. Maka, saya mula rapat ketika menyaksikan pertandingan bersama-sama mereka terutama dengan ibunya.
Komen sikit tentang hubungan rapat anda berdua yang telah menimbulkan pertanyaan umum.
Winnie: Saya tahu mengapa orang ramai berfikiran begitu. Ini kerana bekas kekasih saya ialah pemain badminton terkenal Indonesia. Mungkin ramai yang tidak mengetahui hubungan kami kecuali mereka dalam industri tetapi kami berpisah pada tahun 2006.
Kami tidak mengumumkan hubungan kami tetapi keluarga kami mengetahui hubungan kami. Saya dan Kien Keat sekadar kawan rapat. Ramai pemain termasuk jurulatih Kien Keat, Rexy Mainaky tahu kami hanya kawan rapat.
Adakah ini bermaksud hubungan anda berdua tidak dapat dikembangkan?
Winnie: Buat masa ini saya tidak terfikir mengenai cinta kerana persahabatan boleh kekal selama-lamanya dan cinta pula lebih sukar. Kami berdua pernah bercerita mengenai hubungan kekasih tetapi bukan secara serius. Rasanya Kien Keat tidak mahu berkahwin lagi pada usia ini. Dia baru berusia 23 tahun dan mempunyai masa depan yang cerah.
Bagaimana pula dengan anda? Bilakah hendak menamatkan zaman bujang?
Winnie: Tahun ini saya sudah berusia 29 tahun. Saya sebenarnya berharap untuk berkahwin dalam masa dua tahun ini. Saya sukakan kanak-kanak dan sedang giat mencari lelaki yang sesuai terutama jejaka yang boleh memahami kerja saya sebagai penyanyi.
Kien Keat bagaimana? Anda mahu mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini?
Kien Keat: Pada usia sekarang, saya rasa belum sampai masanya lagi. Diri saya belum bersedia untuk memikul tanggungjawab ini. Lagipun saya mahu memberikan lebih fokus kepada karier saya. Jangan cakap mengenai perkahwinan, masa untuk mendapatkan teman wanita juga tiada. Amat sukar bagi saya untuk terlibat dalam hubungan cinta.

Apakah sifat-sifat wanita idaman anda?
Kien Keat: Saya tidak boleh meletakkan sasaran. Semuanya bergantung kepada jodoh. Kalau ada jodoh, anda tidak dapat mengelakkannya. Rupa paras juga bukan kriteria utama. Apa yang penting adalah perasaan. Jika ada perasaan, semuanya boleh berjalan lancar.
Adakah sesi temu bual ini dipersetujui oleh anda berdua kerana ingin menjelaskan keadaan?
Winnie: Saya bersetuju dengan temu bual ini kerana berpendapat ramai orang tidak nampak kesukaran yang dihadapi oleh seorang pemain badminton seperti Kien Keat. Apa yang dilihat cuma populariti mereka. Memandangkan Kien Keat ialah kawan rapat saya, maka saya ingin mengambil peluang ini untuk menghuraikan secara mendalam hal tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: