|
| SEPERTIMANA pasangan lain yang bakal diijabkabulkan, pelakon muda, Sari Yanti, 25, dan pasangannya, Eddy Casmadi Che Hussin, 28, mengakui debaran menanti detik disatukan. |
Pasangan itu bakal diijabkabulkan di kediaman Sari di Kuala Pilah, Negeri Sembilan malam ini selepas selesai solat Isyak.
Ketika dihubungi pelakon yang menempa nama menerusi drama, Kisah Kaisara di TV3 itu sedang sibuk membuat persiapan untuk majlis berkenaan.
Menurut Sari, dia berharap majlis itu dapat berjalan lancar seperti yang dirancang malah bersyukur setakat ini segala persiapan dapat dilaksanakan dengan teratur walaupun masih ada beberapa perkara kecil yang perlu diselesaikan.
"Memang sehari dua ini saya sibuk dengan persiapan untuk majlis pernikahan (malam ini) seterusnya persandingan pada keesokan harinya. Persiapan setakat ini berjalan lancar. Hampir 80 peratus siap. Perasaan berdebar memang ada sehinggakan tidak lena tidur.
"Untuk majlis akad nikah pihak keluarga saya sepakat untuk bergotong-royong memasak juadah makanan seperti nasi putih dengan kari kambing dan masak lemak umbut kelapa.
"Sementara majlis persandingan oleh Mirazi Katerin menyediakan juadah istimewa seperti nasi minyak, kuze kambing dan ayam masak ros," katanya.
Siapa sangka perkenalan Sari bersama Eddy sejak tiga tahun lalu berakhir dengan ikatan perkahwinan. Mereka mula berkawan selepas diperkenalkan sepupu Sari. Bermula daripada kawan biasa, hubungan kami bertukar menjadi kawan baik dan seterusnya bercinta.
Keluarga Eddy datang merisik saya dan menyerahkan cincin tanda pada Aidilfitri lalu. Seterusnya menetapkan tarikh majlis akad nikah dan bersanding.
Sari yang juga pemenang Pencarian Gadis Penghias Muka Depan Cleo 2005 berkata majlis berkenaan diadakan secara ringkas dan tradisional.
"Majlis ini berlangsung ringkas dan sepenuhnya di kediaman saya. Kebiasaannya majlis perkahwinan di Negeri Sembilan tidak meriah tanpa upacara mengacau dodol namun kami sudah mengadakannya beberapa hari lalu. Pada majlis itu juga keluarga sama-sama berkampung untuk meraikannya.
"Bagi keluarga kami ini adalah kali pertama kenduri kahwin. Kenduri tidak sebesar mana cukuplah sekadar majlis ringkas. Memandangkan saya anak kedua daripada tiga beradik perempuan. Kakak yang sulung (June Aritisha, 25) belum berkahwin manakala adik (Alia) baru berusia 22 tahun," katanya.
Dia juga masih berahsia mengenai wang hantaran memaklumkan kemungkinan menerima mas kahwin sejumlah RM220. Dianggarkan 2000 jemputan dijangka hadir untuk majlis persandingan (esok). Untuk majlis nikah, bersanding kelengkapan pakaian dan pelamin dengan konsep moden kontemporari direka khas oleh Linda Rahim.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan alunan melodi gamela atau cak lempong yang kerap digunakan pada setiap majlis perkahwinan di Negeri Sembilan.
Pihaknya menerima tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang oleh perempuan. Majlis pihak lelaki berlangsung di Subang Jaya pada 24 Januari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: