![]() |
| |
Memang gamat apabila menyaksikan lakonan Nabil dalam filem Sifu & Tongga baru-baru ini. Filem arahan Razak Mohaideen ini turut dibintangi oleh Saiful Apek, Fouziah Gous selain Nabil sebagai teraju utama.
Nabil yang diangkat sebagai Raja Lawak musim kedua sememangnya diminati ramai. Apek pula yang memang sudah dikenali sebagai pelawak nombor satu. Apabila mereka digandingkan bersama, memang ia akan menggamatkan lagi filem Sifu & Tongga.
Tapi bila melihatkan lakonan mereka berdua, pasti ada peminat yang akan membandingkan kedua-dua pelawak ini. Adakah Apek akan terus tenggelam dengan kemunculan Nabil ini?
Bagi Nabil isu tersebut tidak timbul memandangkan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Baginya Apek merupakan pelawak yang dihormatinya dan tidak timbul untuk dirinya mengambil alih tempat Apek.
Jelasnya Apek mempunyai kelompok peminat tersendiri sama seperti dirinya. Jadi isu ini memang tidak sepatutnya timbul memandangkan. Tidak akan ada apa-apa masalah antara dirinya dan Apek.
"Pengalaman kali pertama berlakon dengan Apek memang menyeronokkan. Memang saya gembira apabila berlakon bersama dengannya. Memang saya bertuah sebab dia banyak membantu saya dan memberikan tunjuk ajar kepada saya semasa penggambaran. Apek dah ada nama dia tersendiri dan saya pula orang baru dalam industri.
"Saya minta diberi peluang. Tapi walau dalam kehidupan sebenar pun dia tetap sifu saya dan yang paling banyak membantu," ujar Nabil lagi.
Nabil yang bakal terlibat dengan dengan program Pondok-Pondok untuk siaran TV9 mengakui bahawa dia memang teruja dengan filem pertamanya ini.
"Bukan mudah untuk melakonkan watak sebegini. Saya sendiri membuat penyelidikan dan kajian karakter sebelum masuk ke set penggambaran. Tapi saya tetap menjadi diri saya yang sebenarnya.
"Antara filem yang saya tengok sebelum berlakon termasuklah The God Must Be Crazy. Saya memang berharap agar filem pertama ini dapat mengekalkan nama saya dalam industri ini," kata anak jati Negeri Sembilan ini.
Mahu terus popular
Kerjaya seni Nabil sebenarnya baru sahaja bermula. Maka tidak hairanlah banyak tawaran yang datang tetap diambil demi memastikan kerjaya seninya berkembang.
"Sekarang ini saya sedang dalam penggambaran filem Kecoh Betul terbitan Sri Saheb Production. Selain itu saya masih terlibat dengan program Studio Nabil untuk TV9, Ewah-Ewah dengan TV3 dan sekuel Sonata Labu Labi juga akan disambung ke episod seterusnya.
"Untuk filem Lu Fikirlah Sendiri, saya sendiri masih belum dapat tahu bila filem tersebut hendak dikeluarkan. Tapi saya harap peminat terus setia menunggu la," jelasnya ketika ditemui selepas prebiu filem Sifu & Tongga di Mid Valley Megamall.
Mungkin ada yang beranggapan bahawa Nabil hanya sesuai untuk membawakan watak kelakar sahaja. Tetapi, dalam filem Lu Fikirlah Sendiri memang ada babak-babak di mana Nabil bergaduh bersama dengan abangnya.
"Pada saya itu adalah antara babak-babak yang serius yang pernah saya lakonkan berbanding dengan filem-filem yang lain.
"Bukan tak mahu lari daripada watak komedi tapi komedi ini boleh dijual. Saya lebih suka berlakon filem yang bukan lawak slapstik. Kalau boleh saya nak sangat berlakon cerita yang ada unsur kelakar, serius dan romantik. Cerita itu akan jadi lebih berwarna warni," katanya.
Ramai tiru Nabil
Kini, Raja Lawak musim ketiga juga sudahpun menemui penonton di saluran Astro Prima. Ramai peminat yang membandingkan Nabil dan juga peserta program tersebut.
Kata Nabil, sehingga kini dia sendiri masih lagi belum berkesempatan untuk menyaksikan program tersebut secara langsung lantaran kesibukan yang dihadapi.
"Cuma ramai orang yang datang kepada saya dan cakap ada peserta yang meniru aksi saya. Dalam isu ini saya tak boleh nak komen sebab saya belum berkesempatan untuk menonton.
"Bagi saya, mereka sepatutnya cuba untuk membuat lawak yang baru dan masih belum diteroka oleh orang lain. Mungkin mereka perlu mencari lawak yang lebih hebat dan yang saya sendiri tak pernah fikirkan.
Bila ditanya adakah dengan kemunculan raja lawak yang baru akan menggugat kedudukan Nabil, dia berkata dirinya tidaklah terlalu mengejar populariti.
"Peluang dah diberikan. Jadi tidak salah untuk mereka jadi lebih baik daripada saya. Setiap orang ada kelebihan masing-masing dan kita boleh belajar antara satu sama lain.
"Saya sendiri tidak pernah terfikir untuk mengejar populariti. Rezeki yang saya ada sekarang pun sudah cukup baik," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: