| SEJAK membintangi sebuah drama bersiri, rezeki pelakon wanita ini makin murah. Selepas satu drama beralih pula pada drama lain. Malah, pelakon ini turut dilamar berlakon filem. |
SS yang sekadar memerhati dari jauh beranggapan pelakon ini mempunyai masa depan yang cerah kerana bakat lakon dalam diri.
Pelakon ini bukan hanya berbakat dan cantik tetapi rakan SS juga berkata, pelakon ini mempunyai sikap disenangi ramai termasuk produser yang bekerjasama dengannya.
Bagaimanapun, baru-baru ini SS dengar cerita kurang enak membabitkan pelakon ini yang mula tunjuk belang sebenar.
SS bukan mahu menuduh atau percaya bulat-bulat cerita yang disampaikan sumber SS, sebaliknya mahu berkongsi cerita terbaru pelakon popular ini. Khabarnya, pelakon ini dilamar produser terkenal untuk terbabit dengan satu projek filem terbaru.
Jika difikirkan, gandingan antara produser dengan pelakon ini mempunyai potensi untuk menghasilkan filem bertaraf box office hingga tidak mustahil mampu mengulangi kehebatan filem terdahulu produser itu yang pernah mencapai kutipan paling tinggi dalam sejarah perfileman tempatan.
Namun, belum sempat penggambaran dijalankan, pelakon itu sudah membuat hal apabila mahu tarik diri dari projek filem itu. Kata rakan SS, pelakon itu berani berkata produser itu agar membatalkan kontraknya untuk berlakon filem itu kerana mempunyai komitmen lain.
Akibat tindakan pelakon itu, produser itu terkejut dan hairan kerana selama ini, dia belum pernah berhadapan dengan sikap pelakon sebegitu.
SS pun tertanya juga apa sebab sebenar pelakon itu mahu tarik diri bila kontrak sudah ditandatangani dan penggambaran hanya menghitung hari untuk dijalankan.
SS fikir, perkara ini dapat diselesaikan dengan baik jika antara mereka duduk berbincang. Pada pelakon baru, SS nasihatkan jangan cepat dibuai glamor sampaikan sesuka hati mainkan produser. Seeloknya tawaran yang diterima difikirkan dengan teliti sama ada mampu buat atau tidak.
| |
Jika pelakon itu asyik timbul masalah, pasti produser lain pun enggan ambil dia berlakon.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: