|
| KEMUNCAK Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) yang akan berlangsung pada Ahad ini memberi tarikan tersendiri apabila penyanyi generasi baru diberi peluang bertanding kali ini. |
Penyanyi seperti Stacy, Ayu, Aizat, Aiman dan kumpulan Meet Uncle Hussain adalah muka baru yang menyertai AJL23. Saingan penyanyi lain tidak kurang hebat, menyaksikan Ziana Zain, Faizal Tahir dan kumpulan The Estranged kembali berentap di pentas akhir.
Pastinya ketika ini bukan hanya debaran dirasai penyanyi tetapi komposer dan penulis lirik yang bertanggungjawab mencipta lagu juga berkongsi perasaan. Bagi penulis lirik berpengalaman, Habsah Hassan, semua lagu yang bertanding dinilai hebat dan mempunyai potensi untuk menang.
Walaupun lagunya, Hanya Di Mercu nyanyian Ayu dan ciptaan bersama Aubrey Suwito memberi kejutan layak ke peringkat akhir, dia yakin kekuatan lagu dan kebolehan Ayu mampu mengangkat lagu itu sebagai juara.
"Jika Ayu dapat hayati lagu itu dengan baik, dia mampu muncul juara. Bagaimanapun, jika penilaian dibuat berdasarkan soal populariti berbanding suara, mungkin peluang dia untuk menang terjejas dan tipis.
"Saya percaya juri profesional yang mengadili lagu bertanding pada malam itu nanti dapat membuatkan keputusan yang tepat kerana mereka memegang amanah.
"Kekuatan lagu Hanya Di Mercu dapat dilihat pada kerjasama antara saya dengan Aubrey. Dia memang komposer yang bagus dan karyanya diminati ramai.
"Namun, semua lagu yang bertanding turut mempunyai kekuatan masing-masing dan saya tidak mahu memperlekeh mana-mana lagu.
"Dalam saingan, penyanyi perlu memberi perhatian pada penghayatan dan persembahan. Jika penyanyi itu mempunyai vokal yang bagus, dia tidak memerlukan props atau gimik.
"Bagi penyanyi yang rasa kurang yakin dengan kekuatan vokal, props dan gimik dapat membantu. Untuk konsep persembahan TV, penggunaan props dan gimik perlu untuk menambah keseronokan pada tontonan.
"Secara keseluruhan saya melihat kekuatan vokal penyanyi yang bertanding pada AJL23 masih belum tandingi kehebatan suara penyanyi di zaman 90-an dan 80-an. Bukan penyanyi sekarang tiada vokal yang bagus tetapi kualiti suara mereka masih mempunyai ruang untuk diperbaiki.
"Mungkin cara penyanyi sekarang tidak terlalu menekankan aspek sebutan lirik dengan jelas. Biarpun senario begitu, karya lagu kita masih menunjukkan peningkatan.
"Malah, peningkatan juga dapat dilihat pada aspek penerbitan program ini yang lebih cantik pada konsep persembahan seperti grafik dan rekaan pentas.
"Saya fikir kita boleh naikkan imej AJL23 lebih baik pada masa akan datang. Pemilihan lagu yang sesuai dan terbaik penting dilakukan sejak peringkat saingan membabitkan juri profesional agar penonton sukar buat telahan," katanya.
Ahmad Fedtri Yahya pula, berpandangan tekaan lagu mana yang akan menang sukar dibuat kerana tidak pasti kehendak juri. Katanya, setiap tahun juri mempunyai kriteria berbeza dalam menilai sesebuah lagu. Kategori Etnik Kreatif perlu seimbang agar konsep lagu tidak terlalu ketinggalan zaman atau menjurus pop moden.
Fedtri bekerjasama dengan komposer Hafiz Hamidun untuk lagu Dusta Berkalang yang dinyanyikan bekas peserta Akademi Nasyid, Aiman. Tahun lalu, Fedtri pernah menang Etnik Kreatif menerusi lagu Samudera nyanyian Nora.
"Tidak kira lagu mana yang bertanding, penyertaan penyanyi popular memberi saingan kuat pada penyanyi lain. Walaupun ia seperti berat sebelah tetapi peminat lebih suka menyaksikan penyanyi popular bertanding. Sebaliknya, saya percaya juri AJL23 dapat membuat keputusan dengan adil dan bijak.
"Semua lagu bertanding ada potensi untuk menang. Untuk persembahan nanti, kami akan menggunakan konsep kemanusiaan dan tarian yang dipersembahkan Aiman. Lagu ini membawa kisah permainan dunia yang menyaksikan manusia tamak dan sanggup berdusta.
"Saya percaya kombinasi kami kali ini serasi. Aiman mampu memberi jiwa pada lagu ini dan pemilihannya untuk menyampaikan lagu ini memang tepat. Lagu ini masih baru di kalangan peminat dan saya anggap rezeki lagu ini sebagai bonus masuk ke AJL23," katanya.
Berbeza dengan Habsah dan Fedtri, Audi Mok lebih bertuah kerana dua lagu ciptaannya iaitu Sampai Syurga dan Cuba nyanyian Faizal Tahir layak ke AJL23. Katanya, meskipun dua lagunya mempunyai kelebihan untuk menang tetapi lagu lain yang bertanding masih memberi saingan kuat.
"Dua lagu ini mempunyai penghayatan yang berbeza. Terpulang pada juri untuk memilih lagu terbaik sebagai juara nanti. Sebenarnya, saya tidak mempunyai harapan untuk menang kerana saya fikir jika terlalu fokus, ia memberi tekanan pada saya dan Faizal.
"Apa yang penting, saya mahu penonton gembira dengan persembahan Faizal nanti. Persembahan pada vokal perlu diberi perhatian yang lebih. Pada saya, kumpulan Meet Uncle Hussain yang mempertandingkan Lagu Untukmu mampu mencipta kejutan pada AJL23.
"Mereka mempunyai keunikan dan perbezaan pada lagu hingga diminati ramai peminat. Sungguhpun begitu, AJL23 tetap sengit apabila penyanyi solo dan berkumpulan berentap sama," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: