Sunday, January 18, 2009

Termizi kerja di dapur, minat peragaan




Wajahnya memang ada pakej menarik, tetapi kerjanya pula nun di pelosok dapur. Namun Mohd. Termizi yang merupakan commis iaitu membantu kerja-kerja chef di dapur hotel ini tetap jadi perhatian.

Memandangkan penampilannya ada bergaya, kawan-kawannya menyarankan kepada beliau untuk cuba menjengah dunia peragaan. Termizi memberanikan diri menghantar resume kepada beberapa pihak yang berkaitan.

Usahanya berbaloi apabila mendapat sambutan menggalakkan daripada pihak yang ditujunya. Sebuah agensi peragaan memberikan respons positif.

Walaupun baru pertama kali mengadakan sesi fotografi, lagak Termizi nampak selesa dan tidak kekok. Sekali tengok macam orang yang sudah berpengalaman.

“Inilah kali pertama saya menjalani sesi fotografi di studio. Selepas ini saya akan ke sebuah agensi peragaan untuk mencuba nasib,” kata Termizi kepada Pancaindera.

Pada mulanya beliau tidak terfikir pun untuk menjadi model, tetapi apabila banyak kawan yang mengesyorkan dan mengatakan beliau ada potensi, hatinya mula tergerak.

Beliau kini bekerja sebagai commis di hotel Kuala Lumpur International, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Tugasnya tidak menghalang kerana beliau bekerja mengikut syif. Jadual kerja luar boleh diatur dengan kerja tetapnya.

Sekarang ini orang lelaki lebih ramai berbanding wanita di dapur sesebuah hotel atau restoran besar. Golongan lelaki dalam bidang masakan bukan lagi sesuatu yang pelik.

“Di hotel juga tukang masaknya kena memasak dalam jumlah yang banyak. Lagipun orang lelaki lebih bersedia kerja lebih masa kerana kurang komitmen lain berbanding wanita.

“Kalau orang perempuan, biasanya mereka memikirkan menguruskan rumah serta tidak boleh kerja berat semasa mengandung dan cuti panjang selepas melahirkan anak,” jelasnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: