Sunday, January 18, 2009

PGL terakhir Tiara Jacquelina




BARU-BARU ini Joyah menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan bahawa Datin Seri Tiara Jacquelina tidak mahu lagi terlibat dalam pementasan teater muzikal, Puteri Gunung Ledang.

Bukan tidak mahu terlibat seratus peratus cuma dia merasakan sudah sampai masanya dia mengundurkan diri melakonkan watak utama Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah yang popular itu.

Khabarnya dah lama Tiara memikirkan pengundurannya itu dan dia merasakan selepas musim ketiganya ini adalah waktu terbaik untuknya 'melepaskan' Gusti Putri.

Mungkin juga Tiara merasakan sudah tiba masanya untuk memperkenalkan wajah baru Gusti Putri untuk pementasan akan datang.

Memang keputusannya itu mengejutkan banyak pihak terutama pihak produksinya sendiri. Pasti ramai yang kecewa mendengarkan hasrat hati Tiara apatah lagi Tiara dan Gusti Putri ibarat 'teman karib' yang amat sinonim antara keduanya.

Tak apalah Tiara juga pastinya membuat pilihan yang terbaik buat dirinya. Sebab mengenali Tiara, rasanya dia tahu apa yang diingini dan pasti ada perancangan besar yang sedang berlegar-legar dalam kepalanya.

Malah dia sendiri menegaskan bahawa kemunculannya pada pementasan musim ketiga PGL Februari ini adalah yang terakhir buatnya kerana dia mahu memberikan ruang kepada dirinya untuk merancang projek baru pula.

Mungkinkah projek barunya itu nanti sehebat PGL? Kita nantikan sahaja. Bak kata Tiara, dalam usaha untuk berkembang, dia perlu maju ke depan dan menyahut cabaran baru.

Ada impian lain yang perlu didaki dan Joyah rasa Tiara kini sedang cuba menakluk 'gunung baru'! Yang penting, pada pentas akhirnya ini, Tiara menjanjikan satu magis buat penonton setia PGL.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: