Monday, January 26, 2009

Hijjaz terus lebarkan perniagaan


ismeN menghulurkan sumbangan untuk tabung iRm yang akan digunakan bagi membantu penduduk palestin, sambil diperhatikan pengarah ikim, Dr syed ali Tawfik al-attas (tengah).

Pakej umrah dapat sambutan, buka Restoran D Desa pada 28 Januari

HIJJAZ Trade Corporation Sdn Bhd (HTC) nampaknya semakin hari semakin pesat berkembang. Daripada sebuah kumpulan yang pada awalnya bergantung harap pada dunia muzik nasyid, Hijjaz melebar sayap ke beberapa bidang perniagaan lain bagi meningkatkan taraf ekonomi.

Daripada Hijjaz Records Sdn Bhd yang memberikan tumpuan kepada penerbitan album sama ada album nasyid, ceramah mahupun motivasi, muncul pula syarikat Hijjaz Biotech Industry Sdn Bhd yang mencuba perniagaan makanan tambahan serta Hijjaz Publishing yang mengkhususkan operasi dalam bidang penerbitan buku.

Ia diikuti Hijjaz Legend Travel & Tours Sdn Bhd yang menguruskan pakej umrah serta pelancongan. Seterusnya Hijjaz mengasaskan pula Teratak Hijjaz iaitu resort yang menyediakan perkhidmatan percutian, penganjuran seminar mahupun majlis. Sedikit masa nanti, Hijjaz akan memperkenalkan pula padang futsal istimewa mereka yang dibina berhampiran resort berkenaan.

Bermula 28 Januari, mereka menjalankan operasi Restoran D’Desa yang juga terletak di Teratak Hijjaz. Menyediakan hidangan bufet pada sebelah siang untuk makan tengah hari, sebelah malamnya pula pengunjung dapat menikmati hidangan a la carte. Restoran D’Desa menyediakan masakan Melayu Nusantara.

Pengarah Urusan HTC, Ismen Nadim Isam memberitahu, antara perniagaan mereka yang paling memberangsangkan ketika ini ialah pakej umrah yang diperkenalkan sejak tahun lalu. Bermula dengan usaha sama antara Hijjaz dan ejen pelancongan Legend Tours, sekarang mereka menguruskannya sendiri menerusi syarikat pelancongan yang baru ditubuhkan.

Ketika ini, kira-kira 700 jemaah sudah pun berdaftar bersama mereka bagi pakej umrah bagi beberapa bulan pertama 2009. Manakala 300 jemaah sudah pun mengerjakan umrah bersama syarikat mereka dalam masa tiga bulan yang lalu.

Pada tahun ini, rombongan pertama sudah pun berlepas 19 Januari lalu dan rombongan kedua pula pada 26 Januari. Jika rombongan pertama diketuai Munif Ahmad, yang kedua pula diketuai Faizal Osman.

"Tempat untuk rombongan umrah bagi Februari dan Mac pula sudah pun hampir penuh. Hanya beberapa kekosongan kini masih tinggal," cerita Ismen ketika ditemui selepas sidang akhbar penganjuran Malam Untukmu Palestin di Ikim, Jalan Duta, baru-baru ini.

Pada April pula, Hijjaz memperkenalkan pakej umrah eksklusif bersama Ustaz Zawawi Yusoh (daripada program Al-Kuliyah). Pada bulan itu juga, setiap minggu, ada saja rombongan umrah Hijjaz akan berlepas ke Tanah Suci Makkah dan Madinah.

"Alhamdulillah, sejak kami memperkenalkan pakej umrah bersama Hijjaz, sambutannya cukup menggalakkan. Mereka yang sudah pun menyertai rombongan bersama kami, banyak sekali membantu menghebahkan berita mengenai kewujudan pakej ini. Kami sendiri banyak bergantung kepada promosi yang dilakukan dari mulut ke mulut," katanya yang masih mengadakan kerjasama bersama beberapa syarikat pelancongan lain dalam menjayakan pakej terbabit.

Begitupun, kata Ismen, tumpuan kumpulan berkenaan bukan hanya pada umrah semata-mata. Mereka turut berhasrat memperkenalkan pakej percutian ke beberapa lokasi menari serata dunia. Cuma, keutamaannya tetap diberikan kepada pakej ibadat ke Tanah Suci.

Bersama Hijjaz, orang ramai boleh memilih untuk sama ada menyertai rombongan umrah ziarah, umrah biasa, umrah Ramadan mahupun umrah pada cuti sekolah. Harganya turut bergantung kepada musim umrah itu sendiri serta permintaan daripada peserta. Harga pakej bermula serendah RM5,000 seorang.

Ismen bagaimanapun mengingatkan peminat mereka, dengan kesibukan anggota kumpulan itu menguruskan perniagaan lain, tidak bermakna kumpulan Hijjaz sudah tidak berminat dengan dunia muzik nasyid. Terbaru, mereka muncul pula dengan album Nostalgia Legenda Nada Murni - Koleksi Sentuhan Lagu-Lagu Terbaik.

Album terbabit memuatkan koleksi lagu nyanyian kumpulan Nada Murni yang suatu ketika dulu dianggotai oleh anggota kumpulan Rabbani dan Hijjaz sendiri. Justeru, peminat akan mendapati sebahagian lagu dinyanyikan Munif dan sebahagian lagi oleh Asri Ibrahim (vokalis Rabbani).

Mereka juga amat berbangga apabila pada setiap kali penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), nama Hijjaz tidak pernah tercicir daripada tersenarai ke peringkat akhir sejak 1997 lagi. Pencapaian itu cukup bermakna buat kumpulan ini, walaupun belum berjaya menggenggam trofi kategori terbabit.

Bagi mereka, selama sedekad menjadi pilihan Top 5 sudah memberikan makna amat besar kepada kumpulan ini. Pada tahun ini, Hijjaz sekali lagi disenaraikan sebagai calon peringkat awal dan sudah tentu mereka berharap, buat kesekian kali mereka akan dicalonkan juga oleh peminat hingga ke final nanti.

INFO: Program anjuran Hijjaz

  • PADA 29 Januari ini, bertempat di perkarangan Ikim, Jalan Langgak Tunku, Off Jalan Duta, Kuala Lumpur, bermula jam 9 malam, sebuah acara diberi nama Malam Untukmu Palestin bagi membantu mangsa kekejaman Israel di Gaza akan dianjurkan Ikim dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IRM).

  • MAJLIS berkenaan diadakan bagi mengutip sumbangan untuk disalurkan kepada tabung IRM.

  • MALAM itu, penonton akan menyaksikan persembahan daripada gabungan ahli akademik, penggiat nasyid serta rakyat Palestin sendiri, yang akan mendeklamasikan sajak serta berkongsi pengalaman mereka bersama orang ramai.

  • ANTARA mereka yang menjayakannya ialah Ketua Pengarah Ikim sendiri, Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, Inteam, Hijjaz, Dr Lim Swee Tin, Hafiz Hamidun, Aiman dan kumpulan Izzatuna.

  • ACARA yang turut dibuka kepada pengunjung bukan Islam itu akan disiarkan secara langsung oleh radio Ikim.fm.
  • 1 comment:

    1. as'kum sedara...

      bufet restoran D'DESA TH ni on lagi kah di ADCR?

      web dia off lah!

      ReplyDelete

    Tinggalkan Komen Anda Sini: