Monday, January 26, 2009

Takut jaja cinta Iman


CINTA PUTERI BUNIAN: Sudah lama tidak hiasi muka depan Hip, tiba-tiba Nasha Aziz yang ditemui pada majlis di Hotel Legend, memiliki sepasang telinga ganjil.

Bimbang tindakannya disalah anggap produser filem Bunian: Mahkota Seri Helang, Adnan Abu Hassan

DENGAN penuh sopan aktres cantik ini beberapa kali merayu pada wakil media supaya tidak mengangkat kisah peribadi, terutama hubungannya bersama Nur Iman Tang, dalam artikel yang bakal ditulis mereka.

Sambil menguntumkan senyuman mesra dia berkata, kehadirannya di Hotel Legend petang 20 Januari lalu adalah untuk bekerja. Justeru dia bimbang sekiranya produser akan tersalah anggap dia lebih suka menjaja kisah peribadi berbanding projek filem yang membabitkan dirinya.

Begitupun pelakon yang juga model popular ini amat memahami, sudah tentu wartawan ingin sekali mengetahui kisah terbaru, termasuk hal berkaitan peribadi, apabila berkesempatan bersua dengannya.

Dia sendiri tidak sukar memberikan jawapan kepada setiap pertanyaan membabitkan perhubungannya bersama jejaka terbabit, biarpun setiap bicara diluahkan penuh berhati-hati bagi memastikan tiada ayat yang bisa mencetuskan kontroversi terkeluar nanti.

Selang seketika, dia mengingatkan kembali beberapa wartawan akhbar dan majalah termasuk dari Singapura, jika boleh, ceritanya pada hari itu biarlah tertumpu kepada filem terbarunya, Bunian: Mahkota Seri Helang, terbitan pertama komposer ternama, Adnan Abu Hassan.



Petang itu, Nasha ulang bercerita bagaimana temannya itu sudah pun memeluk Islam pada bulan puasa yang lalu. Begitu juga dia yang memilih nama Nur Iman untuk Tang, selepas jejaka itu bergelar seorang Muslim. Semua itu pernah Nasha ceritakan kepada Hip tatkala kami mendapatkan ulasannya berhubung kemenangan pada Anugerah Skrin yang lalu.

Katanya, Tang sememangnya seorang yang sukakan kebersihan, kesopanan, tidak suka bermegah-megah dan merendah diri. Pada Ramadan yang lalu pula, dia terasa agak tersisih apabila tidak dapat mengikut Nasha dan teman Muslim lain ke masjid. Pada Ramadan kedua itu jugalah hatinya mula terbuka untuk menerima cahaya agama suci ini. Tang memeluk Islam pada minggu kedua Ramadan tahun lalu.

Pada pertanyaan, apakah dengan perkembangan terbaru itu dia kini sudah bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga pula, si jelita ini lantas menyusun kata yang cukup beralas, dalam memberikan jawapannya.

"Perkahwinan itu sesuatu yang akan berlaku pada masa depan. Masa depan itu pula belum lagi lahir, pada ketika ini. Namun, sudah tentu setiap insan mempunyai impian. Cuma, ketika ini, semua itu belum boleh direncanakan.

BERSAMA Rusdi Ramli dan Mimi Rahzia, dua lagi tonggak utama filem sulung keluaran Fantasy Films.

"Kini, perancangan saya adalah untuk menunaikan tanggungjawab yang diletakkan di bahu saya. Segala perancangan adalah untuk masa sekarang, bukan untuk masa depan," katanya yang ditemui selepas majlis prapelancaran filem berkenaan.

Jelas sekali, Nasha bijak mengatur ayat agar dia tidak tersasul menyebut sesuatu yang bakal memerangkap diri. Pun begitu, dia tidak menolak kemungkinan pada suatu hari, dia akan membenarkan gambarnya dirakam bersama jejaka itu, apabila tiba saatnya nanti.

Terlebih dulu, wanita dari Kuala Lumpur ini rancak bercerita mengenai filem Bunian yang akan diarahkan Zaharil Izham Zainon atau lebih dikenali sebagai Jantan. Berlakon bersamanya dalam filem bercorak fantasi itu ialah Rusdi Ramli, Erry Putra, Beego, Maimon Talib, Hisham Ahmad Tajudin dan Ridzuan Hashim.

Turut diperkenalkan ialah bekas pengacara rancangan Teman, Mimi Rahzia.

Dalam filem terbabit, Nasha memegang watak puteri bunian, Puteri Manja Sakti, yang menyelamatkan seorang pemuda, Rosman (Rusdi), apabila tercedera ketika mendaki gunung. Puteri berkenaan membawa lelaki terbabit ke dunianya yang tersendiri. Di situ, dia memperkenalkan Rosman dengan alam bunian.

"Ketika itulah timbulnya konflik apabila wujud rasa cemburu di antara dirinya dan si adik, Puteri Puteri Mawar Putih (Mimi)," cerita Nasha.

Menurutnya, filem berkenaan cukup bermakna baginya kerana ia bukan sekadar sebuah cerita. Sebaliknya, dia melihat lebih jauh daripada itu apabila Bunian dibikin dengan matlamat mempromosikan keindahan alam semula jadi negara ini kepada penontonnya.

"Watak kami di alam bunian pula diadakan bagi mewakili mereka yang menghargai alam semula jadi," kata Nasha yang menganggap filem terbabit amat berharga dalam menggalakkan pelancongan ke negara ini.

Bunian: Mahkota Seri Helang diterbitkan syarikat milik Adnan, Fantasy Films dan bakal memulakan penggambaran pada Februari ini, dengan belanja sekitar RM3.5 juta.

Filem yang turut memuatkan lima lagu baru nyanyian Datuk Siti Nurhaliza, Sheila Abdul, Nurul dan Ian Helmy itu juga bakal menerima sentuhan teknologi imejan janaan komputer (CGI).

Menyepi selepas Sepi?

SELEPAS muncul dengan Sepi pada tahun lalu, pelakon ini bagai menghilangkan diri seketika daripada layar perak. Begitupun, dia tetap muncul di layar kecil televisyen menerusi siri Monalisa dan Awan Dania.

Selebihnya, Nasha berkata, dia memberikan tumpuan kepada bidang peragaan. Selain terbabit dalam pelbagai pertunjukan fesyen, dia turut menyambung kontrak bersama produk kecantikan Avon, bagi tahun kedua. Begitu juga dia masih menjadi wajah kepada jenama Polo Haus untuk koleksi pakaian wanita.

"Saya turut terbabit dalam siri jelajah bersama Avon ke seluruh negara. Ia pengalaman menyeronokkan kerana saya dapat berkongsi pengalaman kecantikan bersama golongan wanita, di samping beramah-mesra bersama peminat," katanya.

Menyentuh soal lakonan filem, Nasha memberitahu, bukannya dia tidak menerima tawaran, tetapi pada tahun lalu, itulah perancangan yang dilakukan. Sepi, baginya, ialah pilihan terbaik untuk dia jayakan ketika itu.

"Apabila saya memilih untuk berlakon sebagai karier, saya perlu melakukannya dengan penuh kesukaan. Manakala tawaran berlakon Bunian pula diterima kerana saya sedar, wujudnya motif yang baik di sebalik pembikinan filem ini," ujar wanita berusia 37 tahun ini.

INFO: Filem lakonan Nasha:

  • Sepi (2008)
  • Puaka Tebing Biru (2007)
  • Otai (2007)
  • Buli Balik (2006)
  • Tak Ori Tapi Ok (2005)
  • Buli (2004)
  • Cinta Luar Biasa (2004)
  • Trauma (2004)
  • Laila Isabella (2003)
  • Gerak Khas the Movie (2001)
  • Bara (1999)
  • Kad Cinta (1995)
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: