Tuesday, January 20, 2009

Sayap lebar MUH





BUKAN menggantang asap, mengukir langit sebaliknya gema dan laungan arus muzik indie semakin berisi dan menampakkan jeriji yang tajam.

Cengkaman mereka semakin menusuk, merasuk dan bukan lagi sekadar ikutan penganut fanatik mereka semata-mata bahkan suara mereka semakin menjelajah ke minda para sifu dan cendekiawan muzik arus perdana.

Malam kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi ke-23 Ahad lalu, sebenarnya bukan lagi kebangkitan tetapi satu resolusi kepada revolusi yang telah dicetuskan kumpulan band indie pertama berjaya menerobos persada AJL tahun lalu, Estranged yang berjaya merangkul trofi Juara Lagu menerusi Itu Kamu.

Bayangan kemenangan Meet Uncle Hussein (MUH) dengan Lagu Untukmu di Stadium Putra, Bukit Jalil itu memang sudah diramalkan.

Seorang komposer terkenal, Johan Nawawi ketika menjurikan peringkat separuh akhir Muzik-Muzik Oktober lalu juga pernah memikirkan perkara yang sama, cuma keputusan panel juri yang diketuai oleh komposer ternama Azmeer menjadi keputusan muktamad yang tidak perlu lagi dipersoalkan.

"Saya sifatkan elemen melodi dan susunan muzik Lagu Untukmu oleh MUH telah mengalahkan semua karya lain. Semangat pentas MUH juga mampu menaikkan bulu roma kami semua. Jika boleh buat para juri terpukau, saya kira itu faktor yang sangat kuat untuk melayakkan mereka jadi juara.

"Sebenarnya susah untuk para juri menetapkan keputusan, sehingga berlaku sedikit perbalahan di antara kami sama ada hendak memilih lagu MUH atau Faizal Tahir kerana kedua-dua lagu nyanyian mereka sama hebat, tapi akhirnya kami sepakat memilih Lagu Untukmu sebagai Juara Lagu," tegas Azmeer dalam sidang akhbar selepas acara berlangsung.

Sebagai penjulang trofi Juara Lagu, MUH yang diwakili Taja, Bakri, Alan, Afat, Bakri dan Babab, mereka sendiri seperti tidak percaya, penantian dua tahun untuk Lagu Untukmu beraja di panca indera semua membuahkan hasil.

Alan mengakui, saingan terdekat Lagu Untukmu pastinya Kalis Rindu dan Sampai Syurga, tetapi selepas diumumkan juara Pop Rock, harapan untuk menang Juara Lagu semakin tinggi dan kemenangan yang datang satu pengumuman mengejutkan buat mereka.

"Macam kata Audi Mok, kalau dua penulis bergabung untuk satu lirik, karya itu akan jadi lebih kuat, sama juga macam kami yang bergabung tiga kepala untuk hasilkan Lagu Untukmu, ini yang menambahkan keyakinan kami.

"Sekarang indie dah jadi trend, kami harap peluang akan lebih terbuka untuk MUH bukan setakat konsert sahaja tapi majlis korporat. Kami sendiri rasa kalau tak menang AJL pun mungkin kami akan sedikit tertekan sebab pertandingan ini secara tak langsung melibatkan pemuzik indie yang lain juga," jelas Taja, komposer serta pemain gitar MUH.


WAJAH-WAJAH penakluk AJL23. Semoga pentas gemilang AJL tidak ditinggal mereka pada masa akan datang.


Untuk hari esok, perancangan MUH siap terbentang. Mereka dalam proses menghasilkan dua lagi single terbaru dan bakal bekerjasama dengan sebuah produksi filem untuk album runut bunyi filem berkenaan.

Sekalipun Estranged yang mempertaruhkan lagu Yang Pernah tidak mengulangi kemenangan tahun lepas, kejayaan rakan seangkatan MUH ini mungkin satu pembahagian yang adil buat mereka, tanda muzik kelompok indie kian marak.

Faizal undur diri selepas AJL23

Kejutan dibuat MUH tetapi hatrik AJL23 tetap milik Faizal Tahir yang mencipta aura penuh gemilang dengan lagu Sampai Syurga. Kena benar dengan judul lagu itu sendiri, Sampai Syurga lagu ciptaan Audi Mok dan lirik tulisan Faizal sendiri ini meraih kejayaan yang bukan kecil anak.

Tiga anugerah termasuklah juara kategori Balada, Persembahan dan Vokal Terbaik, Faizal sebenarnya mengaut tiga perempat jumlah keseluruhan prestij yang ditawarkan AJL kali ini.

Rata-rata memuji tenaga lontaran Faizal malam Ahad lalu dan kreativiti yang dibikinnya juga mungkin kali pertama dipersembahkan artis tempatan ketika beraksi di pentas. Tidak lagi buka baju sebaliknya Faizal dipakaikan baju dan didandan rapi oleh team kreatif yang difantasikannya ketika menyampaikan lagu Sampai Syurga.


AKSI ligat Stacy di pentas cukup mengagumkan.


Berlawanan dengan MUH yang semakin tebal semangat, Faizal sebaliknya seperti berpatah arang berkerat rotan. Dia tidak lagi mahu pentas nyanyian menjadi menyambung jejaknya.

Ketika namanya 'teratas', Faizal seperti keliru dan katanya, mahu bersara. Selepas AJL23 juga, Faizal akan mula bercuti panjang, mungkin berbulan-bulan sebelum memulakan 'dunia barunya'.

"Saya mahu tumpukan perhatian untuk kerja-kerja belakang tabir, walaupun tidak sebagai penyanyi namun saya masih ingin memberikan sumbangan terhadap industri muzik, itu hasrat saya sejak dulu lagi.

"Saya cuma mahu berehat, sama ada selepas bercuti panjang nanti saya akan kembali sebagai penyanyi atau orang belakang tabir saya masih belum tahu lagi," tegas Faizal dalam nada serba salah.

Bukan merajuk atau kecewa dengan senario industri yang dilewati, sebaliknya Faizal cukup gembira dan seronok menjadi anak seni sejak dua tahun lalu walaupun dia sendiri pernah terhukum dek salah percaturan.

"Jangan ingat saya merajuk, saya sangat gembira dengan karier yang banyak membuahkan rezeki kepada saya dan keluarga.

"Cuma saya jenis yang mementingkan keluarga. Umur dah 31, anak pun dah nak masuk empat. Mereka sedang membesar dan saya tak mahu anak-anak banyak melihat saya di kaca TV lagi," jelas Faizal dalam riak bersahaja walaupun meraih kemenangan besar.


IDEA 'comel' daripada Elyana.


Ditanya waraskah dia dan tidakkah satu kerugian buatnya kerana menarik diri dari persada seni suara ketika nama sedang memuncak?

Dalam senyum tawar, Faizal menjawab: "Taklah. Cuma saya ingin membelok sisi lain dalam kehidupan. Ya, saya sangat waras ketika ini. Selepas bercuti panjang nanti, tengoklah sama ada saya kembali menyanyi atau tidak."

Dengan duit kemenangan sebanyak RM32,000 yang bakal dikongsi bersama Audi Mok, Faizal juga tidak teragak-agak untuk menyalurkan sebahagian wang kemenangan itu untuk dana bantuan Palestin.

Apa jua jalan karier yang ingin disambung Faizal selepas ini, itu pilihan muktamad dirinya. Jangan kenyataan ini sekadar bahan cerita untuk mengelak daripada skeptikal segelintir pihak, bahawa kemenangan hatriknya ini adalah ada kaitan dengan agenda Media Prima yang melahirkan dan menjadi penaung Faizal Tahir ketika ini.

Tidak tercicir daripada senarai pemenang AJL23 ialah Farawahida yang mencuri perhatian juri apabila lagu nyanyiannya, Persoalan Cinta (ciptaan Julfekar dan Izza Rosley dan lirik oleh Ku Seman Ku Hussein) dipilih sebagai juara kategori Etnik Kreatif.

Sering dianggap sebagai kategori 'kecil' namun Farah tidak mahu dirinya terlepas daripada pandangan juri.

"Sebab itu saya tampilkan konsep persembahan tarian Cina kerana lagu itu sendiri ada elemen oriental. Saya berhabis-habisan untuk persembahan kerana tak mahu penyertaan yang pertama kali ke AJL ini dilihat sekadar biasa, tapi saya tak fikirkan soal kemenangan," katanya yang pertama kali mengukir nama sebagai antara pemenang di AJL.


ZIANA pulang tanpa anugerah walaupun mencuba sepenuh hati.





Selain persembahan tarian Cina daripada Farawahida, keseluruhan bentuk dan idea persembahan peserta final AJL23 tiada yang mengecewakan. Terutama Stacy yang begitu energetik ketika mempersembahkan lagu Aku Stacy.

Penyanyi Ziana Zain sendiri tidak mahu kalah dengan kehadiran artis-artis muda, namun mungkin disebabkan faktor usia dan terlalu lama menyepi dari pentas AJL, Ziana seperti terjerat dalam vokal sendiri.




Persembahan pembukaan daripada One Nation Emcees serta penutup daripada tiga nama besar, M. Nasir, Jamal Abdillah dan Jaclyn Victor yang diselang-selikan dengan tiga suara generasi cilik pula satu suntikan semangat seni yang berhasil dilaksanakan krew penerbitan AJL kali ini. Mungkin ini antara persembahan AJL yang akan dikenang sebagai antara yang terbaik walaupun gangguan sistem bunyi sedikit mengganggu konsentrasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: